Sunday, June 01, 2008

Bila Loceng Berbunyi...

dipetik dari KLpos :

Oleh Ahmad Shukran Shaharuddin
Ahad, 01 Jun 2008

SUASANA di Parlimen kini banyak berbeza. Banyak kalangan pasti lega persidangan yang berlangsung hampir sebulan ditangguhkan Khamis lepas.

Ia bersambung lagi Jun...

Pelbagai drama, kejutan dan telatah dapat dilihat di Dewan Rakyat sejak ia mula bersidang 28 April lepas dengan catatan sejarah bahawa 99 anggota baru masuk gelanggang buat pertama kali, sebagai pembuat undang-undang.

Persidangan badan perundangan (legislative) itu pasca pilihan raya ke-12 menjadi tumpuan, manakala anggota-anggota dewan berlumba-lumba untuk mengambil bahagian, baik penyokong kerajaan mahu pun pembangkang, antara sebab utamanya mungkin kerana ia disiarkan secara langsung oleh RTM1, satu sejarah baru.

Ia menarik perhatian kerana Barisan Nasional (BN) hanya menguasai majoriti mudah apabila pembangkang iaitu DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menguasai 81 kerusi, di samping seorang wakil Bebas.

Gelagat wakil Bebas tunggal dari Pasir Mas itu, Datuk Ibrahim Ali sering diperhatikan kerana bertindak sebagai "orang di atas pagar".

Detik-detik yang berlaku menyuburkan amalan Demokrasi Berparlimen di negara ini, dengan Yang di-Pertua Dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan dua timbalannya Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Datuk Ronald Kiandee sentiasa tercabar setiap kali mengendalikan perjalanan mesyuarat yang kadangkala bertukar hangat akibat tingkah laku sesetengah anggota Parlimen yang mencabar kewibawaan mereka.

Semua ini membuktikan bahawa Dewan Rakyat bukan hanya 'rubber stamp' untuk meluluskan undang-undang seperti yang pernah didakwa pembangkang, yang seterusnya digunapakai dalam urusan rakyat seharian apabila diluluskan.

Apabila RTM menyiarkan secara langsung sesi soal jawab selama 30 minit, 'orang-orang lama' di dewan dilihat cuba mengambil kesempatan untuk menonjolkan diri masing-masing.

Pada hari pertama, pelbagai peraturan mesyuarat dikemukakan kepada speaker menyebabkan sesi soal jawab terganggu hingga akhirnya hanya tiga soalan yang mampu dijawab pihak kerajaan dalam tempoh yang ditetapkan sebelum perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.

"Ini semua sebab nak masuk televisyen," kata Ibrahim Ali, yang bertanding menggunakan tiket Pas dan orang yang mula-mula dibidas Datuk Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) selepas selesai upacara mengangkat sumpah kerana Ibrahim tidak memakai lounge suit sebagaimana yang disyaratkan.

Namun Pandikar membuat `ruling' kemudiannya dan memberikan kelonggaran kepada Ibrahim kerana beliau tidak mempunyai ketua Whip untuk memberitahunya sebagai wakil bebas.

Ibrahim segera memuji: "Tahniah, Tuan Speaker memang bijaksana".

Wakil Parlimen dari Sabah Datuk Anifah Aman (BN-Kimanis) dan Abdul Ghapur pula lantang bercakap mengenai masalah rakyat Sabah, sambil memberi amaran tsunami politik lebih dahsyat boleh berlaku jika rintihan rakyat negeri itu tidak diambil peduli oleh pimpinan Barisan Nasional Pusat.

"Bukan bererti apabila kita menyuarakan aspirasi rakyat, kita menentang kerajaan. Bukan bererti apabila kita keluarkan kata-kata keras, kita nak melompat parti. Apa yang kita nak beritahu di Dewan ini, rakyat Sabah tidak melompat seperti lima buah negeri di Semenanjung," kata Anifah.

Menurutnya, tidak mustahil lompat "keluar dari rumah banglo dan masuk rumah teres, jika mereka tidak diberi ruang yang cukup di rumah banglo. Rumah teres pun rumah tereslah, asal kita sama-sama menikmati kemudahan. Tinggal di rumah banglo pun tidur di tepi tandas sahaja," kata Anifah.

Kenyataan seperti itu membuatkan ura-ura kononnya wakil rakyat melompat parti menjadi hangat lebih-lebih lagi kerana sebelum ini Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata beberapa wakil rakyat BN di Sabah akan menyertai pembangkang untuk menubuhkan kerajaan.

Hakikatnya tidak diragui apabila Abdul Rahman Dahalan (BN-Kota Belud) mengakui ditawarkan pihak pembangkang dengan bercakap kepada wartawan di luar Dewan bahawa ganjaran itu `cukup untuk hidup selama tiga generasi'.

Hasilnya dua laporan kepada Badan Pencegah Rasuah dibuat oleh Abdul Rahman di Sabah dan Kuala Lumpur.

Sidang kali ini juga tidak sunyi dengan ungkapan kurang manis dilemparkan antara penyokong kerajaan dan wakil pembangkang, seperti `Projek Babi Negara' oleh Mahfuz Omar dari PAS sebagai reaksi kepada Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang memberi kependekan P-K-R untuk "Projek Khinzir Raksasa".

Tidak cukup dengan itu, ungkapan bahasa Tamil iaitu `ukkar' (bermaksud duduk) oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Idris Haron membuatkan persidangan tergendala sehingga 10 minit berikutan pertikaman lidah dengan pembangkang kerana dikatakan boleh membawa maksud yang lucah jika salah sebut.

N.Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) yang cuba memberitahu speaker maksud ungkapan Tamil itu kemudian terpaksa memohon maaf atas perbuatannya melangkaui tempat duduknya dan pergi ke sisi Speaker untuk membisikkan maksudnya.

Lobi Parlimen juga tidak kurang sunyi dengan peristiwa baru apabila Gobalakrishnan membawa anak perempuan P Waythamoorthy berumur enam tahun dan mengadakan sambutan majlis hari jadi bersama kek dan menyanyikan lagu `Happy Birthday To You'.

Ibrahim pula diserbu sekumpulan 30 orang golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang berkerusi roda kerana beliau didakwa menghina Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) kerana tidak bangun semasa mahu bercakap di dalam Dewan sedangkan Karpal memang berkerusi roda kerana kecederaan jalan raya sejak 2003.

Keadaan itu menyebabkan beberapa anggota Parlimen seperti Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC) menimbulkan isu keselamatan di Parlimen yang kini begitu mudah didatangi orang luar.

Bekas anggota Parlimen Hulu Langat Badrul Hisham Abdul Aziz yang sering datang mengikuti persidangan di Parlimen, berkata suasana Parlimen pada tahun 80-an tidak sesibuk sekarang malah kawasan meletak kereta sentiasa penuh dan seringkali melimpah ke kawasan luar Parlimen.

Pihak media juga terpaksa mengerahkan lebih ramai wartawan bertugas sehingga lima atau enam orang di Parlimen menyebabkan Pusat Media Parlimen sesak dan memerlukan tambahan kerusi meja.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga seringkali dilihat berada di pejabatnya di bangunan Parlimen sekiranya tidak ada urusan di luar dan mengadakan beberapa mesyuarat, begitu juga timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.

Rabu lepas, buat pertama kalinya satu undi belah bahagian diadakan berbeza dengan biasanya undian suara, atas permintaan wakil pembangkang bagi meluluskan sebahagian Rang Undang-Undang Perbekalan (2007) 2008.

Senario ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan dilihat oleh sesetengah pihak sebagai cubaan pembangkang untuk tidak meluluskan Rang Undang-undang itu di bawah tajuk Peruntukan kepada Kumpulan Wang Terkanun berjumlah RM16.810 bilion sebelum itu dibahaskan di peringkat jawatankuasa.

Implikasinya, jika BN tidak boleh mengatasi undi pembangkang pada undi belah bahagian itu, wang yang sudah dibelanjakan kerajaan tidak sah dari segi undang-undang.

Keputusan untuk menjalankan undi belah bahagian menyebabkan ramai anggota BN yang berada di luar dewan termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta beberapa orang Timbalan Menteri yang berada di Dewan Negara yang sedang bersidang bergegas masuk ke Dewan Rakyat untuk mengundi.

Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz dilihat keluar dari Dewan untuk memanggil masuk anggota dari kerajaan yang berada di luar.

Hasilnya BN mengatasi undi pembangkang dengan 92 undi berbanding 60, dengan seorang tidak mengundi...sekali lagi semua menoleh ke arah Ibrahim Ali yang sebelum ini disyaki tidak mengundi calon pembangkang untuk pemilihan timbalan speaker.

Apabila ditemui selepas undi belah bahagian, beberapa anggota pembangkang yang ditemui berkata: "Mungkin kami akan bernasib baik pada masa akan datang."

Kehadiran anggota menjadi soal penting kali ini di Parlimen, dan apabila loceng berbunyi, ia mampu mencetuskan spekulasi.

No comments:

Post a Comment

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?