Wednesday, July 23, 2008

PAS 'tidak minat tawaran' Umno

kemaskini 5:20pm
PAS "tidak berminat menerima tawaran" Umno sewaktu rundingan wakil parti itu dengan perdana menteri dan bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, Mac lalu.

"Sesiapa juga yang datang kepada kami untuk menawarkan jawatan ataupun menawarkan kedudukan yang menggiurkan, kita tidak akan terima. Kita ada prinsip, harga diri. Pimpinan PAS bukan boleh ditawarkan jawatan sedemikian," kata ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.

Mengulas lanjut perkara itu, beliau berkata: "Sama ada tawaran itu perdana menteri, menteri besar walau apa pun, kami tidak berminat untuk bincang tentangnya.

pas salahudin ayub 230708"Kita ada mandat, kita ada tanggungjawab dan prinsip perjuangan. Kita boleh bincang tentang kepentingan negara," tambahnya dalam satu sidang akhbar mengenai pendirian rasmi Pemuda PAS dalam isu tersebut.

Menurut beliau, pihaknya sedia bersama-sama kerajaan membincangkan isu-isu seperti tuntutan perairan sekitar Pulau Batu Puteh.

Mengulas tindakan PAS terus mengadakan perbincangan tertutup dengan Umno selepas mengetahui wujudnya tawaran itu, beliau berkata:

"Ya, selepas pilihanraya (umum) Khir Toyo mempelawa kita. Kita bersedia untuk dengar. PAS walaupun menang agak besar dalam pilihanraya yang lepas, tidaklah kita menang besar sangat, tetapi kita lebih baik daripada 2004, kita tidak sombong.

'Kita boleh bincang'


"Kita tidak angkuh, walaupun Umno mengajak kita, kita bersedia datang dan mendengar. Kita tidak boleh menunjukkan keangkuhan kita. Mentang-mentanglah kita menang banyak sikit, Umno nak ajak bincang pun, kita tak mahu. Bukan begitu sikap kita," kata Salahuddin.

Ditanya kenapa pertemuan itu dilakukan sedangkan agendanya mengenai perkongsian kuasa PAS-Umno, Salahudin berkata:

"Mungkin tidak begitu. (Umno) telefon hendak bincang, macam saya, biasa... menteri-menteri, itu biasa, kita boleh bincang tentang apa-apa topik, di parlimen, di luar parlimen. Kita boleh jumpa di mana-mana coffee house, tetapi kita ada prinsip. Kalau itu (jawatan) yang ditawarkan, kita tidak berminat tentang itu."

Sebelum itu, Salahuddin yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata Pemuda PAS tidak pernah menutup sebarang pintu perbincangan dengan mana-mana pihak yang melibatkan masalah negara dan antarabangsa.

"Sebagaimana kami putuskan pada (mesyuarat khas) malam tadi, PAS sebagai sebuah parti dalam negara kita ini, tidak pernah menutup mana-mana inti perbincangan dengan mana-mana pihak kerana itulah dasar dan pendekatan kita.

"Kita bersedia untuk berbincang dengan siapa-siapa sahaja pada bila-bila masa untuk kepentingan negara, kepentingan rakyat dan apa jua isu yang melibatkan negara kita sama ada isu itu melibatkan persoalan dalam negeri dan juga persoalan antarabangsa," katanya.

Namun, tambahnya, perbincangan itu bukan melibatkan "pakatan politik" seperti rundingan awal Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dr Mohamad Khir dengan timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa beberapa hari selepas keputusan pilihanraya umum 8 Mac diketahui.

Tolak pakatan politik


"Kita menolak dan menentang sekeras-kerasnya muzakarah yang bersifat atau cuba memfokuskan kepada pakatan politik ataupun kerjasama politik antara PAS dan Umno buat masa ini," katanya.

Dalam blognya, Dr Mohamad Khir mendedahkan butiran pertemuan tersebut, antaranya beliau mencadangkan agar PAS diberi jawatan menteri besar Selangor dan timbalan menteri besar serta empat exco.

Salahuddin berkata, Pemuda PAS bagaimanapun menolak kerjasama politi antara dua parti Melayu itu dan tetap kekal dalam gabungan Pakatan Rakyat.

"PAS mesti terus dalam Pakatan Rakyat. Pakatan adalah keutamaan, Pakatan sebagai wadah alternatif kepada BN. Fitnah, hasutan untuk memecahkan Pakatan Rakyat akan ditentang keras Pemuda PAS," katanya.

Mengulas penolakan mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap usaha muzakarah, Salahuddin berkata "itu pendirian beliau" dan penolakan menteri besar itu dalam konteks perkongsian kuasa.

"Itu pendirian dia. Dan saya yakin dia bercakap dalam konteks muzakarah itu ke arah perkongsian kuasa. Itu saya yakin dia maksud begitu, sebab rakyat di bawah sana agak terkeliru tetapi rakyat faham muzakarah itu adalah perkongsian kuasa buat masa ini.

"Itu mungkin Tok Guru Nik Aziz mengambil sikap dia tidak setuju buat masa ini adanya muzakarah antara PAS dan Umno.

Faham peranan masing-masing


Ditanya sama ada pendirian Pemuda itu dipersetujui oleh pimpinan di peringkat pusat, beliau berkata "pendiriannya jelas" dan "tidak kisah kalau pemimpin tidak setuju".

Ditanya sama perbincangan isu perpaduan Melayu dan Islam akan menjejaskan hubungan dengan DAP, beliau berkata:

"DAP juga berhak berjumpa dengan sesiapa sahaja. Hatta kita melihat sampai tahap bekas pimpinan Gerakan mengetuai beberapa syarikat kerajaan negeri. Di selangor juga, saya difahamkan bekas ahli parlimen Segambut daripada Gerakan juga bersama DAP.

"Saya rasa itu tidak mengikat kita dan masing-masing faham peranan masing-masing," katanya selepas sidang media tersebut yang diadakan di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur.

"Mereka juga ada dasar dan pendekatan mereka. Kita ada dasar dan pendekatan kita. Untuk membincangkan masa depan orang Melayu, agama Islam (dalam keadaan) yang Umno sekarang masih lagi menjadi teras kekuasaan, apa masalahnya untuk PAS mengadakan perbincangannya telus, bukan pakatan sulit," tambahnya.

Bagaimanapun, ketika menjawab soalan pemberita, beliau berkata, muzakarah PAS dan Umno sukar menjadi kenyataan kerana "stigma di kalangan ahli-ahli PAS di peringkat bawah" yang mengaitkan muzakarah itu dengan perkongsian kuasa.

-malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?