Sunday, August 10, 2008

PDRM dan Penarik Beca – Anjing Makhluk Allah Istimewa dan Mulia

(Bulan Penuh 2012) - Blogger ~penarik beca merengkok 2 malam dalam lokap polis kerana menyiarkan gambar logo polis yang telah diubahsuai. Laptop dan handphone beliau juga turut menjadi mangsa. Khabarnya polis menahan beliau atas kesalahan menghasut.

KPN Musa Hassan muncul di kaca TV pada hari Ahad memberitahu kita bahawa Penarik Beca menghasut rakyat untuk membenci polis. Katanya, posting ~penarik beca bertarikh 14 Julai 2007, menjejaskan reputasi PDRM sebagai agensi penguatkuasaan undang-undang dan pemelihara ketenteraman awam.

Dalam penulisan artikel ini saya tidak mahu menyebelahi sesiapa, baik Musa mahupun Penarik Beca. Terlalu banyak yang telah diperkatakan mengenai dua orang hamba Allah s.w.t ini di mana-mana. Biarlah rakyat menjadi hakim di dunia ini dan di akhirat kelak Allah s.w.t akan menghakimi perselisihan mereka berdua.

Tetapi saya harus berlaku adil terhadap anjing. Ya! Logo asal PDRM yang berlogo harimau itu tiba-tiba hilang harimaunya dan gambar seekor anjing mulut ternganga menggantikan tempatnya.

Kehilangan Harimau dalam logo itu membangkitkan kemarahan Musa Hassan, dan penempatan gambar anjing menyebabkan Musa Hassan dan orang bawahannya merasa terhina.

Penghinaan kepada anjing?

Jelaslah mentaliti Musa Hassan dan anggota bawahannya masih di takuk lama. Percaya harimau melambangkan keberanian manakala anjing bermaksud sial, barua, hamba tebus, najis, perkakas dan pencacai.

Mentaliti ini amatlah tidak adil kepada kedua-dua haiwan tersebut.

Di zaman serba maju ini harimau lebih banyak di zoo dari hidup liar di belantara. Banyak yang sudah jadi jinak mengalahkan jinaknya kucing-kucing siam.

Bagi anjing pula, taraf pencacai sebagaimana yang diberi kepada anjing-anjing buruan zaman purbawara sudah tidak sesuai lagi. Banyak kajian menunjukkan bahawa anjing adalah sahabat manusia yang paling setia.

Malah sesetengah anjing terlatih mempunyai kepakaran yang lebih hebat dari manusia kebanyakan, umpamanya anjing-anjing pengesan dadah.

Tanpa anjing-anjing sebegini, tidak mungkin anak-anak buah Musa Hassan dapat merampas dadah bernilai RM4 juta di Johor baru-baru ini.

Maka amatlah tidak wajar Musa Hassan berasa tersinggung dengan penggunaan gambar anjing di logo PDRM itu. Mungkin posting Penarik Beca membawa maksud sebaliknya iaitu memuji kehebatan, kepakaran dan kepatuhan juak-juak Musa Hassan.

Sebagai perbandingan, harimau mungkin lebih gagah dan hebat dari anjing, tetapi apa yang pasti ia tidak sekali-kali dapat menandingi kepakaran dan kepatuhan sang anjing.

Nampaknya hakikat ini tidak dapat tidak dapat difahami oleh Musa Hassan dan juak-juaknya. Tidak faham sebab salah tafsir. Salah tafsiran itu pula membawa maksud menghina.

Timbullah pula persoalan di benak saya bahawa Musa Hassan wajar meminta maaf kepada anjing-anjing (macam mana caranya fikir sendiri) dan juga pencinta anjing di seluruh dunia atas penghinaan ini.

Penghinaan Musa Hassan terhadap anjing amatlah memalukan. Sepatutnya Musa Hassan menerima logo bergambar kepala anjing itu dengan hati terbuka dan berlapang dada.

Anjing lambang orang-orang soleh?

Musa Hassan juga patut berbangga kerana anjing juga melambangkan perangai dan amalan orang-orang yang soleh dan dekat kepada Allah s.w.t.

Ini bukan rekaan saya dan Musa Hassan bolehlah merujuk kepada ayahnya sendiri tentang keistimewaan makhluk Allah s.w.t bergelar anjing sehinggakan namanya disebut dalam Al-Quran dan menjadi bacaan umat Islam sehingga ke hari kiamat.

Untuk tujuan artikel ini, saya ingin memajukan kepada Musa Hassan dan juak-juaknya tentang SEPULUH ciri-ciri, sifat-sifat dan perlakuan mulia anjing yang boleh disifatkan menyamai amalan orang-orang soleh yang sentiasa ada Allah s.w.t di hatinya.

Seorang ulama bernama Hassan al-Basri r.a pernah mengatakan bahawa pada anjing ada sifat mulia yang perlu diteladani oleh setiap orang mukmin.

Makan setelah lapar, berhenti sebelum kenyang

Pertama; anjing itu sentiasa lapar, ia jarang makan sampai kenyang apatah lagi tidur tergolek dalam kekenyangan.

Sifat ini adalah sama dengan sifatnya orang-orang soleh. Mereka makan hanya apabila berasa lapar dan berhenti sebelum kenyang.

Tawakkal dan mengembara

Kedua; anjing tidak mempunyai tempat yang tetap. Ia selalu berpindah randah mengikut keperluan hidupnya.

Sifat ini adalah sifat orang yang bertawakkal kepada Allah. Mereka mengembara ke merata-rata tempat untuk menuntut ilmu dan menyampaikan dakwah Islamiyyah.

Tidur yang sedikit

Ketiga; anjing tidak tidur di waktu malam, melainkan sedikit sahaja. Dia selalu berjaga-jaga.

Sifat ini sama seperti sifat orang-orang soleh yang cintakan Allah s.w.t, di mana mereka sentiasa renggang punggungnya dari tempat tidur kerana bermunajat kepada Allah s.w.t.

Zuhud

Keempat; jika anjing mati, dia tidak ada barang yang diwariskan dan tidak ada pula yang mewarisi.

Sifat ini adalah sama dengan sifat hamba-hamba Allah yang zuhud. Mereka membelanjakan semua harta ke jalan Allah s.w.t sehingga tiada pusaka untuk diwarisi.

Tidak marah tidak merajuk

Kelima; anjing tidak suka meninggalkan tuannya, tidak merajuk atau melarikan diri dari tuannya sekalipun dipukul atau dimarahi.

Sifat ini adalah sama dengan sifat pelajar-pelajar yang siddiqin yang sedang menuntut ilmu dengan gurunya. Tidak marah dan tidak merajuk sekalipun kesabarannya diuji dengan pelbagai ujian.

Tawadduk, redha dan tidak sombong

Keenam; anjing lebih redha dan rela bertempat di tanah atau tempat-tempat yang lebih rendah daripada tempat manusia.

Sifat ini adalah sama dengan sifat-sifat orang-orang yang tawadduk, suka merendah diri dan tidak sombong diri.

Tiada dendam

Ketujuh; Jika tempatnya diambilalih oleh orang lain atau ditempati oleh benda lain, anjing akan berpindah ke tempat lain tanpa merasa marah atau menaruh dendam.

Ini adalah sama dengan sifat orang-orang soleh yang sentiasa redha dengan bahagiannya yang ditentukan oleh Allah s.w.t.

Khusyuk

Kelapan; Jika anjing dipukul, dihalau atau dibaling dengan benda-benda yang menyakitkan, ia menerimanya dengan hati terbuka. Tidak ada perasaan dendam kesumat terhadap perkara-perkara yang telah berlalu.

Sifat ini adalah sama dengan sifat orang-orang yang khusyuk.

Redha rezeki Allah

Kesembilan; jika anjing melihat manusia makan, ia melihat sahaja dari jauh, tidak meminta-minta atau mengganggu. Jika diberi, ia makan. Jika tidak diberi makan, ia akan berdiam sahaja.

Ini adalah sama dengan sifat orang-orang miskin yang redha akan pemberian rezeki oleh Allah s.w.t.

Istiqamah

Kesepuluh; jika anjing berjalan atau pergi dari tempat asalnya, ia tidak menoleh ke belakang dan terus berjalan.

Ini adalah sama dengan sifat orang-orang susah yang istiqamah mencari keredhaan Allah s.w.t.

Demikianlah sepuluh sifat mulia yang ada pada makhluk yang kita gelar anjing dan Hasan al-Basri menyifatkannya sebagai bersamaan dengan sifat-sifat yang dimiliki oleh orang-orang yang soleh.


Berbalik kepada isu penangkapan blogger Penarik Beca tadi, saya fikir Musa Hassan telah tersalah tafsir atau tidak pernah diberitahu akan kemulian anjing sebagaimana yang dinyatakan oleh ulama besar itu.

Jelas Musa Hassan dan juak-juaknya telah tersalah tafsir dan menyangka gambar anjing di logo PDRM itu sebagai menghina dan menghasut sesuai dengan fahamannya bahawa anjing itu najis, kotor, patuh membuta tuli dan sebagainya.

Jika Musa Hassan berlapang dada dan merujuk kepada mufti-mufti atau ulama-ulama yang jujur, saya fikir tidak mungkin polis akan melokapkan Penarik Beca apatahlagi mengenakan dakwaan menghasut ke atas beliau.

Bagi kita yang turut tersalah sangka bahawa blogger ini bertujuan menghina polis, marilah kita sama-sama beristighfar dan memohon maaf kepada blogger Penarik Beca.

Atas kejahilan sendiri, kita tidak tersedar bahawa Penarik Beca sedang berdakwah dengan menggunakan gambar anjing supaya kita menteladani kemuliaan dan kesolehan makhluk-makhluk yang kita gelar anjing itu.

Terima kasih Penarik Beca dan saya memohon maaf atas kejahilan ini. Saya akan berusaha mengambil iktibar dari sifat-sifat mulia anjing itu walaupun saya tidak pernah membela seekor anjing pun di kediaman saya. Semoga dakwah saudara turut terkesan dan berjaya melembutkan hati Musa Hassan dan anggota-anggota polis yang berada di bawah kekuasaannya.

-Bulan Penuh 2012

1 comment:

  1. Apa-apa pun kita di Bumi Malaysia ni semuanya terikat pada undang-undang ciptaan manusia, namun kita harus ingat, apakah kita melaksanakan undang-undang Allah...?
    Fikir-fikirkan lah...

    ReplyDelete

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?