Friday, August 22, 2008

Majikan Harus Benarkan Pekerja Mengundi Pada P/raya Kecil Permatang Pauh

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) - Majikan harus memberikan kerjasama dengan membenarkan pekerja keluar mengundi pada pilihan raya kecil Permatang Pauh Selasa ini tanpa melibatkan pemotongan gaji, kata Menteri Sumber Manusia Datuk S. Subramaniam.

Beliau berkata majikan juga dinasihatkan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pekerja yang melaksanakan tanggungjawab mengundi kerana hak pekerja berkaitan pengundian pada hari pilihan raya adalah seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 25 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Dalam kenyataan di sini hari ini, katanya kegagalan majikan memberi suatu tempoh yang munasabah untuk pekerja keluar mengundi boleh menyebabkan majikan didakwa di bawah Seksyen 25 (A) Akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau tempoh setahun penjara.

Katanya, majikan juga perlu memberi masa yang munasabah bagi pekerja yang tinggal berdekatan untuk mengundi dan bagi pengundi yang tinggal jauh, masa yang mencukupi selama separuh hari atau sehari penuh perlu dipertimbangkan mengikut keadaan.

Pilihan raya Permatang Pauh menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Mamat.

Kerusi bagi kawasan Parlimen itu sebelum ini disandang oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum beliau bertindak mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.

No comments:

Post a Comment

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?