SHAH ALAM, 30 Julai (Bernama) -- Wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu membuat laporan polis palsu dan berbohong mengenai ancaman daripada Abdul Razak Abdullah Baginda, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu.
Peguam Wong Kian Kheong, yang mewakili Abdul Razak, berkata tiada SMS atau bukti berdokumen telah dikemukakan untuk membuktikan sebarang ancaman daripada Abdul Razak atau penyiasat persendiriannya P.Balasubramaniam dan K.Suras terhadap nyawa Altantuya.
Sebaliknya, Wong berkata Altantuya adalah sebenarnya orang yang mengancam Abdul Razak apabila dia menghantar beberapa nota termasuk mengancam bahawa dia akan menganggu anak Abdul Razak, Rowena.
Wong berkata Altantuya mendakwa bahawa beliau akan membunuh dirinya (Altantuya menulis dalam laporan polis) tetapi pengakuan sedemikian memang sukar dipercayai berdasarkan kepada semua fakta dan keadaan dalam kes ini.
"Altantuya mendakwa bahawa beliau datang ke Malaysia kerana Abdul Razak. Bukti itu jelas menunjukkan Altantuya datang ke Malaysia bukan atas "jemputan" Abdul Razak dan simati mendakwa bahawa Bala dan Suras cuba untuk memeras wang daripadanya.
"Altantuya juga mendakwa bahawa sama ada Bala dan Suras mengajak untuk berkahwin dengannya. Dakwaan sedemikian bukan sahaja bertentangan tetapi jelas bertentangan berdasarkan kepada keterangan yang dikemukakan di mahkamah ini," katanya.
Wong berkata kredibiliti simati boleh diragui kerana beliau memaklumkan penyiasat peribadinya Ang Chong Beng bahawa Abdul Razak adalah suaminya dan mereka berkahwin di Hong Kong tetapi di dalam laporan polis dan notanya, Altantuya mendakwa Abdul Razak adalah teman lelakinya.
"Dan bapa Altantuya memberi keterangan bahawa anak perempuannya tidak berkahwin pada masa itu," katanya.
Wong memberikan hujahnya dalam perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yassin terhadap Cif Insp Azilah Hadri,32, dan Kpl Sirul Azhar, 37, yang dituduh membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja Selangor, antara 10 malam 19 Ok dan 1 pagi 20 Okt, 2006.
Penganalisis politik Abdul Razak, 48, dituduh bersubahat dengan kedua-dua anggota Unit Tindakan Khas dalam pembunuhan itu.
Wong berkata tiada keperluan bagi Abdul Razak untuk membuat aduan polis terhadap Altantuya kerana Abdul Razak tidak mahu terjadi apa-apa terhadap Altantuya dan dia tidak mahu sebarang publisiti.
Katanya Abdul Razak juga berharap Altantuya pulang ke Mongolia selepas keputusan sumber kewangan dan Abdul Razak akan pergi ke Hong Kong sementara Rowena akan terbang ke London.
Wong juga berkata satu SMS yang telah dihantar oleh Abdul Razak kepada Balasubramaniam pada 20 Okt 2006 juga penting kerana ia jelas menunjukkan Abdul Razak tidak bersubahat di atas pembunuhan Altantuya dan Abdul RAzak sebenarnya lebih risau Altantuya akan menganggu tertuduh ketiga.
"Tiada keterangan secara langsung atau mengikut keadaan untuk membuktikan bahawa Abdul Razak telah bersubahat dengan secara aktif mencadangkan, mendorong, mengalakkan, menasihat, meminta, membayangkan dan atau menyindir Azilah dan Sirul Azhar untuk membunuh Altantuya," katanya.
Sebelum itu, Wong berkata tiada bukti dikemukakan oleh pendakwaan dalam soal bayaran atau dalam apa bentuk gratifikasi oleh Abdul Razak kepada Azilah, Sirul Azhar, Lans Kpl Rohaniza Roslan atau sebarang penama lain di kalangan mereka.
Wong juga berkata Subramaniam mengambil bahagian dalam konspirasi dengan Altantuya, Namiraa Gerelmaa, Uuriituya Gal-Ochir dan Ang untuk memeras ugut Abdul Razak.
"Inilah yang dikatakan harapkan pagar, pagar makan padi dan dalam keterangan Balasubramainam terdahulu beliau sendiri mengakui telah mengadakan perbincangan dengan Ang dan Altantuya terhadap tuntutan sebanyak US$500,000 terhadap anak guam saya tanpa Abdul Razak ketahui", katanya.
Wong juga berhujah Abdul Razak tidak bersalah dalam kes ini dan tiada keterangan secara langsung atau mengikut keadaan untuk membuktikan tuduhan bersubahat.
Perbicaraan bersambung Isnin.
No comments:
Post a Comment
Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.
Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?