Tuesday, July 22, 2008

Terengganu Sedia Kemuka Bukti Kos Selenggara Perdana V6 Executive

KUALA TERENGGANU, 22 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Terengganu sedia mengemukakan bukti terperinci kos perkhidmatan dan kerosakan kereta Proton Perdana V6 Executive, yang telah digunakan sebagai kenderaan rasmi kerajaan negeri sebelum ini.

Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar, kerajaan negeri tidak mampu membiayai lagi kos selenggaraan kenderaan berkenaan kerana sejak mula digunakan empat tahun lepas, ia telah melibatkan perbelanjaan yang tinggi bagi tujuan tersebut.

"Misalnya, kos penyelenggaraan dua kereta tersebut mencecah RM175,229.97 yang tertinggi dan RM132,357.76 dari 2004 sehingga hari ini," menurut kenyataan itu yang dihantar kepada Bernama melalui faks di sini hari ini.

Semalam, Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata kerajaan negeri Terengganu terpaksa membeli 14 buah Mercedes E200 Kompressor bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu kerana kereta nasional itu mudah rosak dan tidak tahan untuk perjalanan jauh.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa langkah kerajaan negeri membeli 14 kereta Mercedes itu juga adalah setelah mengambil pertimbangan tentang kenaikan harga bahan api dan nilai terpakai yang tinggi untuk kereta berkenaan.

"Daripada segi ciri-ciri keselamatan, kerajaan negeri berpuas hati dengan ciri-ciri keselamatan Mercedes E200 Kompressor. Ini adalah penting kerana pegawai-pegawai yang menggunakan kereta ini merupakan eksekutif tertinggi dalam kerajaan dan keselamatan mereka adalah keutamaan," kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menjelaskan bahawa pembelian 14 buah kereta Mercedes bernilai RM3.43 juta sebagai kenderaan rasmi kerajaan negeri itu adalah telus dan wajar.

Pembelian kereta untuk kegunaan pegawai tinggi kerajaan adalah telus dan tidak sekali-kali menggunakan wang royalti minyak. Pembelian ini juga selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (II) yang mensyaratkan semua kenderaan buatan tempatan atau dipasang dalam negara (CKD) sahaja.

"Kereta Mercedes E200 Kompressor ini mematuhi syarat tersebut kerana ia dipasang di Pekan, Pahang sebagai produk CKD. Kewajaran pembelian kereta ini juga berdasarkan kelasakan kereta model ini dan kos penyelenggaraannya yang rendah," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga menjelaskan bahawa Menteri Besar masih menggunakan kereta kerajaan negeri yang lama bernombor pendaftaran TAR 567 yang berusia 18 tahun dan bukan yang baru seperti dilaporkan dalam sebuah akhbar tempatan.

-BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?