Tuesday, September 30, 2008

Manikavasagam kekal timbalan pengerusi PKR S'gor

Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam tidak akan meletakkan jawatannya sebagai Timbalan pengerusi PKR Selangor, kata Setiausaha Politiknya, M Shanmugam hari ini.

manikavasagamManikavasagam yang tidak dapat dihubungi, sebelum ini mengancam untuk meletakkan jawatan tersebut sekiranya tindakan tegas tidak diambil terhadap orang yang bertanggungjawab merobohkan sebuah kuil Hindu di Ampang.

Usaha untuk menghubungi ahli parlimen Kapar itu tidak berjaya kerana beliau telah menutup telefon bimbitnya.

Semalam, kerajaan negeri telah mengenakan tindakan menggantung tugas Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Hamid Hussein selama seminggu berhubung isu tersebut.

"Manikavasagam akan mengekalkan jawatan timbalan pengerusi PKR Selangor selepas penggantungan tugas orang di belakang perobohan tersebut," kata Shanmugam.

Akhbar The Star hari ini memetik Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu sebagai berkata, Hamid akan digantung tugas sementara siasatan dijalankan terhadap isu perobohan kuil berkenaan.

Hamid dikatakan pegawai yang mengarahkan supaya kuil yang berusia 19 tahun itu, yang terletak berhampiran Kampung Tasek Tambahan, dirobohkan dua minggu lalu.

Menurut laporan itu lagi, jawatankuasa tiga anggota kerajaan negeri mengenai hal ehwal agama orang bukan Islam - yang dianggotai oleh Teresa Kok, Dr Xavier Jayakumar dan Liu - telah memulakan siasatan.

Hasil siasatan mereka dijangka diketahui Isnin depan.

K'jaan negeri tidak tahu


Sementara itu, Shanmugam berkata, beliau telah menemui Nik Nazmi Nik Ahmad - setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beliau berjanji bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab merobohkan kuil tersebut.

"Beliau memberitahu saya bahawa kerajaan negeri tidak terbabit dalam perobohan kuil tersebut dan ia akan mengambil tindakan susulan selepas tamat tempoh penggantungan tugas (Hamid)," tambahnya.

Shanmugam berkata, beliau yakin kerajaan negeri tidak tahu menahu mengenai perkara itu dan tindakan menggantung tugas Hamid, menunjukkan kerajaan sensitif terhadap masalah rakyat.

Menurut Liu, Hamid sebagai timbalan presiden MPAJ, dilaporkan membuat keputusan berhubung perkara tersebut kerana presiden MPAJ sedang bercuti ketika kuil tersebut dirobohkan.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri akan mencari satu penyelesaian mengenai kuil Dri Mahakaliaman secepat mungkin dan memandang berat tindakan merobohkan tempat-tempat ibadat.

Hamid tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasannya mengenai perkara tersebut.

-malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?