Tuesday, July 22, 2008

K'jaan digesa rombak sistem urus pekerja asing

Jul 22, 08 4:30pm
Kini wujud kekeliruan yang besar mengenai pengurusan pekerja asing, pelantikan ejen-ejen, pembaharuan permit dan lesen serta peranan agensi-agensi penguatkuasaan, kata Pusat Kajian Dasar Awam (CPPS).

Sehubungan itu, Pengerusinya, Tan Sri Ramon V Ravaratnam, berkata, sistem yang ada sekarang perlu dirombak supaya ia lebih jelas kepada majikan (di dalam dan luar negeri) dan meningkatkan keyakinan pelabur.

"Keperluan untuk menangani masalah ini amatlah penting, kerana ia akan dapat mengikis persepsi, seperti yang dibangkitkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bahawa kerajaan menentang penubuhan kesatuan pekerja asing." katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, katanya, satu sistem yang lebih cekap dan telus diperlukan segera untuk meningkatkan integriti Jabatan Imigresen dan pelbagai agensi kerajaan dalam menguruskan pekerja asing di negara ini.

Sehubungan itu, katanya, CPPS mengalu-alukan kenyataan Ketua Pengarah Imigresen yang baru, Datuk Mahmood Adam untuk menjadikan jabatan tersebut lebih cekap dan telus.

"Selaras dengan usaha meningkatkan keberkesanan dan integritinya, maka sistem pengurusan pengambilan pekerja asing hendaklah dirombak segera," katanya.

Satu skim gaji

Ramon berkata, sistem yang digunakan sekarang amat tidak memuaskan kerana sistem pelantikan ejen-ejen adalah terdedah kepada penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Sebaliknya, kata beliau, CPPS mencadangkan agar syarikat-syarikat terbabit mencari pekerja asing secara terus, tertakluk kepada garispanduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Imigresen.

CPPS juga, katanya, mencadangkan agar satu skim gaji yang munasabah diwujudkan bagi pekerja terbabit.

Katanya, ini kerana pekerja bergaji rendah kini menjadi bahan eksploitasi kerana keadaan pekerjaan yang tidak baik, menyebabkan mereka tidak mampu menjalani kehidupan sepatutnya, terutama dengan kenaikan kadar inflasi dan kos sarahidup.

Ramon berkata, kerajaan harus sedar bahawa pihak syarikat kini bergantung kepada kakitangan yang berpengalaman dengan produktiviti yang tinggi.

Katanya, langkah menaikkan gaji ke tahap yang munasabah menurut industri masing-masing akan dapat memastikan negara melabur dalam modal insan untuk kebaikan negara dalam jangka masa panjang.

-malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?