SHAH ALAM, 11 Sept (Bernama) -- Peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Abdul Razak Abdullah Baginda hari ini menegaskan anak guamnya bukan seorang penipu dan tertuduh ketiga itu benar-benar tidak tahu mengenai pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.
Wong yang mengemukakan hujahan balas di akhir kes pendakwaan berkata kenyataan penyiasat persendirian P. Balasubramaniam mengenai reaksi Abdul Razak apabila ditanya mengenai kematian Altantuya sering bertukar dan tidak konsisten.
Pada perbicaraan terdahulu, Balasubramaniam yang diupah oleh Abdul Razak menyatakan bahawa Abdul Razak hanya tersenyum apabila ditanya mengenai Altantuya dan berkata "tidak tahu" tentang apa yang berlaku.
Bagaimanapun pihak pendakwaan berhujah Abdul Razak telah menipu dan tidak mungkin dia tidak tahu apa yang berlaku ke atas orang yang ditangkap di hadapan rumahnya sendiri.
Wong berkata Abdul Razak juga tidak tahu mengenai tuntutan USD$500,000 dari Altantuya kerana perbincangan mengenainya hanya melibatkan Balasubramaniam dan Altantuya sendiri.
Katanya, pihak pendakwaan tidak mempunyai sebarang bukti untuk menunjukkan Abdul Razak menipu malah berdasarkan afidavit Abdul Razak, dia telah bertanya kepada pegawai atasan polis DSP Musa Safri tentang apa yang berlaku pada Altantuya dan dia juga menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Balasubramaniam kerana bimbang Altantuya akan kembali mengganggu sedangkan ketika sms dihantar Altantuya telahpun dibunuh.
"Pendakwaan tidak memberikan sebarang bukti yang menunjukkan Abdul Razak mengetahui tentang apa sebenarnya berlaku kepada si mati. Dengan ketiadaan bukti sedemikian, bagaimana mungkin Abdul Razak dikatakan telah berbohong tentang di mana si mati berada," katanya.
Wong turut berhujah bahawa rekod panggilan telefon dan sms tidak boleh membuktikan wujud kes prima facie ke atas tuduhan bersubahat sepertimana yang disabitkan ke atas Abdul Razak.
Katanya mengikut bil talian Maxis milik Abdul Razak, ia tidak menunjukkan sebarang panggilan keluar dan sms daripada dua buah telefon Abdul Razak kepada Altantuya.
Menyambung hujahnya Wong berkata dalam membuat keputusan pihak mahkamah perlu mengambil kira panggilan dan sms yang dibuat oleh DSP Musa kepada anak guamnya dan bukan hanya bergantung kepada rekod transaksi telefon Cif Inspektor Azilah Hadri, Abdul Razak, Balasubramaniam dan Altantuya sahaja.
Tambahnya pihak pendakwaan sebenarnya tidak dapat menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas persubahatan Abdul Razak dan tiada bukti kukuh untuk mengaitkan anak guamnya.
Perbicaraan kes berprofil tinggi ini melibatkan Azilah, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, dituduh membunuh Altantuya, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.
Abdul Razak, 48, penganalisis politik, pula didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul membunuh Altantuya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin disambung Isnin.
No comments:
Post a Comment
Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.
Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?