ADA setitik cemas berpusar di lubuk hati sementara menanti apakah keputusan dan hasil pertemuan para Shibul Samaah, ahli Majlis Syura Pas dengan Tokguru Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas di Kota Bharu petang tadi.
Resah dan gelisah takut mereka berbalah. Al maklumlah (sekurang-kurangnya) lima lawan seorang. Lima ahli majlis syura dan seorang Tok Guru. Kalau bertumbuk tentu Tok Guru yang rebah!
Mereka tidak berbalah, tetapi berbincang sebenarnya.
Sehingga jam 3:00 petang tidak ada apa-apa berita dari Kota Bharu. Apakah mereka semua sudah cedera jiwa dan hati selepas hebat berdebat dan membelek kitab? Menyebabkan keputusan tidak dicapai?
Puas cuba melongkar internet mencari blog orang-orang di KB takut-takut ada yang lapor. Tetapi tidak ada juga. Nak telefon direct kepada individu berkenaan (ahli majlis syura) rasanya tidak profesional, nanti orang kata menggunakan konteks peribadi untuk dapat bahan berita. Tak aci lagu tu.... jadi kena tunggulah.
Jam 6:36 pm baru ada masuk satu SMS yang memaklumkan perkembangan di Kota Bharu. Bunyi SMS itu; "Asm TGNA beri lampu hijau muqabalah dengan Pak Lah, presiden ketuai urusan politik.."
Terpinar juga biji mata sekejap membaca perkataan muqabalah. Apa menatang muqabalah tu? Lepas tanya di pengirim baru tahu, rupa-rupanya maknanya bersemuka. Tak pa lah tidak muzakarah, bersemuka pun jadilah...
Selepas berita TV3 yang kadang boleh dipercayai dan kadang tidak itu menyiarkan kenyataan ringkas (sambil berdiri) Abdul Hadi, barulah kelegaan sebenarnya terdampar di hati.
Lega kerana cadangan baik itu mendapat restui Nik Aziz. Pertemuan membuahkan hasil yang baik seperti didoakan.
Maknanya pertemuan dan kerja majlis syura ulama itu menyelesaikan masalah yang bertompok hari ini. Semua pihak diharap dapat menerima apa yang diputuskan itu. Bahawa tidak ada perbicangan untuk bergabung dengan Umno.
Tidak ada pengkhianatan dengan PKR, tidak ada soal sesiapa nak jadi menteri, timbalan menteri ataupun pemandu kereta speaker.
Alhamdulilah...
Dan sekejap tadi saya menerima satu lagi SMS berhubung hal yang sama. Pelik bunyinya. "He he aku menang...! Siapa yang menang? Saya menumpang rasa menang dengan pengirim berkenaan, aku menang. Bukan aku, tetapi kita orang-orang yang benar dan ikhlas!
Menang kerana melihat pemimpin tertinggi PAS duduk sekali dan masih memakai akhlak Rasulullah s.a.w. dalam berbincang dan membuat keputusan parti. Tahniah kepada Tok Guru Nik Aziz dan semua ahli majlis syura ulama dan mereka yang menerima baik hasil temubincang di Kota Bharu itu.
Setidak-tidaknya kekalutan isu yang timbul kini telah menambahkan perbendaharaan kata yang berbunyi MUQABALAH. [Berita asal]
No comments:
Post a Comment
Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.
Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?