KUALA LUMPUR, 26 Julai (Hrkh) - Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din melahirkan rasa kagum atas penganugerahan hadiah nobel keamanan kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat oleh Gusi Peace Price Foundation.
"Saya berasa amat terharu kerana penghargaan ini datang pada waktu dan saat umat Islam di Malaysia dan Asia melihat suatu perkembangan baru umat Islam di rantau ini yang mula meniti kejayaan khasnya bagi pejuang Islam di Malaysia," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.
"Sememangnya wajar tokoh itu diberi penghargaan, namun saya sangat yakin bahawa tuan guru tidak pernah mengharapkan anugerah itu kerana beliau lebih menghargai anugerah daripada Allah yang telah meletakkan beliau sebagai pejuang Islam yang beristiqamah, dedikasi dan komited dengan perjuangannya," katanya lagi.
Kejayaan tersebut ujarnya tidak dapat dipisahkan dengan sumbangan besar ulama' tersohor itu yang banyak menghasilkan karya, buku, mengajar, memberi pandangan yang kesahihannya menuju ke arah pembinaan ummah berteraskan Islam.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa selain anugerah yang diberikan Allah kepada manusia, bagi umat Islam terlalu kurang mendapat anugerah daripada manusia khususnya bagi mereka yang gigih memperjuangkan agama Allah.
"Bagi orang Islam, anugerah teragung adalah apabila dapat bertemu dengan Allah kelak.
"Namun teramat kurang dunia memberikan penghargaan kepada pejuang-pejuang Islam dan karyawan ulung dan tersohor," ujarnya lagi.
Beliau menganggapTuan Guru Nik Aziz memiliki pandangan yang membina, pendirian yang amat tegas, kata-kata yang didengari, dipatuhi pengikut serta amat digeruni musuh.
"Ketajaman penanya serta keberkesanan ideaya menjadi fokus utama penilai-penilai yang hendak menilai siapa tuan guru.
"Beliau seorang ulama' besar dan seorang ahli politik yang amat disegani, mempunyai visi dan misi yang jauh memandang ke hadapan, tok guru terus konsisten mengajak rakyat mendaulatkan Islam," katanya lagi.
Tuan Guru Nik Aziz dijangka akan menerima Anugerah Keamanan Nobel versi Asia, Anugerah Keamanan Gusi pada November ini di Manila, Filipina.
Anugerah keamanan Gusi ini diadakan setiap tahun oleh Gusi Peace Price Foundation dan difahamkan 10 hingga 15 tokoh akan dipilih untuk menerima anugerah yayasan itu.
Menurut sumber, anugerah ini akan disampaikan oleh Ketua Yayasan Gusi, Barry Gusi, di ibu pejabatnya yang terletak di Manila.
Barry Gusi dalam satu ulasannya mengenai penganugerahan itu berkata, Menteri Besar Kelantan itu merupakan tokoh kedua dari Malaysia yang memenangi anugerah ini.
Untuk tahun ini, seramai 1,490 tokoh dicalonkan di seluruh dunia sebagai penerima anugerah tersebut.
Anugerah ini boleh dikatakan sebagai anugerah Keamanan Nobel versi Asia, menurut Barry Gusi./wann_
takbir!
ReplyDelete