Monday, September 29, 2008

Habuan seks: Zul dipanggil Lembaga Disiplin PKR

PETALING JAYA: Ahli Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan yang dipecat keanggotaan kerajaan tempatan itu ekoran kenyataan mengaku ada menerima habuan khidmat seks akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, Zul akan dipanggil untuk memberikan penjelasan berhubung kenyataannya itu.

"Keadilan berpendirian bahawa amat penting untuk pegawai tinggi berkelakuan baik agar menjadi teladan generasi muda.

"Maka kami menyokong penuh tindakan yang diambil ke atas Zul Hassan dan tindakan selainnya yang diambil ke atas sebarang salah laku asalkan terdapat bukti kukuh," katanya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi, Dr. Wan Azizah berkata, PKR menyokong keputusan Kerajaan Negeri Perak untuk memecat Zul ekoran kenyataannya itu.

"Kenyataan sedemikian telah memperlekehkan usaha Pakatan Rakyat ke arah pembentukan sebuah kerajaan yang menghormati kepercayaan rakyat.

"Bagaimanapun tindakan Kerajaan Negeri Perak yang pantas dan tegas dalam menangani isu ini memperlihatkan kesungguhan Pakatan Rakyat bagi memastikan pegawai kerajaan benar-benar berpegang pada etika dan moral, dan bukan sekadar cakap kosong," katanya. Semalam Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah mengarahkan Zul supaya melepaskan kedudukannya dalam majlis tersebut.

Arahan itu dikeluarkan oleh kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat pada Jumaat lalu.

Zul dan ahli perniagaan Fairul Azrim Ismail baru-baru ini membuat laporan di Jabatan Agam Islam Perak terhadap Mohammad Imran Abdullah yang didakwa mendorong mereka melakukan perbuatan berdosa itu melibatkan seorang wanita dari China di sebuah apartmen di Batu Ferringhi, Pulau Pinang pada 14 Ogos lalu.

Mohamad Imran merupakan pengadu dalam kes rasuah Zul dan empat yang lain.

Zul pula bersama-sama juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Ruslan Sahat, dan dua anggota exco kerajaan negeri Perak dari PKR, Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi, serta bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Bota juga dari PKR, Kapten (B) Usaili Alias, sedang menghadapi 16 tuduhan rasuah yang akan dibicarakan serentak selama tiga hari bermula 11 Februari depan di Mahkamah Sesyen di sini.

Ketika ditemui selepas membuat laporan di Jabatan Agama Islam, Zul dilaporkan mengeluarkan kenyataan kepada media bahawa "seks seperti menerima sedekah" dan mendakwa dia melakukannya dengan seorang wanita China disebabkan diperangkap Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Dalam kenyataan hari ini, Dr. Wan Azizah juga berkata, Mohammad Imran bukan ahli PKR.

-mSTAR Online

No comments:

Post a Comment

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?