Di saat remaja seusianya sibuk menimba ilmu di sekolah, Nasimah hanya menghabiskan masanya di kedai menjual telur, selain membantu ibunya, Norhatta Paraji di kedai runcit kecil milik mereka.
Tidak bersekolah
Keciciran tersebut tidak lain dan tidak bukan angkara ISA yang menyelubungi kehidupan mereka sejak empat tahun lalu, di saat ayah kesayangannya ditahan akta rimba itu.
Kesukaran Norhatta menjaga tujuh orang anak sekaligus, menimbulkan rasa trauma kepadanya untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Dengan kesempitan hidup yang dialaminya, kekangan kewangan serta masa yang perlu diluangkan bersama anak-anak menjadikan hasrat melihat anak-anak menimba ilmu terpendam begitu sahaja.
"Sejak suami ditahan, saya mengambilalih tugas suami sebagai bapa kepada mereka, selain meneruskan peranan saya sebagai ibu. Bagaimana dalam satu masa, saya terpaksa mencari nafkah, menghantar dan mengambil anak bersekolah, sekaligus menjaga anak kecil saya?" soal beliau ketika krew Harakah menemui beliau di kediamannya di Batu 19, Sandakan, 23 Sept lalu.
Norhatta, memiliki tujuh orang anak, masing-masing berusia lingkungan 16 tahun sehingga lima tahun, yang hanya menghabiskan masa-masa bersama di rumah usang milik mereka.
Menyaksikan episod masa depan mereka yang gelap ini, jelas membuktikan betapa ISA itu bukan saja menafikan hak bapa mereka menjalankan tanggungjawabnya, malah menafikan hak anak-anak untuk mendapat pendidikan sewajarnya.
Malah, Nasimah terpaksa bekerja membantu ibunya dalam meneruskan sisa-sisa kehidupan mereka sekeluarga tanpa belaian kasih sayang seorang ayah.
Biarpun memiliki kedai, berapa sangatlah keuntungan yang diperoleh beliau. Malah, setelah hampir dua jam Harakah mengunjunginya, bilangan pelanggan yang memasuki kedainya tidak sampai tiga orang.
Tidak pernah melawat ayah
Tidak cukup dengan derita yang terpaksa ditanggung, keluarga ini tidak pernah berpeluang melawat ayah mereka yang ditahan di Kemta kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang membolehkan mereka tiba di Semenanjung bertemu bapa mereka.
Setelah hampir empat tahun dipisahkan dari bapa, mereka tidak berpeluang melawat bapa yang dirindui. Lebih malang lagi, pihak polis (SB) bertindak merampas sijil kelahiran anak-anak ini, yang berasal dari Filipina.
Hanya surat dari Kemta saban minggu yang menjalinkan ikatan hati dan kasih sayang antara suami dan isteri, bapa dan anak-anak. Dengan surat-surat itulah kerinduan yang tersarat di dada dapat dilepaskan. Namun, ianya sudah pasti tidak terubat begitu sahaja.
Luah rasa rindu
Beberapa hari lalu, anak sulungnya, Nasimah, melahirkan rasa rindu terhadap ayahnya. Nasimah menghantar sistem pesanan ringkas kepada aktivis GMI, Norlaila Othman, menyatakan rasa rindu serta memohon pertolongan agar dapat bertemu ayah tersayang.
Hati siapa yang tidak tersentuh melihat anak-anak kecil ini terbiar tanpa kasih sayang seorang bapa. Walaupun ibunya masih ada, namun kasih sayang ibu tidak mampu menyamai kasih sayang seorang bapa.
Apatah lagi, kekejaman ISA itu bukan hanya memisahkan kasih sayang antara suami-isteri dan bapa-anak, tetapi turut menghimpit kehidupan mereka, serta menafikan hak pendidikan anak-anak.
Menginsafi nasib mereka, khususnya menjelang Syawal yang sewajarnya disambut dengan gembira bersama keluarga, Harakah menunaikan rasa tanggungjawab sosial dengan menyampaikan sumbangan kepada mereka.
Sumbangan hasil derma pembaca Harakah yang budiman, disampaikan sendiri Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman kepada Norhatta bagi meringankan bebanan hidup dan perasaan mereka sekeluarga menjelang Syawal ini.
No comments:
Post a Comment
Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.
Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?