Tuesday, July 15, 2008

"PAS sedia muzakarah, minta pihak ketiga jadi orang tengah" Nik Aziz

Oleh Bernama
Selasa, 15 Julai 2008

KB: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata parti itu sedia bermuzakarah dengan Umno mengenai perpaduan Melayu hanya jika itu adalah kehendak anggota akar umbi dan bukannya kepimpinan Umno bagi memastikan PAS tidak terjebak sekali lagi dalam "perangkap politik Umno".

Katanya cadangan untuk mengadakan perbincangan itu hendaklah datang daripada peringkat cawangan Umno yang dibawa kepada peringkat bahagian dan seterusnya ke Prhimpunan Agung Umno.

Menteri Besar Kelantan itu berkata beliau menetapkan syarat itu kerana merasakan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam untuk mengadakan muzakarah dengan PAS lebih kepada permintaan peribadi Presiden Umno itu dan bukannya daripada kehendak Umno sebagai sebuah parti.

"Pak Lah kini dalam keadaan yang terhoyong-hayang dan dia sudah menetapkan tarikh untuk serah kuasa, jadi dalam keadaan sekarang saya melihatnya lebih kepada permintaan peribadi.

"Dalam keadaan ini saya teringat pada (bekas Perdana Menteri Allahyarham) Tun Razak Hussein yang pernah meminta PAS bergabung dengan Umno tetapi kami dikhianati. Saya bimbang ini adalah satu perangkap," kata Nik Aziz kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka di sini hari ini.

Beliau berkata dengan cadangan daripada peringkat akar Umno itu, ianya menunjukkan keikhlasan Umno secara keseluruhan untuk mengadakan muzakarah, sekaligus mencerminkan Umno sudah menolak konsep kebangsaan yang dipegang parti itu dan menerima Islam sebagai agama yang membawa kepada kemajuan dan bukan memecah-belahkan rakyat.

Katanya beliau tidak mahu Umno menjadikan perbincangan itu kelak kerana terdesak kerana mahu mencaturkan semula politik akibat kekalahan teruk dalam pilihan raya umum lalu.

Nik Abdul Aziz berkata sehingga kini beliau belum diberitahu mengenai perkara-perkara yang akan dibincangkan dalam muzakarah itu.

Beliau mencadangkan pihak ketiga dijemput sebagai orang tengah dalam muzakarah itu.

No comments:

Post a Comment

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?