Sunday, August 10, 2008

'Janji telah diketepi'

Tun Dr. Mahathir Mohamad
KUALA TERENGGANU 9 Ogos - Majlis Peguam telah mengetepikan perjanjian yang telah dibuat oleh pemimpin-pemimpin terdahulu daripada pelbagai kaum supaya setiap perkara yang berkaitan dengan kaum dan agama perlu dibincang secara tertutup apabila menganjurkan Forum Memeluk Islam secara terbuka hari ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pemimpin terlibat telah berjanji demi kesejahteraan negara, perkara-perkara yang dianggap sensitif tidak harus dibincang secara terbuka kerana boleh menyebabkan perasaan yang meluap-luap sehingga menyebabkan rusuhan.

''Mereka telah berjanji dan bersetuju jika perkara sebegini hendak dibincangkan, kena buat secara tertutup, tetapi malangnya janji ini telah diketepikan," katanya.

Beliau berucap pada forum bertajuk Cabaran Melayu Masa Kini: Memperkasakan Melayu anjuran Barisan Bertindak Akar Umbi Melayu Terengganu di sini hari ini.

Menurutnya, beliau pelik dengan keadaan yang berlaku hari ini iaitu jika orang Melayu membangkitkan tentang perkara berkaitan kaum itu termasuk hak keistimewaan mereka di negara ini, ia dianggap sebagai perkauman.

Sebaliknya menurut Dr. Mahathir, kaum lain bebas untuk memperkatakan tentang kepentingan kaum mereka termasuk mencabar hak keistimewaan orang Melayu dan ia tidak dianggap sebagai isu perkauman.

Beliau berpendapat perkara itu berlaku kerana orang Melayu kini semakin lemah malah parti yang selama ini mewakili orang Melayu sudah tidak lagi mampu mempertahankan kepentingan kaum itu.

''Sebab itu hari ini Majlis Peguam membincangkan tentang pengislaman. Mereka tahu ini sensitif dan tidak harus dibincangkan secara terbuka. Tetapi demikian lemahnya kerajaan maka tiada apa-apa tindakan diambil terhadap mereka," ujarnya.

Beliau menjelaskan, kenyataan ini bukan bertujuan mahu menidakkan hak kaum lain kerana orang Melayu rela berkongsi negara ini, namun kepentingan kaum itu perlu dipertahankan.

Menurutnya, pemimpin dahulu seperti Tun Tan Siew Sin dan Tun Dr. Sambathan memuji orang Melayu adalah kaum yang murah hati kerana memberi kerakyatan kepada orang Cina dan India tanpa perlu mereka mengubah identiti masing-masing seperti yang disyaratkan di negara jiran.

''Tapi sekarang, bila orang Melayu nampak lemah mereka kecam dan abaikan perjanjian berkenaan," ujarnya.

-TMB

No comments:

Post a Comment

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?