Monday, August 25, 2008

Najib Ingatkan Anwar Jangan Gadai Maruah Melayu Untuk Capai Impian

BUKIT MERTAJAM, 25 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak menggadaikan prinsip dan maruah orang Melayu hanya kerana mengejar cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri.

Beliau berkata masa depan bangsa, negara dan agama tidak boleh dipolitikkan hanya kerana hendak menunaikan impian menjadi pemimpin.

"Kalau Anwar nak sangat jadi Perdana Menteri, janganlah sampai menggadaikan prinsip dan maruah orang Melayu, contohnya membuka Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada kaum lain sedangkan kerajaan membenarkan semua kaum membuka pusat pengajian masing-masing," katanya pada perjumpaan dengan anggota Persatuan Bekas Tentera Malaysia di sini, Ahad malam.

Katanya orang yang suka mempolitikkan soal maruah bangsa, negara dan agama tidak seharusnya diterima menjadi pemimpin masyarakat.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk Permatang Pauh supaya mengutamakan soal kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sebagai asas untuk mereka membuat pilihan pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, Selasa ini.

"Mereka perlu memberi pertimbangan kepada beberapa faktor penting antaranya kestabilan politik kerana ia akan memberi keyakinan kepada pelabur asing untuk terus melabur di negara ini. Jika tidak, kita semua yang akan rugi," katanya.

Pada majlis perjumpaan itu juga, beliau mengingatkan bekas tentera bahawa negara menghargai jasa mereka dan masih memerlukan tenaga mereka untuk membangunkan negara ini.

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan peletakan jawatan anggota Parlimennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 31 Julai lalu bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar untuk bertanding di kawasan itu.Pada pilihan raya itu Anwar dicabar calon Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah dan Hanafi Mamat daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).

No comments:

Post a Comment

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?