Oleh Jalal Ali Rahim, Irwan Shafrizan Ismail dan Ifwan Tun Tuah
bhnews@bharian.com.my
R Kumaresan |
KUALA LUMPUR: Teka-teki mengenai keadaan penyiasat persendirian, P Balasubramaniam, berikutan kehilangannya sejak Jumaat lalu, akhirnya terjawab apabila beliau menghubungi anak saudaranya, malam kelmarin.
Balasubramaniam menghubungi anak saudaranya, R Kumaresan, pada jam 11.30 malam dan mengesahkan beliau serta isterinya selamat.
Kumaresan yang ditemui pada satu perhimpunan di Brickfields di sini, malam tadi, berkata bapa saudaranya itu bagaimanapun enggan memberitahu lokasi beliau dan keluarganya berada.
Kumaresan berkata, beliau tidak dapat mengesan nombor telefon yang digunakan bapa saudaranya itu kerana Balasubramaniam menghubunginya menerusi talian peribadi.
Sabtu lalu, Kumaresan membuat laporan di Balai Polis Brickfields selepas gagal mengesan Balasubramaniam dan keluarganya.
Sehari sebelum itu, Balasubramaniam membuat akuan sumpah kedua bagi menafikan tuduhannya sebelum itu yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar juga percaya Balasubramaniam berada dalam keadaan selamat.
"Kita pasti akan mengetahui jika sesuatu yang buruk berlaku ke atasnya," katanya selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Peralatan Polis Asia 2009 di sini. Turut Hadir ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Wahid Md Don.
Wahid bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya mengenai kemungkinan Balasubramaniam sudah meninggalkan negara ini.
Di KUANTAN, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin, tidak menolak kemungkinan Balasubramaniam berada di luar negara dan polis antarabangsa (Interpol) serta polis Asean (Aseanpol) sudah diminta membantu mengesannya.
"Malah, kita sedaya upaya mendapatkan keterangan mereka yang terakhir bercakap dengannya, selain mengarahkan kawalan lebih ketat di pintu masuk negara," katanya selepas menyaksikan Majlis Persaraan dan Serah Tugas Ketua Polis Pahang, Datuk Ayob Mohamed kepada Timbalannya, Datuk Robiah Abdul Ghani.
Mengenai dakwaan seorang lagi anak saudara Balasubramaniam, R Sega yang tidak menolak kemungkinan bapa saudaranya disembunyikan seseorang, Mohd Bakri menegaskan polis tidak menyiasat berdasarkan andaian.
"Kami adalah pegawai polis yang profesional dan perlu melakukan penyiasatan dan tidak ada motif lain. Kami menjalankan penyiasatan bertujuan mencari kebenaran kerana itu tanggungjawab polis," katanya.
Bakri berkata, tindakan polis mencari penyiasat persendirian itu juga bukan bertujuan meletakkannya dalam keadaan tertekan.
"Dia sudah membuat akuan bersumpah dan kami perlu mencarinya secepat mungkin bagi diambil keterangan segera. Kalau dia takut, boleh datang dengan peguamnya. Jika dia mohon kita jamin keselamatannya, kita akan beri kerjasama penuh untuk itu," katanya.
Mengenai perkembangan siasatan kes liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Bakri berkata, lebih ramai lagi saksi akan dipanggil untuk direkodkan keterangan mereka.
"Polis juga akan terus memberi perlindungan kepada pengadu sehingga dirasakan tiada lagi kemungkinan ancaman kepadanya," katanya. Setakat ini, polis sudah merekodkan keterangan 18 saksi termasuk doktor yang membuat pemeriksaan ke atas Mohd Saiful.
No comments:
Post a Comment
Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.
Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?