BUKIT MERTAJAM:Datuk Seri Najib Tun Razak bersumpah secara Islam di Masjid Jamek Guar Perahu dekat sini malam ini bahawa beliau tidak kenal dan tidak ada kaitan dengan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang mati dibunuh pada 2006 di Puncak Alam, Selangor.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata: "Walaupun ini bukan sumpah rasmi yang dibuat atas Al-Quran.
"Dengan nama Allah, Wallahi, Wabillahi, Watallahi, saya tidak kenal dan tidak ada kaitan dengan perempuan Mongolia," katanya pada akhir ucapannya di majlis penyampaian bantuan RM1.4 juta di Masjid Jamek Guar Perahu dekat sini.
Peruntukan itu adalah untuk membaik pulih, menaik taraf dan membeli peralatan baru bagi lapan buah masjid dan 20 surau bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Penanti.
Najib berkata: "Saya tidak tahu sama ada orang lain nak bersumpah atau tidak, tapi saya tahu saya tak buat salah. Ini antara saya dengan Tuhan."
Syed Abdul Rahman mendakwa penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim; pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dan penyiasat persendirian P. Balasubramaniam telah melakukan satu pembohongan besar.
"Saya kesal kerana mereka menyifatkan diri mereka sebagai orang yang lebih mengetahui kes ini.
"Anwar menipu kononnya telah berjumpa bapa Altantuya di Mongolia, dan ketika itu saya telah mengetahui Anwar akan datang ke situ, dan bawa bapa Altantuya (Dr Shaariibuu Setev) ke Rusia."
Syed Abdul Rahman berkata: "Tiada siapa pun yang lebih tahu selain daripada saya, dan Anwar telah berbohong dengan pelbagai tuduhan terhadap Datuk Seri Najib."
Syed Abdul Rahman berkata tujuannya turut serta dalam ceramah itu adalah untuk memperjelaskan kekeliruan yang berlaku kerana perbuatan Anwar boleh menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dan Mongolia, dan beliau telah diarahkan oleh Perdana Menteri Mongolia Sanjaa Bayar untuk membantu.
Syed Abdul Rahman berkata beliau berasa bertanggungjawab untuk menjelaskan perkara itu kerana semakin beliau diam "rakyat makin keliru kerana pembohongan semakin menjadi-jadi dan saya rasa malu kerana nama pemimpin negara tak berkaitan dengan kes ini telah diburukkan oleh Anwar dan Raja Petra."
"Sangat-sangat memalukan apabila nama pemimpin negara kita diburukkan di luar negara seolah-olah terbabit dalam kes ini, dan disebabkan itulah saya terpaksa menjelaskan kepada orang ramai mengenai pembohongan yang berlaku," katanya.
Anwar pada setiap ceramah kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh sering mengaitkan Najib dengan Altantuya, dan mendakwa Timbalan Perdana Menteri mempunyai hubungan dengan wanita Mongolia itu.
Ini bukan pertama kali Anwar menggunakan isu itu malah pada pilihan raya kecil Ijok pada April tahun lepas, beliau turut menjaja isu yang sama.
Pada 3 Julai lepas, Anwar telah mempengerusikan sidang akhbar mengenai akuan bersumpah penyiasat pensendirian P. Balasubramaniam bertarikh 1 Julai yang mendakwa Najib mempunyai hubungan dengan Altantuya, dan keesokkannya Balasubramaniam membuat akuan bersumpah kedua yang antara lain menarik balik tuduhannya itu.
Balasubramaniam, yang merupakan seorang saksi perbicaraan kes bunuh Altantuya, mendakwa semua tuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri dalam akuan bersumpah pertamanya itu adalah tidak tepat dan tidak benar, serta dibuat ketika dia dalam keadaan tertekan.
Perbicaraan kes pembunuhan Altantuya masih dijalankan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin melibatkan Azilah, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, yang dituduh membunuh Altantuya, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Okt dan 1 pagi 20 Okt 2006.
Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, 48, pula didakwa bersubahat dengan mereka dalam pembunuhan itu.
-mSTAR Online
Hairan, Najib langsung menyebut nama perempuan Mongolia tu. It could mean any Mongolian woman. So, itu sumpah untuk pancing undi.
ReplyDelete