Wednesday, December 08, 2010

Senarai Dakwaan Keatas Khir Toyo (bhg 2)

11. Meluluskan tanah kepada kroninya secara berulang kali dalam tempoh masa singkat. Daripada hanya dua mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri yang diambil secara rawak, iaitu pada 20hb. November, 2000 dan 4hb. Julai, 2001, sekurang-kurangnya empat nama bertindan mendapat tanah seluas 100 ekar setiap orang iaitu Ahmad Tarmizi Tajjeury, A.Rahman Mokhtar, Suzilawani Mustaphin dan Ali Nordin. Semua mereka ada hubungan, sama ada dengan Khir ataupun Setpol, Dr Karim Mansor. Sebahagian tanah ini telah dijual, dan pemiliknya boleh mengaut keuntungan RM200,000 seekar tanpa mengeluarkan modal walaupun satu sen.

12. Meluluskan tanah seluas 50 ekar setiap seorang kepada empat pemohon yang hanya baru berusia 20 tahun iaitu Ahmad Azmir, Noor Ashikin, Mardhiah dan Azril Yusri. Salah seorang darinya adalah anak pegawai Daerah Kuala Langat, di mana lokasi tanah itu dikesan. Difahamkan sebahagian anak-anak muda ini tidak tahu pun yang mereka mendapat tanah berkenaan kerana mereka hanya penama bagi pihak yang rapat dengan Khir. Mereka ini hanya menjadi pengarah syarikat, tidak pun sampai 40 hari sebelum EXCO meluluskan permohonan mereka. Beberapa syarikat terbabit dikenal pasti mempunyai pemegang syer yang sama, yang terdiri dari dua wanita yang ketika permohonan diluluskan baru berumur 24 tahun.

13. Bagaimana Khir, pada bulan Mac 2001, hanya selepas 5 bulan menjadi MB, boleh membayar semua baki pinjaman rumahnya sebanyak RM150,000 secara tunai kepada BBMB Kajang. Kalaupun beliau tidak membelanjakan langsung elaun MBnya, beliau tidak mampu membayar semua pinjamannya itu. Rumah itu juga diubahsuai dengan kos yang besar, ini belum lagi dikira kos membina rumahnya sekarang di Simpang Lima, Tanjung karang, yang menelan belanja lebih RM300,000.

14. Menggunakan kuasa dan pengaruhnya sebagai Pengerusi PKNS untuk mendapatkan sebidang tapak banglo di Lot 14, Jalan 2/1G, Seksyen 2 Tambahan, Bandar Baru Bangi dengan diskaun hebat 50%.

15. Khir berbohong di DUN Selangor pada 31hb. Oktober, 2001 apabila mendakwa beliau tidak membeli tanah itu, kononnya kerana tidak mampu dan dia juga menafikan pernah menerima dua tawaran dari PKNS dengan harga yang berbeza-beza. Salinan pembayarannya telah diperolehi.

16. Khir memberi sumbangan peribadi berbentuk telur ayam, ayam dan peralatan sekolah kepada pengundi dikawasannya di Sungai Panjang pada 25hb. Disember, 2000. Nilainya hampir RM200 ribu. Apabila dipersoalkan dari mana sumber kewangannya, beliau melalui akhbar Malay Mail pada 15hb. Januari, 2001 mendakwa sumbangan ayam diperolehi dari Lintang Bistari Sdn. Bhd. sebuah syarikat bumiputera yang menurut Khir adalah syarikat ternakan ayam terbesar di Sungai Panjang. tinjauan menunjukkan bukan sahaja ayam atau reban tidak ada di kawasan berkenaan, malahan bulu dan tahi ayam pun tiada.

17. Pada 17hb.-18hb. April, 2001, meluluskan kawasan kayu balak Kompartment 78 Hutan Simpan Hulu Langat kepada Fungsi Mewah Sdn. Bhd. seluas lebih 1200 ekar. Fungsi Mewah dimiliki oleh Pua Kim Seng, adik Pua Kim An, yang mana rumahnya bersebelahan rumah sewa Khir di Sekinchan dahulu. Pua Kim An juga dikesan mendapat tanah seluas 100 ekar di Shah Alam. Keluarga Pua ini menyumbangkan dana kewangan yang besar kepada Khir semasa kempen Pilihan Raya 1999 dahulu.

18. Projek membekal dan memasang paip air besi keluli MS1200mm, dari Semenyih ke Banting sejauh 37.3 km. yang bernilai RM82,385,182. Projek ini terlalu mahal dari taksiran awal yang tidak boleh melebihi RM40 juta dan jika sumber air diambil dari Pekan Dengkil kemungkinan jaraknya dapat dipendekkan menjadi hanya 20 km dan ini lebih menguntungkan. Ahli keluarga terdekat Khir didakwa mendapat imbuhan berpuluh juta daripada kontraktor LBH Engineering.

19. Meluluskan konsesi membekalkan peralatan paip air untuk jabatan Bekalan Air Selangor kepada syarikat milik Naib Ketua UMNO Tanjong Karang, JAKS Sdn. Bhd. Harga paip JAKS 50% lebih tinggi daripada harga kilang. Bayangkan, untuk 1 meter paip, harga JAKS adalah RM900 sedangkan harga kilang hanya RM600. Selangor mahu tukar 5,000 km paip,jadi berapa keuntungan yang dikaut oleh JAKS?

20. Meluluskan kawasan balak di Kompatmen 78, Hutan Simpan Hulu Langat seluas lebih 1,200 ekar kepada Fungsi Mewah, milik Pua Kim Seng. Keluarga Pua ini juga mendapat kontrak membina jalan termahal (RM4.6 juta untuk 1km) merentasi sawah padi daripada Meram Holdings, kontraktor yang hampir disenarai-hitamkan.