ALOR STAR, 28 Julai (Bernama) - PAS hari ini memberi amaran kepada DAP untuk tidak mencampuri urusan parti itu sambil menegaskan bahawa ia berhak untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang diingininya termasuk UMNO.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata PAS sama sekali tidak rela untuk mengikut telunjuk sesiapa dalam perjuangannya dan ekoran itu DAP yang menjadi sekutunya dalam Pakatan Rakyat tiada hak untuk menghalang atau menentukan tindak tanduk PAS.
"PAS, DAP dan Parti KeAdilan Rakyat (PKR) hanya bekerjasama sebagai satu Pakatan Rakyat untuk menghadapi BN (Barisan Nasional) dalam pilihan raya lepas, bukan gabungan macam BN," katanya.
"Malaysia adalah negara bebas dan mengapa kita mesti mengikut telunjuk orang," katanya ketika mengulas kenyataan Pengerusi kebangsaan DAP, Karpal Singh agar Pakatan Rakyat mengkaji semula keanggotaan PAS berikutan tindakannya mengadakan rundingan dengan UMNO demi perpaduan Melayu.
Semalam, Karpal menganggap tindakan PAS itu sebagai tidak ikhlas kerana ia mengundang keraguan tentang kredibiliti parti itu dalam Pakatan Rakyat dan oleh itu keanggotaan PAS perlu dikaji semula.
Kenyataan terbaru Karpal itu dilihat sebagai tanda perpecahan mula ketara dalam pakatan parti pembangkang itu.
Azizan yang juga Menteri Besar Kedah berkata Karpal tidak berhak untuk mempertikai sebarang tindakan yang diambil PAS atau meminta PAS merujuk dahulu kepada DAP atau Pakatan Rakyat jika ingin berbincang dengan Umno.
"Karpal sendiri pernah menyatakan langkah mayat dia dulu kalau mahu Pakatan Rakyat berunding dengan UMNO. PAS sudah melaksanakannya. Sekarang terpulang kepada dia (Karpal untuk tindakan lanjut)," kata Azizan.
Beliau berkata PAS sebenarnya menyambut baik usaha Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno untuk bermuzakarah, kerana PAS telah lama berharap usaha murni itu dapat direalisasikan.
"Cerita PAS mengajak Umno bermuzakarah bukan baru, jadi tiada apa yang perlu dirisaukan oleh parti dalam Pakatan Rakyat," kata Azizan.
Di SHAH ALAM, Pengerusi PKR Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika cuba untuk meredakan keadaan menyifatkan perkembangan antara PAS dan DAP itu sebagai masalah politik yang biasa berlaku dalam setiap parti politik.
Beliau berkata pergeseran dan perbezaan pendapat bukan sahaja berlaku di antara parti di bawah Pakatan Rakyat tetapi juga wujud di antara parti di dalam BN.
"Masalah politik ini adalah masalah biasa, dalam UMNO pun ada masalah politik, dalam Pakatan Rakyat pun ada perbezaan pendapat tetapi akhirnya tujuan mereka jalankan usaha politik ialah untuk kebajikan rakyat. Kalau tidak, buat apa mereka masuk politik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel anjuran "Task Force" Tanah dengan kerjasama kerajaan Selangor di sini, hari ini.
Ditanya sama ada beliau berpendapat tindakan PAS mengadakan pertemuan dengan Umno itu bukan satu kesalahan, Abdul Khalid menjawab: "Tak ada, ini politik...saya rasa ia (PAS) akan cuba nilai keadaannya tetapi bagaimanapun kepimpinan PAS, PKR dan DAP menyatakan bahawa Pakatan Rakyat adalah mantap."
Di IPOH, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali menawarkan kerjasama dengan PAS untuk membentuk kerajaan negeri Perak berikutan sikap negatif DAP terhadap PAS selain sebagai permulaan ke arah penyatuan kedua-dua buah parti itu.
Beliau berkata tawaran itu juga adalah bagi menyahut saranan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya UMNO dan PAS dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baru berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak termasuk bukan Islam.
"Umno Perak mahu memulakannya dengan langkah pertama ke arah pengabungan...ini langkah awal elak perpecahan Melayu dan bagi mewujudkan kestabilan politik serta kerajaan negeri Perak yang lebih kukuh," katanya kepada pemberita di pejabat UMNO Perak di sini.
Beliau berkata cadangan Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan itu adalah baik dan Perak sebagai sebuah negeri bermasyarakat majmuk ia adalah tempat terbaik untuk menguji dasar pemerintahan hasil gabungan antara PAS dan UMNO berbanding Kelantan yang majoriti penduduknya berbangsa Melayu dan Islam.
Tajol Rosli berkata UMNO dengan 27 anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta seorang dari MCA sedia bekerjasama dengan PAS yang mempunyai enam ADUN bagi membentuk kerajaan negeri yang lebih kukuh berbanding kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) dengan 31 ADUN sekarang.
Beliau berkata UMNO dan PAS boleh bekerjasama memerintah Perak terlebih dahulu dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan kedua-dua parti untuk meneruskan perbincangan peringkat Presiden serta menubuhkan jawatankuasa ke arah pembubaran dan pembentukan sebuah parti baru.
Tajol Rosli berkata kerajaan negeri Perak yang dibentuk bersama oleh UMNO dan PAS Perak akan lebih stabil dan kukuh berbanding kerajaan PR sekarang yang agak lemah dengan anggota-anggota ADUN yang saling tidak mempercayai antara satu sama lain.
"UMNO Perak sanggup menerima Menteri Besar dari PAS...perbezaan antara DAP dan PAS adalah lebih jauh berbanding dengan PAS dan UMNO yang pernah bekerjasama pada zaman (Perdana Menteri) Tun Abdul Razak dahulu," katanya.
Tajol Rosli berkata Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah seorang pemimpin yang baik tetapi menerajui sebuah kerajaan yang rapuh.
Kerajaan PR yang memerintah Perak dianggotai 18 ADUN DAP, 7 PKR dan 6 PAS.
Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata DAP tidak sewajarnya meragui kredibiliti PAS semata-mata kerana PAS mengadakan "pertemuan biasa" dengan UMNO.
Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS Perak berkata PAS memberi komitmen akan terus bersama Pakatan Rakyat sama ada di peringkat negeri mahupun nasional.
"Sebenarnya tidak ada muzakarah (PAS-UMNO). Kalau kita lihat balik yang ada itu hanya satu perjumpaan biasa, satu temuramah iaitu muqabalah. Jadi tidak timbul persoalan muzakarah.
"Kita tidak bercantum dengan UMNO. Kalau bercantum dengan UMNO mungkin persoalan itu timbul tetapi tidak ada (percantuman dengan UMNO)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Air Perak (LAP).
Mohammad Nizar juga menolak tawaran UMNO Perak untuk bergabung dan bersama memerintah kerajaan negeri Perak kerana telah memberikan komitmen kepada DAP dan PKR untuk kekal dan bersama-sama memimpin negeri itu.
TP - DAP tak bengong...yang bengongnya si tua Karpal Singh tu..! elok Pakatan Rakyat kaji balik kedudukan Karpal Singh dalam Pakatan Rakyat...elok kalau Karpal Singh ni DILARANG DARIPADA MENGELUARKAN KENYATAAN. setakat ni kenyataan si tua Karpal Singh ni banyak yang bengong-bengong...Ni la "Duri Dalam Daging" dalam DAP...kalau si tua ni tak dak...aman Pakatan Rakyat...
No comments:
Post a Comment
Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.
Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?