Tuesday, July 22, 2008

Isu Mercedes ke Kabinet Kerajaan akan bincang sama ada Terengganu langgar dasar kereta nasional

LUMUT 21 Julai – Isu pembelian 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor bernilai RM3.43 juta sebagai kenderaan rasmi Menteri Besar, Exco dan pegawai kanan Kerajaan Negeri Terengganu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara itu perlu dibincangkan bagi menentukan sama ada ia melanggar dasar kerajaan mengenai penggunaan kereta nasional oleh kementerian dan kerajaan negeri.

Katanya, Kerajaan Pusat sebelum ini telah memutuskan bahawa semua kementerian dan kerajaan negeri perlu menggunakan kereta nasional.

“Saya guna kereta nasional dan Perdana Menteri pun guna kereta nasional.

“Kita akan berbincang dalam Kabinet bagi menentukan sama ada terdapat kewajarannya,” kata Najib kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Majlis Industri Pertahanan Malaysia di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini hari ini.

Najib berkata demikian ketika mengulas langkah Kerajaan Negeri Terengganu membeli 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu.

Menurut beberapa pihak, tindakan kerajaan negeri itu bercanggah dengan pekeliling kerajaan Pusat berhubung penggunaan kereta nasional oleh para pemimpin dan pegawai kanan kerajaan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said semalam mendakwa kerajaan negeri terpaksa membuat pembelian tersebut ekoran kos penyenggaraan Proton Perdana terlalu tinggi kerana kereta model itu mudah rosak dan tidak tahan untuk perjalanan jauh.

Sambil mempertahankan pembelian kereta Mercedes, Ahmad berkata, walaupun kos permulaan pembelian kereta buatan Jerman itu tinggi tetapi kerajaan negeri dapat berjimat dari segi kos penyenggaraan dalam tempoh jangka panjang.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhamad Sha'ani Abdullah menyifatkan langkah Ahmad membeli kereta-kereta Mercedes itu sebagai satu pembaziran besar.

“Ia tidak sepatutnya dibuat ketika kerajaan lantang berkempen supaya rakyat berjimat cermat,” katanya.

Beliau mendesak pembelian itu dikaji semula.

“Alasan Ahmad mengenai kerosakan teruk sebuah Perdana V6 Eksekutif yang digunakan oleh seorang Exco Terengganu dilihat terlalu lemah.

“Ia tidak boleh dijadikan alasan pembelian. Hujah itu seolah-olah merendahkan kualiti kesemua model kereta Proton,” katanya ketika dihubungi.

Muhamad Sha’ani berkata: “Tindakan Menteri Besar Terengganu itu adalah perbuatan merendah-rendahkan produk negara. Pada masa kerajaan menyuruh rakyatnya berjimat, mengapa beliau membeli kereta mahal pula?

“Seharusnya beliau menjadi ikon jimat cermat kepada masyarakat. Apa yang dilakukannya terang-terang bertentangan dengan dasar jimat cermat kerajaan selama ini.”

Mengulas isu yang sama, Setiausaha Kelab Perdana V6: V-Sixers , Mohd. Yazmeen Md. Yusof berkata, tindakan kerajaan Terengganu membeli kereta Mercedes bagi menggantikan Proton Perdana adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, pemimpin kerajaan seperti Ahmad seharusnya mempromosikan kereta tempatan dan bukan mengagung-agungkan kereta keluaran Barat.

“Para pemimpin kerajaan harus sedar mereka sebenarnya duta yang bertanggungjawab mempopularkan kereta keluaran negara sendiri,'' jelasnya.

Pengarah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Darshan Singh pula menganggap tindakan kerajaan Terengganu itu sebagai satu langkah yang tidak popular.

“Kerajaan menyuruh rakyat berjimat cermat tetapi Terengganu pula menukar kereta mewah.

“Bagaimana kita hendak menjadi contoh kepada rakyat sedangkan pemimpin tertentu jelas membazir dan tidak menghargai produk negara sendiri?” ujarnya.

-Utusan

No comments:

Post a Comment

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?