Friday, August 15, 2008

Gulingkan Pimpinan PAS Yang Mabuk Kuasa.

IPOH: Ketua Dewan Pemuda PAS Salahuddin Ayub berkata, soal siapa yang harus menjadi Perdana Menteri kerajaan Pakatan Rakyat (PR) tidak harus dibangkitkan oleh PAS sekarang sebaliknya para anggota parti itu harus menumpukan perhatian kepada usaha memperkukuhkan pakatan itu.

Realiti politik semasa ialah tiada pemimpin dalam PR yang boleh menjadi Perdana Menteri pada hari ini kerana parti-parti mereka belum memiliki bilangan kerusi yang cukup di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan di peringkat pusat.

"Kita seharusnya hanya memikirkan soal itu apabila perkara itu benar-benar sudah menjadi kenyataan dan pada masa itu kita akan bincangkannya dengan semangat PR.

"Dewan Pemuda PAS tak mahu ada persepsi di kalangan ahli PAS bahawa 16 Sept ini kita perlu tumpu tentang kuasa, jawatan dalam politik, jawatan menteri. Itu bukan matlamat kita pada masa ini, yang penting, kita kukuhkan PR, kalau ada masalah kita selesaikan bersama," katanya kepada pemberita di akhir Muktamar Tahunan pergerakan itu di Stadium Indera Mulia di sini.

Beliau diminta mengulas desakan beberapa pihak dalam parti termasuk perwakilan Dewan Pemuda PAS, yang mahu presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri jika kerajaan pusat dapat dibentuk oleh PR pada 16 Sept ini.

Dewan Ulama PAS yang mengadakan muktamar tahunannya di sini hari ini turut menyatakan pendiriannya bahawa Abdul Hadi merupakan calon yang sesuai untuk dilantik sebagai Perdana Menteri jika PR berjaya memerintah negara ini.

Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Mohamed Daud Iraqi berkata bagi ahli PAS sudah tentu mereka mahukan pemimpin mereka sendiri untuk mengetuai tampuk pemerintahan negara jika benar-benar peralihan kuasa itu berlaku.

Salahuddin berkata isu mengenai muzakarah PAS dengan Umno dianggap selesai dengan para perwakilan pergerakan itu sebulat suara akur dengan keputusan dan pendirian parti berhubung isu itu.

Semasa berucap di akhir muktamar itu, Ketua Pemuda PAS itu mendapat sokongan seluruh perwakilan apabila mereka semua berdiri menyatakan persetujuan mengenai pendirian parti itu.

Beliau juga menegaskan bahawa Dewan Pemuda PAS berdiri teguh dan akan mempertahankan kepimpinan parti yang berpegang kepada al-Quran dan sunnah.

Salahuddin berharap para anggota pergerakan itu akan sentiasa menjaga imej parti dan mengelakkan daripada membincangkan soal parti dalam blog dan tempat-tempat awam terutamannya bila mereka sendiri tidak mendapat maklumat jelas mengenai pendirian parti berhubung sebarang isu.

Beliau juga meminta mereka jangan terpengaruh dengan dakwaan wujudnya dua puak dalam parti berhubung isu muzakarah itu.

No comments:

Post a Comment

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?