Thursday, September 04, 2008

Kerajaan Sabah Tetap Kukuh, Kata Ketua Menteri

KOTA KINABALU, 3 Sept (Bernama) -- Kerajaan Sabah yang dipilih menerusi mandat rakyat tetap kukuh dan tidak akan terjejas dengan keputusan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh baru-baru ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Katanya, masa berpolitik dan berkempen telah berakhir dan masa sekarang sepatutnya untuk bekerja bagi kepentingan rakyat.

"Tidak perlulah kita asyik berpolitik, apatah lagi membuang masa dengan isu melompat, isu kerajaan baru pada 16 Sept, atau isu remeh-temeh politik yang digembar-gemburkan oleh pihak tertentu, terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Terlalu banyak dakyah dan isu politik yang hanya akan melalaikan kita, di samping kita membuang masa yang sepatutnya kita manfaatkan untuk merancang dan melaksanakan program pembangunan negeri dan negara untuk kepentingan rakyat.

"Masa untuk berpolitik dan berkempen telah berakhir. Sekarang masa untuk kita terus bekerja, bersatu padu dan menunaikan janji bagi memenuhi mandat ke arah memajukan negeri dan negara demi kesejahteraan rakyat," katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri di sini.

Majlis dianjurkan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah.

Musa berkata mandat besar Sabah kepada kerajaan Barisan Nasional pada pilihan raya umum lalu merupakan amanah yang wajib dipikul dengan jujur, ikhlas dan bertanggungjawab.

"Dalam hal ini, kerjasama padu di semua peringkat, khususnya antara pemimpin dengan para penjawat awam, iaitu antara golongan penggubal dengan pelaksana dasar-dasar kerajaan, akan terus diperkukuhkan.

"Ini bagi memastikan kejayaan terhadap pelaksanaan program-program pembangunan seperti Rancangan Malaysia Kesembilan dan Koridor Pembangunan Sabah," katanya.

Musa juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Menteri Kewangan, atas pembentangan Bajet 2009 yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, terutamanya di Sabah, dan memastikan pembangunan negara berterusan.

"Sesungguhnya, semua ini jelas membuktikan keikhlasan, keprihatinan dan komitmen tinggi kerajaan pusat, khususnya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, terhadap kepentingan dan kebajikan rakyat Malaysia di Sabah.

"Ia juga sekaligus menggambarkan bahawa kerajaan pusat sememangnya sentiasa memberikan perhatian yang serius untuk kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat Malaysia di Sabah, sejak dulu, kini dan selamanya," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?