Ketika saya bangun pagi Eekmal mengatakan:”Boss sudah ke Kedutaan Turki.” Saya lega. Tujuh jam pemimpin-pemimpin tertinggi KeADILan bergelut untuk menyakinkan Anwar Ibrahim supaya mengambil tawaran pemerintahan Turki untuk memberikan beliau perlindungan. Bila saya turun dari tingkat 24 Hotel Quality, Shah Alam, ke bilik saya di tingkat 22, Anwar masih dengan diri biasanya — degil. Rayuan puterinya juga tidak berhasil.
Saya merasakan stress yang luar biasa.Dan ketegangan menyelubungi suite ditingkat 24 yang ditempah oleh IKD sebagai penganjur Seminar Gagasan dan Kebijakan untuk Majlis Politik Tertinggi (MPT), Ahli Parlimen(MP) dan Adun KeADILan. Saya sungguh gembira dengan hasil awal seminar.
Saya gembira kerana semua peserta terasa akalnya teruja dengan pembentangkan Tay Kheng Soon yang seperti menyalakan lilin dalam kegelapan. Sebelum ini kita mendengar ajakan paradigma, begitu sering didengar sehingga menjadi satu slogan. Tetapi pembentangan Tay, seorang arkitek tersohor dari Singapura, benar-benar satu anjakan paradigma, bukan sahaja sebagai teori tetapi lengkap dengan contoh-contoh khusus. Tetapi pada waktu malam, bila mesyuarat MPT diseparuh jalan, suasana bertukar.
Dalam setiap mesyuarat MPT ada agenda khas di mana Anwar akan memberikan taklimat politik semasa, memimpin perbincangan politik dan membina muafakat. Tetapi agenda perbincangan politik menjadi pendek apabila beliau diberikan maklumat tetang laporan polis yang dibuat oleh Saiful Bahri Azlan. Ini bermakna dia boleh ditahan bila-bila masa untuk tujuan ’siasatan’. Benak saya dan saya kira ramai yang lain dalam bilik mesyuarat bertanya: “Apakah kita akan melalui ini semua sekali lagi, setelah 10 tahun, dan setelah gelombang rakyat 8 Mac?”
Khairy Jamaluddin tentunya mempunyai ingatan yang pendek apabila menjerit “Tidak masuk akal.” Semua yang berlaku semasa Anwar dalam tahanan polis September 1998 adalah tidak masuk akal. Dalam kebengongannya untuk berdepan dengan rakyat yang mula marah Khairy melatah: “kemungkinan Anwar sendiri yang menyuruh pembantunya itu supaya membuat laporan polis dan ini adalah satu taktik konspirasi untuk meraih simpati orang ramai.”
Malanglah Abdullah Badawi yang mempunyai menantu yang menjadi murid kepada Tun Mahathir. Bukankah Mahathir yang mengatakan kepada dunia Anwar sendiri yang menghantukan kepalanya ke dinding bilik tahanan sehingga lebam matanya untuk meraih simpati? Mungkin juga Khairy ketika itu masih hisap kopek lagi makanya tidak ingat.
Masuk akalkah Rahim Nor sendiri membelah orang yang beberapa minggu sebelumnya adalah timbalan perdana menteri? Tidak masuk akal pada rakyat Malaysia sebelum Rahim Nor sendiri membuat pengakuan. Masuk akalkah peguam V K Lingam punya peranan besar menjadikan Ahmad Fairuz Ketua Hakim Negara Tidak masuk akal sebelum meletupnya tape V K Lingam.
Pada malam yang panjang itu ada suara yang meminta supaya tidak “over react” dengan laporan polis tersebut. Anwar sendiri bukanlah seorang yang mudah panik. Bahkah apabila orang lain sudah semuanya panik, Anwar akan mententeramkan mereka: “Jangan over reack.” Sepuluh tahun lalu apabila semua penyokong-penyokongnya sudah yakin Mahathir telah menyediakan rancangan untuk menjatuhkannya dan bertubi-tubi menyampaikan cebisan-cebisan maklumat tentang konspirasi tersebut Anwar menghujah penyokong-penyokongnya: “kamu semua over react”.
Dalam Perang Dunia Kedua Stalin tidak mempercayai sama sekali Hitler akan menyerang Russia. Apabila perisikan tenteranya menghantara laporan sulit memberikan tarikh tetap serangan Hitler, Stalin memaki dan mencarut orang yang membuat laporan tersebut.
Saya merasakan peristiwa 10 tahun lalu akan berulang. Pasti tidak sama. Saya melihat-lihat mereka yang masuk satu persatu ke suite tingkat 24. Sepuluh tahun lalu mereka adalah rakyat biasa, fanatikus Anwar yang tidak bernama. Sekarang mereka menduduki dewan rakyat atau anggota pimpinan tertinggi sebuah parti politik yang memimpin pakatan baru parti-parti politik. Dan pakatan ini diambang membentuk pemerintahan baru.
Azmin Ali, dahulunya hanya pemegang dairi merah tetapi kini ahli parlimen dan ketua wip, berpindah dari satu kumpulan ke satu kumpulan dalam suite yang seperti menjadi bilik operasi. Sebelum naik ke suite itu Azmin membuat diktasi kepada Johari Abdul sms yang akan dihantar keseluruh negara. Pasti tidak sama dengan sepuluh tahu dulu. Tentunya. Musa Hasan ketika itu hanya pegawai penyiasat (IO) kini telah menjadi Ketua Polis Negara. Ghani Patail yang juga terlibat sebagai anggota pasukan pendakwa kini adalah Peguam Negara. Tidak sama, mungkin lebih tragis. Perjalanan ke lokap polis mungkin lebih jauh, dan mungkin tidak sampai ke lokap.
Setiap kali pintu suite tingkat 24 diketuk hati semua berdebar. Mungkin ini masanya beliau diambil sekali lagi. Bila malam bertukar dini hari lobi Hotel Quality semakin sesak. Hishamudin Rais masuk dan memeluk Anwar: “Kau ni Anwar memang suka menyusahkan hidup aku.” keduanya ketawa, dan juga mereka yang berhampiran. ” Sejak tahun 74 lagi. Baru aku nak rihat, kau buat hal lagi.” Semua ketawa lagi. Hanya sebentar. Kemudia bilik kembali stress.
Beberapa orang sibuk menaip kenyataan media. Saya hanya menengok. Berbeda sepuluh tahun lalu, kalau kenyataan media mesti saya menulisnya. Kemudian Anwar mengarahkan kenyataan diterjemahkan ke bahasa Melayu. Saya menyuruh Eekmal membuatnya. Anwar telah melantik Eekmal sebagai setiausaha akhbar bahagian bahasa Melayu, tetapi hanya mula bertuga I Julai. Eekmal merujuk kepada Yusmadi (Yang Berhormat Balik Pulau) untuk istilah undang-undang.
Masa sudah berubah. Anwar sudah ada pembantu-pembantu dari generasi baru.Sim Tze Tzin, sudah menjadi Adun Pantai Jerjak, masih bertugas di pejabat Anwar sebagai koordinator politik. Tetapi pejabat itu juga diimbangan dengan generasi matang — Ibrahim Yaakob dan Din Merican. Itulah magis dan magnet pejabat Anwar, menarik mereka untuk memulakan karir hidup seperti (sekarang) Eekmal, Farhash, mereka yang jemu dengan karir lama dan ingin membuka lembaran lalu seperti (dahulunya) Azmin, saya dan lain-lain; dan juga mereka yang ingin memberi makna kepada zaman pensiunan mereka, inilah kategori Ibrahim dan Din.
Di luar pejabat itu ada beberap lapis lingkaran penyokong, sedikit saya kenali, dan sebahagian besarnya tidak. Ada yang mahu dikenali, dan sebahagian banyak tidak. Anwar Ibrahim adalah satu institusi. Dan sebagai sebuah bangunan Anwar juga menarik anai-anai. Atau ada anai-anai yang dihantar.
Kalau ada kampung berdekatan, dan tingkap kami buka, kami sudah pasti mendengar ayam berkokok kali kedua.Dini hari mendekati subuh. Perut saya mulai rasa pedih. Saya takut diserang gastrik, sebagaimana berlaku selepas Malam Karyawan II.
Saya meminta tolong Eekmal membelikan roti canai. Esok Seminar Gagasan dan Kebijakan perlu diteruskan. Saya turun ke bilik untuk menunggu roti canai. Pemimpin-pemimpin Keadilan, rakan-rakanya masih berusaha menyakinkan Anwar dia perlu pergi ke tempat selamat.
No comments:
Post a Comment
Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.
Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?