Friday, August 01, 2008

Ka Chuan tidak percaya dakwaan 'skandal seks' Wee benar

DR. WEE Ka Siong yang juga Setiausaha Agung MCA menunjukkan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterimanya berhubung dakwaan beliau akan meletakkan jawatan setelah didakwa terbabit dalam skandal seks, pada sidang media di Kementerian Pelajaran hari ini. -fotoBERNAMA

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan percaya khabar angin yang disebarkan mengenai 'skandal seks' membabitkan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong (gambar) adalah tidak benar.

"Saya percaya Wee tidak akan terlibat dalam kes macam ini. Semuanya mesti melalui proses perundangan untuk mendapatkan kebenaran," kata beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di sini.

Beliau diminta mengulas laporan yang mendakwa Wee mempunyai skandal seks dengan pelajar dari negara China yang disebarkan melalui SMS.

"Saya masih tidak mengetahui apa yang berlaku secara keseluruhannya dan saya akan berjumpa dan bertanya dengannya (Datuk Dr Wee Ka Siong). Saya sangat yakin dengan profesionalismel Datuk Wee," kata Ong.

Dalam pada itu, Naib Presiden MCA Datuk Ong Tee Keat hari ini meminta anggota parti itu supaya tidak menggunakan kaedah surat layang dan SMS jika berasakan pihak lain telah melakukan sesuatu yang tidak betul.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, oleh kerana negara ini mempunyai undang-undang, mereka perlu tampil ke depan jika mengetahui mengenai sesuatu perkara dan bukan dengan cara mengadilinya sendiri, tanpa mendedahkan identitinya, melalui kaedah itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak menafikan kejadian seperti itu akan timbul setiap kali menjelang pemilihan parti atau pilihan raya.

"Inilah yang seringkali berlaku menjelang pemilihan parti atau pilihan raya. Pilihan raya pun ada juga gejala seperti ini dan setiap kali yang kita nampak tak lain daripada penyebaran luas pelbagai cerita, tohmahan dan tuduhan sama ada berasas atau tidak berasas.

"Daripada saatsaat yang dianggap kritikal khasnya menjelang pemilihan parti atau pilihan raya, bila nak rebut kerusi, memanglah semua ini akan timbul,

Ong juga berkata, mana-mana pihak yang sengaja berbuat demikian dengan niat semata-mata untuk menjejaskan imej orang lain adalah satu perbuatan yang dianggap sebagai "dosa".

"Saya kira itu dosa namanya, dosa mengikut kriteria apa agama sekalipun. Ini dosa sebab itu merupakan fitnah," katanya.

Beliau berkata, setiap orang mempunyai hak untuk mempertahankan dirinya terutama dalam soal maruah.

"Sudah pasti setiap orang mempunyai hak untuk mempertahan diri sendiri, integriti, reputasi kerana kita ada kedaulatan undang-undang. Apa yang saya ingin beritahu, beliau patut tahu apa yang terbaik untuknya," katanya.

Ditanya sama ada Wee perlu melaporkan mengenai perkara itu kepada jawatankuasa disiplin parti, beliau berkata: "Sekali lagi, itu adalah pilihannya tetapi apa yang penting kedaulatan undang-undang."

-mSTAR Online

No comments:

Post a Comment

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?