Jimadie Shah Othman | Jul 25, 08 1:25pm
kemaskini 6:59pm
Seorang naib presiden PKR dipanggil polis berhubung siasatan akuan berkanun pertama penyiasat persendirian yang mengaitkan timbalan perdana menteri dengan Altantuya Shaariibuu.
Sivarasa Rasiah disiasat berhubung akuan P Balasubramaniam yang menggemparkan pada awal bulan ini, termasuk mendakwa Datuk Seri Najib Razak mengadakan hubungan seks dengan wanita Mongolia itu.
Dalam sidang media selepas disoal siasat selama lebih tiga jam, beliau berkata kebanyakan soalan polis berkaitan pertemuannya dengan penyiasat - yang pernah diupah oleh Abdul Razak Abdullah Baginda, kenalan Najib, yang kini dituduh bersubahat membunuh Altantuya - dan kandungan akuan pertamanya.
Hanya satu soalan tentang akuan kedua, tambahnya.
Menurut beliau, semasa memberikan keterangan, polis menyoalnya sama ada akuan pertama penyiasat itu dibuat secara sukarela.
Sivarasa menambah, "tiada benda baru disoal" dalam siasatan itu dan beliau "menceritakan lebih kurang apa yang diceritakan dalam sidang akhbar yang dulu tetapi kali ini lebih terperinci."
Ketika bersama polis, beliau turut bertanyakan isu akuan kedua penyiasat itu sama ada ia dibuat secara paksa, tetapi katanya, pegawai penyiasat kesnya Supt. V Muniandy "tidak memberikan jawapan yang memuaskan."
Sivarasa berkata beliau memberikan kerjasama penuh dengan menjawab semua soalan yang diajukan.
Ditanya kemungkinan Anwar juga disiasat polis berhubung kes ini, beliau berkata: "saya rasa tidak kerana Anwar hanya terlibat di sidang media pada hari berkenaan."
Sehari selepas mencipta kegemparan itu, Balasubramaniam bagaimanapun membuat kejutan lagi dengan menarik balik akuan awalnya dalam akuan baru pada keesokannya, 4 Julai.
Beliau hingga kini tidak muncul di media dan dipercayai masih bersembunyi.
Najib sendiri menafikan kandungan akuan Balasubramaniam tersebut beberapa jam selepas ia didedahkan kepada media dalam sidang media bersama penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabat PKR, Petaling Jaya pada 3 Julai lepas.
Najib menyifatkan kandungan akuan itu sebagai "pembohongan yang dahsyat."
Pemimpin kanan PKR itu ditemani peguamnya Oh Choong Ghee dan beberapa penyokong berada di luar ketika beliau memberi keterangan.
Sivarasa hadir di ibu pejabat polis bahagian jenayah perdagangan, Kuala Lumpur kira-kira jam 10 pagi ini dan keluar lebih jam 2 petang.
Beliau menjelaskan pegawai berkenaan ACP Tan Kok Liang mengambil masa untuk merekodkan keterangannya melalui komputer menyebabkan beliau berada tiga jam setengah di situ.
-malaysiakini
No comments:
Post a Comment
Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.
Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?