Thursday, August 07, 2008

Abdullah Nafi Dakwaan Anwar

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menafikan bahawa beliau mengarahkan supaya penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dihadapkan ke mahkamah Khamis.

"Bagaimana saya boleh berkeras supaya dia didakwa. Jika tiada bukti, polis bukan bodoh hanya kerana si polan itu atau si polan ini mungkin berkata dakwa. Dan saya bukanlah orangnya yang meminta orang itu didakwa.

"Ini adalah isu undang-undang, seseorang itu yang berasa perlu keadilan, dia membuat laporan polis. Oleh itu, polis bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di sini, Rabu.

"Apa yang saya kata adalah jika anda mempunyai sesuatu untuk mendakwa, jika mempunyai bukti untuk mendakwa, kamu dakwa. Jika tiada, gugurkan (dakwaan). Itu yang saya kata", katanya.

Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Anwar bahawa keputusan kerajaan mendakwa dia di mahkamah adalah satu usaha untuk mengalih tumpuan ramai daripada krisis keyakinan yang dihadapi Perdana Menteri.

Abdullah berkata polis berhak untuk menyiasat dan ia terpulang kepada mereka untuk memutuskan bentuk tindakan berdasarkan daripada siasatan yang dijalankan.

"Jika mereka fikir mereka mempunyai cukup bukti untuk mendakwa, mereka perlu mendakwa kerana jangan lupa orang lain yang nampaknya dilupakan, Saiful. Anda fikir Anwar itu lebih penting," katanya.

Abdullah berkata jika polis tidak mempunyai bukti, baru mereka perlu menggugurkan dakwaan dan keseluruhan siasatan itu.

"Jika mereka mempunyai bukti untuk mendakwa, anda tidak boleh menghalang mereka daripada berbuat demikian," katanya.

Menyentuh tindakan pihak polis mendakwa Anwar sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pilihan raya kecil Permatang Pauh hari ini sebagai satu unsur sabotaj untuk menghalang Anwar bertanding pada pilihan raya kecil itu, Abdullah berkata perkara terbabit adalah dua perkara yang berbeza.

Beliau berkata sekiranya tarikh pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh tidak diumumkan oleh SPR hari ini, pelbagai persoalan juga tetap akan timbul mengenai dakwaan kes terbabit.

Katanya, siasatan tuduhan liwat Anwar telah dilakukan lebih awal daripada tarikh perletakan jawatan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh.

"Ada orang kata mungkin perletakan jawatan Wan Azizah sebagai satu helah supaya mudah-mudahan Anwar tidak dibawa ke mahkamah. Ada juga yang bercakap macam tu.

"Cerita-cerita begini tak pernah satu versi. Cerita ini sekurang-kurangnya dua versi. Kadang-kadang tiga, empat, lima, sepuluh versi. Begitulah selalunya ditambah dengan ratusan cakap-cakap yang keluar daripada blog dan khabar angin," katanya.

No comments:

Post a Comment

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?