Thursday, July 24, 2008

Malaysia & Singapura Teliti Perundangan Batu Puteh, Kata Rais

SINGAPURA, 23 Julai Bernama - Malaysia dan Singapura sedang mengkaji segala aspek teknikal dan perundangan berhubung Batu Puteh, yang kini menjadi milik republik itu dan Batuan Tengah, yang menjadi kedaulatan Malaysia, serta status Tubir Selatan.

"Jawatankuasa teknikal negara masing-masing akan merangka format, skop dan menentukan bidang-bidang yang perlu diselesaikan menerusi perundangan dan teknikal dalam keupayaan mereka atau dalam keupayaan pakar-pakar lain," kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Asean (AMM) ke-41 bersama rakan-rakan dialog di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri mesyuarat dua hala dengan Amerika Syarikat dan Rusia serta mesyuarat-mesyuarat sampingan.

Adalah dilaporkan bahawa Singapura akan menuntut kawasan perairan wilayah dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ)di sekitar Baru Puteh, yang diberikan kepada republik itu oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) 23 Mei lepas.

Semalam, Menteri Kanan Singapura Balaji Sadasivan berkata negaranya mempunyai kawasan perairan wilayah sehingga maksimum 12 batu nautika dan EEZ yang konsisten selaras Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) pada 10 Dis 1982.

Rais berkata hubungan antara Malaysia dan Singapura tidak terjejas sama sekali dalam apa cara juga berikutan perkembangan terkini itu.

"Hubungan itu berada dalam keadaan kukuh dan persekitaran mesra serta kerjasama dalam keadaan baik seperti sedia kala," katanya.

Rais berkata: "Jika wujud keperluan atau syarat perundangan di bawah UNCLOS, maka kita akan memohon nasihat mereka berhubung perkara ini.

"Kita akan menunggu laporan dari jawatankuasa teknikal yang akan mengemukakan laporan kepada pihak berkuasa negara masing-masing," katanya.

Rais berkata semasa perbualan dengan rakan sejawatnya dari Singapura, George Yeo hari ini, mereka bersetuju seperti sebelum ini supaya jawatankuasa teknikal kedua-dua negara harus menjadi entiti secara langsung bertanggungjawab atas kerja-kerjanya.

Katanya jawatankuasa teknikal berkenaan akan melaporkan perkembangan kepada kerajaan masing-masing.

"Jika timbul masalah dari hasil kajian atau jika ada keperluan untuk kedua-dua jwatankuasa itu bertemu, kita akan membangkitkan perkara itu," kata Rais yang mengetuai delegasi Malaysia ke AMM di sini.

Ditanya mengenai isu Singapura menuntut EEZ, Rasi berkata: "Mereka tidak tuntut EEZ, apa juga yang mereka cuba lakukan, ianya termasuk perkara-perkara yang berkaitan dengan EEZ dan oleh itu kita akan menunggu hasil penemuan dan cadangan jawatankuasa teknikal."

No comments:

Post a Comment

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?