Thursday, April 17, 2008

UMNO Harus Sedar Majoriti Melayu Teras Kekuatan Anwar Ibrahim

PAS mempunyai sejuta ahli dan hampir dua juta pengundi setia sejak beberapa kali PRU. Kekuatannya meluas di seluruh negara. PAS kawasan dan cawangan berada di mana-mana.

Oleh Mohd Rashidi Hassan, HARAKAH

PERISTIWA pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri sekali gus Menteri Kewangan pada 2 September 1998 dan disusuli pemecatan sebagai Timbalan Presiden Umno pada 3 September, melakar sejarah baru dalam politik Malaysia.

Anwar bukan sahaja dipecat, malah dihadapkan dengan dakwaan 10 pertuduhan yang membabitkan penderhakaan terhadap negara, rasuah dan salah laku seks yang menyebabkan beliau terpaksa meringkuk enam tahun dalam penjara.

Tindakan keras Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad itu, mendorong penyatuan gabungan semua parti pembangkang yang terdiri daripada PAS, Parti Keadilan Nasional yang baru ditubuhkan, DAP dan PRM.

Presiden PAS ketika itu, Dato' Fadzil Mohd Noor merupakan pemimpin pembangkang yang pertama tampil ke hadapan mengkritik Dr Mahathir di atas kezalimannya menganiaya Anwar.

Diikuti dengan Lim Kit Siang dan Dr Syed Husin Ali, turut menziarahi Anwar di rumahnya bagi menyatakan sokongan pembangkang terhadap Anwar.

Gabungan erat empat parti pembangkang ketika itu, membentuk sebuah gagasan politik yang dinamakan Barisan Alternatif dengan mengemukakan manifestonya bertajuk 'Ke Arah Malaysia Yang Adil' bagi menghadapi Pilihan Raya Umum tahun 1999.

Bermula era reformasi

Sebelum daripada penggabungan pembangkang, era reformasi bermula sebaik pemecatan Anwar. Rakyat di seluruh negara bangkit menentang kezaliman Dr Mahathir terhadap orang yang dilatih selama 16 tahun untuk menjadi pengganti beliau.

Masjid Negara menjadi lokasi pertama perhimpunan 100 ribu umat, menyaksikan kebanjiran penyokong keadilan memenuhi setiap pelusuk kota dari Masjid Negara hingga ke Dataran Merdeka.

Pada malam itu juga kediaman Anwar di Bukit Damansara diserbu anggota UTK yang lengkap dengan senjata automatik, menangkap dan mengheret Anwar ke Bukit Aman.

Serentak dengan itu berpuluh-puluh pengikut Anwar ditahan di bawah ISA. Tindakan keras pihak berkuasa itu, tidak menghalang laungan reformasi untuk terus bergema, demonstrasi berterusan setiap minggu di Jalan Tunku Abdul Rahman.

Laungan reformasi terus bergema di penghujung tahun 1998, walaupun Dato' Seri Anwar Ibrahim sedang terbelengu di sebalik pasung jeriji besi di Penjara Sungai Buloh.

Pasca PRU 1999 dan 2004

Keputusan PRU 1999 membuktikan majoriti orang-orang Melayu menolak Barisan Nasional. Sehingga ada statistik kajian melaporkan suatu ketika, 7 daripada 10 orang Melayu menyokong Anwar.

Secara puratanya, rekod PRU 1999 membuktikan 60 peratus Melayu menyokong Anwar dan gabungan pembangkang, manakala hanya 40 peratus Melayu kekal menyokong BN.

Walaupun wujud gabungan padu Barisan Alternatif, yang wujud di dalamnya keanggotaan dari kaum Cina, India dan lain-lain, namun ketika itu tidak ramai daripada kaum bukan Melayu yang menyokong Anwar.

Hanya ada segelintir pimpinan utama PRM dan Keadilan ketika itu yang 'all-out' membela nasib Anwar sehingga terpaksa meringkuk dalam lokap polis, dipukul dan ditendang sehingga mengalami kecederaan.

Hakikat yang ditunjukkan pada PRU 1999, peristiwa lebam mata Anwar dipukul Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor tidak menyelami lubuk hati kaum bukan Melayu.

Keadaan ini kekal sehingga PRU tahun 2004. Pindaan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang begitu 'bias' (berpihak) kepada BN pada tahun 2002 menjadikan kawasan-kawasan Parlimen dan Dun dirobek-robek dan dicampur adukkan dengan lokaliti pengundi bukan Melayu.

Ketika itu Umno/BN mengetahui bahawa Melayu tidak boleh diharapkan untuk menyokong mereka. Maka kaum bukan Melayu dipergunakan untuk terus menyokong BN.
Fakta PRU 2004 menunjukkan majoriti Melayu masih menolak Umno/BN dan menyokong PAS serta KeADILan dan lain-lain pembangkang. Ketika itu DAP tidak bersama dalam Barisan Alternatif.

Sehingga Pilihan Raya Kecil Dun Ijok pada April 2007, kaum bukan Melayu masih belum menunjukkan sokongan padu kepada pembangkang sehingga menyebabkan Tan Sri Khalid Ibrahim tewas dengan K Parthiban.

'Swing vote' atau tsunami pada PRU 2008 dari kalangan kaum bukan Melayu, sememangnya di luar jangkaan pemimpin Pakatan Rakyat, juga di luar jangkaan BN.

Melayu teras kekuatan Anwar

Semua peristiwa ini membuktikan hakikat bahawa, teras kekuatan sokongan Melayu yang majoriti beragama Islam ialah kepada Anwar dan pembangkang, terutamanya PAS.

Fakta yang harus diingat ialah, sejak kerjasama erat yang dihulurkan Almarhum Ustaz Fadzil, orang-orang PAS yang majoritinya Melayu memberikan kerjasama dan dokongan erat kepada pembangkang, khususnya Anwar dan KeADILan.

PAS mempunyai sejuta ahli dan hampir dua juta pengundi setia sejak beberapa kali PRU. Kekuatannya meluas di seluruh negara. PAS kawasan dan cawangan berada di mana-mana.

Sehingga banyak kali PRU, calon-calon pembangkang (yang bukan PAS), boleh bergantung sepenuhnya dengan jentera pilihan raya PAS kerana orang-orang PAS komited dalam soal kerja dan tugas menentang BN.

Komitmen ahli dan penyokong PAS dalam menjayakan gabungan pembangkang yang dinamakan Pakatan Rakyat begitu besar dan ianya terus terbukti dalam PRU ke-12 8 Mac lepas.

Justeru tuduhan bahawa Anwar akan mengetepikan Melayu, Melayu diambang perpecahan, masa depan Melayu terjejas dengan Pakatan Rakyat sememangnya tidak betul sama sekali.
Fakta yang harus difahami ialah sejak tahun 1999 sehingga 2008, kekuatan Umno/BN hanya didokong oleh minoriti Melayu, sekitar 40 peratus dan ditambah dengan sokongan majoriti bukan Melayu.

Masalah yang berlaku hari ini ialah sokongan minoriti Melayu dalam Umno, terhadap Umno semakin berpecah. Jika Umno berpecah, Melayu dalam Umno bergaduh, kuasa politik Melayu terhakis, bukan salah Anwar, bukan salah PAS, ianya adalah kesalahan pemimpin-pemimpin Umno!

Hakikatnya, teras kekuatan Anwar adalah dengan dokongan majoriti Melayu daripada PAS, tanpa dokongan PAS belum tentu Anwar akan terus berada dalam kedudukan sekarang.
Oleh sebab itu, dakwaan bahawa, jika Anwar berkuasa menjadi Perdana Menteri, kuasa Melayu akan terhakis adalah propaganda jahat Umno/BN semata-mata.

Majoriti Melayu yang berada dalam PAS, juga dalam KeADILan adalah pendokong sebenar kekuatan Anwar Ibrahim.

Maka, jika kuasa berpindah daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat, orang-orang Melayu tetap terjamin haknya dari sudut politik, pendidikan, ekonomi dan sosial, malah mungkin lebih baik lagi!

Mereka boleh kerana mereka UMNO, polis kawal walaupun tiada permit !!

Susulan perhimpunan yang dikatakan "Haram" di Kelab Sultan Sulaiman, malam Isnin tanggal 14 April lau, maka kini kita dapati mereka benar-benar beriya-iya mahu mengambil tindakan terhadap beberapa orang pemimpin kanan PKR. Biarpun kenyatan sudah diambil dan direkodkan semalam, namun pihak polis didapati masih tidak berpuas hati. Belum cukup dengan perhimpunan haram, kini satu lagi bertunduhan baru ditimbulkan. Lebih melucukan, kali ini Tan Sri Khalid MB Selangor pula dikatakan memutar-belitkan cerita.

Nampaknya nama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman semakin popular mutakhir ini. Apatah lagi, beliau kini dilihat sering muncul di dada akhbar arus perdana dan juga TV berkaitan isu ini.

Terbaru, semalam juga beliau menafikan nama Datuk Seri Anwar Ibrahim dimasukkan sebagai penceramah pada perhimpunan Black 14 yang diadakan di Kampung Baru, itu. Menurut beliau lagi , MB Selangor itu telah memutarbelitkan kenyataan apabila mendakwa penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu termasuk dalam senarai awal yang diserahkan kepada polis.

Justeru, pihak polis akan menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pihak yang bertanggungjawab memutarbelitkan kebenaran yang diberikan. Katanya lagi Tidak timbul sama ada ia berjalan dengan aman atau tidak kerana setiap perhimpunan awam perlu mendapat permit terlebih dahulu demi menjamin ketenteraman orang awam.

Soalnya, apakah selama ini "permit" akan diberikan setiap kali parti pembangkang ingin mengadakan program seperti itu. Bukankah program tersebut diadakan di sebuah kawasan tertutup dan merupakan "kawasan persendirian". Bahkan ianya juga mendapat kebenaran dan sokongan daripada Timbalan Pengerusi Kelab Sultan Sulaiman, Datuk Mokhtar Ahmad sendiri yang turut hadir dalam program berkenaan.

Black 14, yang diadakan setiap tahun adalah satu sambutan tahunan sempena memperingati tarikh Anwar dijatuhkan hukuman untuk kes pertamanya pada tahun 1999. Cuma apa yang berbeza pada kali ini ialah kehadiran Anwar sendiri serta, ia juga merupakan tarikh "pembebasan" untuk Anwar kembali aktif dalam politik bermula pada 15 April 2008 keesokan harinya. Sudah semestinya program "makan malam" itu mendapat sambutan rakyat kerana mereka juga ingin mendengar amanat Anwar selepas beliau bebas.

Salahkan Anwar, selaku orang yang diraikan itu berucap?. Bukankah beliau merupakan "tetamu khas" pada malam itu. Agak janggal bunyinya, bila rakyat yang hadir hanya boleh melihat dan menatap wajah Anwar dari kejauhan tanpa bisa mendengar sepatah dua kata ucapan yang keluar dari mulutnya itu?. Bukankah Presiden PKR, Wan Azizah sendiri telah menyatakan perhimpunan itu berlaku secara aman dan tiada insiden-insiden serta provokasi yang ditimbulkan oleh rakyat yang hadir berbondong-bondong itu.

Ini bermakna, pihak polis selaku badan yang dipertanggungjawab untuk menjaga "keamanan" negara sepatutnya harus berterima kasih kepada pihak penganjur kerana, berjaya menjayakan "Black 14" secara "aman" biarpun berbagai halangan menimpa serta ia dihadiri oleh ribuan rakyat dari seluruh pelusuk negara.

Apakah yang perlu digusarkan sangat, kiranya rakyat yang hadir hanyalah bertujuan untuk menyaksikan pemimpin mereka berucap dalam keadaan mereka sedar. Bukannya mereka ingin menyaksikan sebuah "konsert rock", yang memerlukan mereka 'Khayal" terlebih dahulu bagi menghayati alunan irama konsert tersebut. Maka akhirnya timbullah insiden yang tidak diingini, akibat khayalan yang berlebihan termasuk menggunakan pil ectasy, mabuk minum arak, ambil bahan terlarang seperti dadah dan sebagainya. Kehadiran rakyat pada malam itu juga tertib dan penuh dengan semangat serta displin yang tinggi untuk melihat perubahan.

Perihal MB Selangor tidak menamakan Anwar untuk berucap pada malam itu amatlah janggal juga bunyinya. Mana mungkin "tetamu khas" tidak disenaraikan untuk menyampaikan sepatah dua kata. Sekurang-kurangnya memberi kata aluan serta mengucap terima kasih atas sokongan rakyat. Apakah benar nama Anwar tidak disenaraikan untuk berucap? Atau namanya hilang lagi, sama seperti "diari harian TPMnya" yang dihilangkan oleh pihak polis semasa kesnya masih panas diawal kebangkitan gelombang reformasi dulu.

Tidak masuk akal juga nama Anwar dibuang dari senarai, sama seperti 'tilam yang dibuang kes" setelah berhari-hari diusung oleh pihak polis ke mahkamah dulu?. Inilah yang harus dijawap, dan apakah kerana kini ketua Polis Negara, Musa Hassan yang namanya saling tak tumpah dengan "Musa Hassan" yang terlibat dalam kes Anwar dulu maka pihak polis sengaja mencari kesalahan demi untuk mendakwa serta menakut-nakut para pemimpin pembangkang.

Mengapa ada kuasa lain untuk mereka berhimpun? Mereka juga rakyat Malaysia
Apakah ini demokrasi "Ala Malaysia" namanya, bila sikap "talam dua muka", "pilih kasih", "pilih bulu" atau lebih afdal lagi sikap "double standard" pasukan polis kita sendiri. Kita merasa hairan dan janggal, kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat dalam pilihanraya dinafikan hak untuk berhimpun secara aman. Namun, jika ianya terkena atas batang hidung mereka apakah yang dilakukan oleh pihak polis?. Iramanya agak perlahan dan jarang kita dengar penganjur perhimpunan ditangkap atau dipaksa ke balai polis untuk diambil kenyataan.

Adakah kita dengar, pengajur perhimpunan haram mereka baru-baru ini diugut untuk dikenakan "waran tangkap" !!

Lihat sahaja apa yang berlaku di Selangor, perhimpunan haram kononnya membantah tindakan kerajaan negeri untuk memansuhkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang, Abdul Syukor Idrus dibiarkan oleh mereka tanpa apa-apa tindakan terhadap penganjur. Bahkan pihak polis pula dikatakan telah mengawal lalulintas serta pergerakkan perserta perhimpunan berkenaan dari awal hingga ke penghujungnya.

Perhimpunan yang diadakan di Dataran Shah Alam, turut disertai 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk persatuan belia dan silat.

Begitulah juga dengan apa yang berlaku di Pulau Pinang, perhimpunan haram juga dilakukan oleh UMNO di Komtar Pulau Pinang yang bertujuan mendesak supaya kerajaan negeri yang baru tidak menghapuskan DEB. Biarpun Melayu Pulau Pinang tahu, bahawa dasar itulah yang menyebabkan spesis mereka semakin terhakis dari Pulau Mutiara itu. Bahkan apa yang tinggal hanyalah sisa-sisa kenangan yang amat menyiksakan. Mereka nampak DEB hanya memperkayakan golongan atasan dan meminggirkan golongan bawahan, namun dek kerana mahu menunjukkan jaguh mereka turut berdemo.

Kira-kira 1,000 penyokong Umno menghadiri perhimpunan tersebut, yang ketuai antaranya oleh setiausaha perhubungan Umno negeri Datuk Azhar Ibrahim, selama satu jam. Turut berucap di demonstrasi itu ialah bekas timbalan ketua menteri Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah, wakil rakyat Sungai Dua - Datuk Jasmin Mohamed, dan ketua bahagian Bukit Mertajam - Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Apapun perhimpunan haram di Pulau Pinang itu telah dibantah keras oleh mantan Ketua Menteri Koh Tsu Koon sendiri, menurutnya tidak bersesuaian dalam masyarakat majmuk. Soalnya sekarang pernah mereka dipanggil pihak polis untuk memberi kenyataan atau diambil tindakan. Pernahkah mereka juga digertak untuk dikenakan waran tangkap jika gagal memberi kerjasama kepada pihak polis?

Begitu juga di Perak, orang ramai yang pada mulanya ditegah menghadiri perhimpunan haram bagi menyatakan bantahan terhadap DAP "kerana mencabar ketuanan Melayu" akhir berjaya juga melakukannya. Perhimpunan haram tetap juga diadakan di Ipoh anjuran UMNO. Sebelum itu pihak polis ada juga mengeluarkan amaran akan mengambil tindakan kepada peserta dan juga mereka yang mengedarkan SMS demo yang menyeru "orang Melayu" berhimpun di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk membantah DAP soal ketuanan Melayu. Namun apa yang berlaku, penganjur tetap juga berjaya mengadakan perhimpunan dan yang dicari ialah pengedar SMS semata-mata.

Bahkan amaran keras Padah ISA buat penyebar SMS demo akan dikenakan jika mereka ditangkap. Bukankah pelik namanya! yang menganjur tidak ditangkap yang mengundang peserta melalui SMS nak di ISAkan Lebih menghairankan, pihak polis yang beriya-iya melarang pula telah terbalik jadi "mengawal keadaan".

Inilah dia sebenarnya "realiti undang-undang di Malaysia" tanahairku ini.

Sampai bilakah kita harus terus begini?.

Apakah generasi mendatang dapat hidup tenteram, aman dan selesa jika ini terus berlaku. Pihak polis lebih sibukkan diri untuk urusan perhimpunan yang dikatakan haram yang langsung tiada kaitan dengan jenayah. Sebaliknya, hal-hal jenayah yang terus meningkat hingga ke hari ini masih belum ada kesudahannya.

Terbaru kejadian jenayah di KLIA iaitu pintu masuk utama pelancong ke negara ini. Bukankah disitu sepatutnya lebih ramai polis menjaganya, bukannya menjaga rakyat yang tidak berdosa dan teraniaya. Begitu juga kes-kes jenayah lain terutamanya kes penculikan kanak-kanak yang masih belum dapat diselesaikan hingga kini.

Justeru itu,wajarlah kita katakan bahawa gertakan dan ugutan yang dibuat kepada pemimpin kanan PKR atas perhimpunan Black 14 adalah mempunyai agenda tersirat sebenarnya. Pihak polis hanya menjalankan tugas mereka. Tanpa arahan pihak atasan, mereka pasti tidak akan tertegas juga dalam hal ini. Samalah dengan perhimpunan haram yang dianjurkan oleh UMNO sejak akhir-akhir ini. Semua ini mempunya agenda politik "balas dendam" atas kekalahan sebenarnya. Mereka mencari peluang dan ketika yang sesuai untuk melakukannya. Natijahnya, kita haruslah lebih berhati-hati dalam setiap gerak-kerja dan aktiviti selepas ini. Jangan biarkan musuh terus mengintai peluang untuk merperkotak-katikkan kita. Agenda perubahan harus terus dihidupkan demi Malaysia yang lebih selamat, aman dan adil untuk generasi akan datang.

- Cucu Mat Kilau
17.04.2008

PAS tolak cadangan tubuh kerajaan campuran bersama UMNO.

17-04-2008 04:45:19 PM
Oleh: SA'ODAH ELIAS - mSTAR Online

PUTRAJAYA: Umno pernah mengajak PAS bagi menubuhkan kerajaan campuran dibeberapa negeri termasuk di mana kedua-dua parti itu boleh menubuhkan kerajaan tetapi ditolak oleh pemimpin tertinggi parti itu.

Menurut sumber, tiga pemimpin tertinggi PAS, Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, setiausaha agung Datuk Kamaruddin Jaafar dan bendahari Dr Hatta Ramli menolak pelawaan Umno itu setelah beberapa sesi rundingan dijalankan.

Beliau yang turut mewakili Umno dalam rundingan itu mendedahkan bahawa cadangan itu bagaimanapun mendapat reaksi positif daripada Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Matlamat utama cadangan berkenaan, tegasnya, adalah untuk mengukuhkan perpaduan Melayu serta memastikan kestabiliti politik yang berkekalan di negara ini.

"Kita telah mengadakan beberapa rundingan dengan PAS. Beberapa pemimpin telahpun berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi membincangkan cadangan Umno itu, tetapi akhirnya mereka menolak."

"Malah Pengerusi PAS Perak Ahmad Awang ketika menolak cadangan Umno itu berkata parti itu lebih rela bekerjasama dengan parti orang kafir daripada bekerjasama dengan Umno yang dituduhnya parti zalim."

"Kerana itu, saya menganggap pemimpin-pemimpin PAS adalah hipokrit kerana di hadapan umum bercakap mengenai perpaduan Melayu serta kemungkinan bekerjasama dengan Umno, tetapi di belakang sanggup bekerjasama dengan DAP daripada dengan kita," katanya kepada mStar online Khamis."

baca selanjutnya di [ sini ]

Jika pemerintah bertaubat dengan taubat nasuha.

sumber : ruangan pendapat - mstar online
14-04-2008 01:39:42 PM
Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin


KITA semua wajar bersikap adil. Pilihanraya telah pun berlalu. Kita mengundi untuk kebaikan negara. Kita inginkan perubahan ke arah yang lebih positif, adil dan telus. Mesej rakyat kepada parti-parti politik dalam perkara tersebut sudah pun difahami oleh mereka.

Hari ini usaha-usaha ke arah hasrat tersebut kelihatannya sedang giat dilaksanakan. Kerajaan pusat juga telah merangka berbagai cadangan dan gagasan agar ketelusan dan keadilan dapat dilaksanakan. Demikian juga sesetengah kerajaan negeri yang baru dan yang lama. Sokonglah usaha-usaha yang baik serta berikanlah kritikan yang membina.

Politik bukan untuk membalas dendam atau ruang mencurahkan emosi yang tidak sudah-sudah. Sebaliknya, berpolitiklah untuk keadilan dan kebahagiaan kehidupan manusia di dunia dan akhirat.

Malanglah kita orang Islam apabila berbalah, melampaui batas. Sedangkan Nabi s.a.w bersabda:

“Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dukacitalah kita ini, jika dalam percaturan politik kita umat Islam, ‘orang lain’ yang mendapat banyak manfaat dan berjaya memperolehi berbagai tuntutan, sedangkan kita hanya menang ‘tuduh menuduh, bertengkar, bermasam muka, gelar menggelar dan segala macam racun yang lain. Ketika orang lain yang semalamnya bagaikan musuh yang sengit, hari ini sedang berpelukan meraikan kejayaan memperolehi segala macam tuntutan, kita masih lagi bagaikan‘sedang mengasah parang’ untuk meneruskan kematian.

Tuhan sentiasa membuka pintu taubat untuk insan yang bersalah berubah kepada yang lebih baik. Bila-bila masa sahaja taubat itu terbuka apabila timbulnya keinsafan dan kesedaran. Mungkin kesedaran dan keinsafan itu timbul hasil dari nasihat, atau kejadian dan peristiwa tertentu. Kadang-kala insan yang begitu jahat, berubah menjadi insaf disebabkan ketakutan atau penderitaan tertentu, atau peristiwa trajis yang meleburkan keegoannya.

Tidaklah penting apa pun sebab keinsafan itu lahir. Apa yang penting bagaimanakah keinsafan itu dihayati. Maka insan yang insaf disuruh bertaubat dengan taubat yang sebenar atau disebut sebagai taubah nasuha.

Allah menyebut dalam Surah al-Tahrim ayat 8 : (maksudnya):

"Wahai orang-orang yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ” taubat nasuha”, Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.."

Terlaksananya taubat yang sebenar itu dengan seseorang insan menyesali kesalahannya, memohon keampunan daripada Allah dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Jika kesalahan itu membabitkan insan yang lain, maka dia hendaklah membetulkannya dengan mengembalikan hak yang diambil, atau menafikan tuduhan yang dilemparkan.

Jika itu berlaku, maka mereka akan insan tersebut janji Allah dalam firmanNya: (maksudnya)

“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal soleh, maka mereka itu Allah akan gantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(Surah al-Furqan: 70).

Saya ingin katakan bahawa peristiwa pilihanraya yang lepas, perkara yang pertama yang mesti dilakukan oleh pihak pemerintah bagi mengeluarkan diri semua dari krisis dan kegawatan politik yang saban hari mengganggu kita semua adalah dengan cara bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha. Segala kesalahan, ketidakadilan, ketidaktelusan, kecuaian atas tanggunjawab yang Allah amanahkan selama ini hendaklah benar-benar insaf dan memohon ampun daripada Allah.

Kedua; hendaklah berazam untuk tidak mengulanginya lagi pada masa hadapan.

Ketiga: jika ada hak rakyat yang dizalimi, kembalikan hak mereka. Jika ini dilakukan, percayalah kepada rahmat Allah yang akan melimpahi negara dan kepimpinan akan terus dapat keberkatan dalam pemerintahan yang akan diteruskan.

Dengarlah kata-kata Nabi Hud a.s kepada kaumnya seperti dalam Surah Hud ayat 52: (maksudnya)

“Dan wahai kaumku! mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa”.

Inilah penawar bala yang telah dibuka rahsianya oleh Nabi Hud a.s., dan inilah juga yang pernah disebut oleh Nabi Nuh a.s. sebelum itu kepada kaumnya.

Kata Nabi Nuh seperti dalam Surah Nuh ayat 10-12: (maksudnya)

“Sehingga Aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya)”.

Ayat-ayat ini menjelaskan bahawa memohon ampun daripada Allah membolehkan rahmat dan keberkatan diturunkan. Allah menambahkan dengan taubat rezeki yang mencurah-curah, kekuatan, harta dan anak-pinak. Maka bertaubatlah wahai para pemerintah, agar kedamaian, ketenteraman dan kemakmuran akan dikecapi di bawah pemerintahan anda.
Pasca politik kini adalah ujian untuk kepimpinan negara. Bukan masa untuk menunjukkan ego, atau mencari-cari di mana silap orang lain, tapi melupai dosa-dosa politik yang pernah dilakukan. Masa ini sepatutnya kepimpinan negara di setiap peringkat menunjukkan tadarru’ iatu benar-benar merendah diri kepada Allah dan memohon keampunan daripadanya.

Kita ingin mendengar kepimpinan memohon kemaafan kepada rakyat di atas segala kesilapan yang pernah berlaku sepanjang pentadbiran yang lalu. Inilah yang akan mendatangkan keberkatan dan menimbulkan rasa hormat rakyat.

Ingatlah amaran Allah apabila sesuatu bala atau ujian ditimpakan kepada sesuatu kaum dalam firmanNya: (maksudnya)

“Dan Demi sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul-rasul kepada umat-umat yang terdahulu daripadamu (lalu mereka mendustakannya), maka Kami seksakan mereka dengan kesusahan dan penyakit, supaya mereka merendah diri (insaf dan bertaubat).
Maka Alangkah eloknya kalau mereka merendah diri (insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? tetapi yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan. Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala perkara (kemewahan dan kesenangan), sehingga apabila mereka bergembira dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan)”.


Ya Allah! Peliharalah kami dari balaMu! Lihatlah Keamanan kita juga dirasakan makin terhakis saban hari. Kejadian-kejadian yang meragut ketenteraman mula bertali arus. Setiap kita mula bimbang dan risau atas keselamatan diri dan keluarga sekalipun berada dalam rumah sendiri. Polis pun tidak dapat menyelesaikan ketakutan seperti itu. Wahai pemerintah! Hanya Allah yang dapat mengeluarkan kita dari semua itu. Kembalilah kepadaNya!

Perubahan yang berteraskan taubat kepada Allah perlu dilakukan. Kepimpinan utama mestilah tegas dan ikhlas. Insan-insan yang telah terlibat dengan penyelewengan harta rakyat hendaklah dipupuskan. Mereka perlu disiasat secara telus. Bagaimana mungkin kepentingan negara yang diamanahkan untuk dijalankan, lalu dijadikan sumber kekayaan diri yang luar biasa.

Janganlah dihitung sebesar mana pun kedudukannya, atau serapat manapun persahabatan dengannya. Hak rakyat mestilah dipelihara. Tergamakkah seorang insan yang mengaku beriman memenuhi diri dengan kemewahan harta rakyat, sedangkan berapa ramai rakyat yang masih miskin dan susah, hidup dibanjiri airmata.

Bertaubatlah, kembalikan hak-hak rakyat, belalah mereka yang teraniaya. Jika orang kaya yang dizalimi, ada peguam yang dapat membawa kesnya ke mahkamah. Si miskin yang susah apabila ditindas, tiada peguam yang mampu dibayar, maka tidak ada mahkamah yang sudi mendengar. Namun esakan dan tangisan itu tetap didengari oleh Allah Yang Maha Mendengar. Rintihan itu sampai ke langit tinggi dan Allah akan membalasnya.

Wahai pemimpin! Jika engkau tidak adil, engkau akan didakwa di mahkamah Allah di pandang mahsyar kelak. Juga, jika dosa orang kena zalim itu mustajab di dunia, engkau akan dibalas di dunia dan akhirat. Wahai pemimpin! Bertaubatlah.

Para pemimpin adalah contoh untuk sekelian rakyat di bawah mereka. Mereka diperhatikan. Kemewahan mereka –jika tidak betul cara- menjadi tanda tanya. Sikap dan perwatakan mereka dipersoalkan. Demikian jugalah anak isteri mereka. Gaya yang berlebih-lebihan membuat rakyat merasa jelak. Ada yang sehingga ketika artis hindustan datang ke Malaysia yang terlebih boollywood dari boollywood. Sedangkan dia isteri orang besar.

Sebabnya, ramai seketika dulu merasakan mereka manusia kebal yang tidak mungkin ditumbangkan. Mereka lupa bahawa rakyat sedang merasa mual. Jika pemimpin itu bercakap Islam, buktikanlah menerusi percakapan, pendekatan, sikap dan juga pakaian anak isteri. Jangan berlebih-lebihan, tetapi bersederhanalah dan ikut peraturan. Rakyat tidak bertanya, berapa harga ‘make-up’ datin? Tetapi rakyat akan selalu mengingati kehalusan akhlak dan budi.

Allah pula suka kepada yang merendah diri dan menyayangi sesama muslim. Manusia ini bagaimana pun wataknya, hati nuraninya akan terasa hormat kepada orang yang mengingati Allah dalam ertikata yang sebenar. Diterjemahkan ingatan itu dalam bentuk tawaduk dan ketertiban sikap. Wahai pemimpin! Lakukanlah perubahan kerana Allah dalam hal ini. Nanti rakyat akan menyayangi anda.

Hala tuju negara hendaklah digaris dengan jelas. Saya kadang-kala melihat seakan generasi muda melayu Islam di negara ini dicandukan agar tidak lagi mampu berfikir dengan seimbang. Hiburan-hiburan yang melebihi dari tahap keperluan dan tidak memiliki matlamat yang jelas seakan sengaja dilambakkan untuk hidangan mereka. Inilah yang kelihatan dalam media-media kita sedangkan ketika yang sama gendang ‘Islam Hadhari’ dipalukan. Sebagai tanda restu atau sebaliknya, saya tidak pasti. Lalu anak muda kita dalam khayal dan mabuk, dadah, keruntuhan akhlak dan berbagai.

Maka tidak hairanlah jika mereka tidak mempunyai pandangan yang jelas dan terurus tentang masa depan negara. Lalu kita bising hilangnya nilai-nilai patriotik dalam jiwa jenerasi baru, padahal kita sendiri yang seakan memandulkan minda dan fitrah mereka. Barangkali kita suka, kerana dengan demikian, mereka tidak banyak mempersoalkan kita. Mendidik rakyat adalah tanggungjawab pemimpin yang Allah amanahkan. Bertaubatlah kepada Allah, betulkan perjalanan masa depan negara ini.

Banyak perkara yang patut saya komen tentang Islam Hadhari. Sejak dahulu saya selalu mengelakkan dari menyebut jenama yang mengundang ‘seribu kekeliruan itu’. Saya akan menulis tajuk khas mengenainya, insya Allah. Apa yang penting banyak perkara perlu dibetulkan. Bertaubat!. Kembalilah kepada Islam yang murni lagi asal seperti zaman Nabi s.a.w. Islam yang terbukti membangunkan kehidupan masyarakat yang aman lagi harmoni dunia dan akhirat. Tokok tambah agama hanya menghilangkan keaslian dan keberkatan dari Allah.

Wahai pemimpin! Pena saya tidak menzalimi anda. Sudah setahun, saban minggu ayat-ayatnya berbaris di sini. Bukan untuk menjatuhkan, tetapi mengajak melihat bersama laluan di hadapan. Allah yang memberi kuasa kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan mencabutnya dari sesiapa yang Dia kehendaki.

Sesungguhnya taubat adalah penghalang bala bencana. Firman Allah:

“Dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedangkan mereka beristighfar (meminta ampun)”.
(Surah al-Anfal: 33).

Maka, jadikanlah kerajaan yang sedang merubah dirinya itu sebagai kerajaan yang bertaubat dari segala bentuk ketidakadilan dan ketidaktelusan. Seperti mana insan yang bertaubat, kelihatan bersih bercahaya dan merendah diri kepada Allah, demikian hendaknya kerajaan yang bertaubat.

Terjemahkanlah taubat itu dalam kepimpinan, pengurusan, media dan hati budi pemimpin. Pohonlah kemaafan kepada rakyat, dan kembalikan hak mereka jika ada yang ‘tidak kena’. Demikianlah juga hendaknya sekelian rakyat memohon keampunan dan kembali kepada jalan yang lurus. Inilah jalan keluar yang hakiki dari kemelutkan yang ada.

Jika itu berlaku maka, Allah berfirman: (maksudnya)

“Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka segala keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”.
(Surah al-‘Araf: 96).