Monday, July 14, 2008

Shabery perjelas sebab RTM tidak siar secara langsung debat dengan Anwar

14-07-2008 03:27:18 PM

KUANTAN: Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata beliau bersetuju supaya debat beliau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim esok mengenai isu kenaikan harga minyak disiarkan secara langsung supaya tidak timbul tanggapan kononnya program itu ditokok tambah atau disunting.

Namun, katanya, siaran langsung itu tidak disiarkan oleh RTM tetapi oleh Bernama TV, Astro Awani dan TV9, kerana beliau berpegang kepada amalan tidak mahu menggunakan RTM untuk sebarang wawancara rasmi melibatkan beliau.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Kompleks Penyiaran dan Auditorium RTM Pahang yang disempurnakan oleh Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini, Ahmad Shabery berkata beliau juga bersetuju dengan siaran langsung itu kerana ia mempunyai nilai berita dan bukannya untuk beliau mendapatkan populariti.

"Jangan jadikan saya orang ketiga (terpenting mendapat liputan selepas Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri)," katanya ketika diminta mengulas mengenai debat yang bertajuk "Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak" dengan penasihat Parti Keadilan Rakyat itu yang dijangka bermula pada 9 malam di Dewan Bahasa Dan Pustakan.

Anwar dilaporkan pernah berjanji untuk menurunkan harga minyak sebaik sahaja sekiranya pembangkang berkuasa, dengan berkata : "Jika Pakatan Rakyat mengambil alih memerintah Malaysia, maka harga minyak akan turun serta merta esoknya."

Ahmad Shabery berkata debat itu akan membolehkan beliau selaku Menteri Penerangan menjelaskan mengenai alasan kerajaan menaikkan harga minyak baru-baru ini ekoran kenaikan mendadak harga minyak mentah di pasaran dunia.

"Kalau Menteri Penerangan tidak boleh menerangkan dasar kerajaan, siapa lagi? Sebab itu, saya beritahu Perdana Menteri, kalau sya tidak berupaya menerangkan isu ini, saya serahkan kepada Perdana Menteri untuk mencari Menteri Penerangan yang lain," katanya.

Ahmad Shabery berkata beliau yakin rakyat akan dapat menilai secara rasional tindakan kerajaan menaikkan harga minyak.

"Rakyat boleh menilai sendiri perkara itu, dan perkara ini (debat) boleh jadi trend negara kita, kalau kita ada perbezaan pendapat, kita berdebat, ini adalah lebih baik daripada membuat demonstrasi, mengganggu ketenteraman awam, buat konsert tak senonoh," katanya. BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?