Saturday, September 13, 2008

Operasi Lalang 2: Tahanan bergantung pada situasi, tiada kaitan 16 September

(Dikemas kini, 1200 tengah hari) PETALING JAYA: Sambil menolak penahanan tiga orang semalam di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bertujuan menggagalkan pelan 16 September Pakatan Rakyat, Kementerian Dalam Negeri hari ini menegaskan, sama ada lebih ramai akan ditahan dalam waktu terdekat bergantung pada keadaan semasa negara.

"Polis akan bertindak berdasarkan situasi semasa sama ada situasi berada dalam kedaaan baik ataupun tidak. Jika situasi OK, maka tiada sebab untuk menahan (lebih ramai lagi)," kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar kepada mStar Online.

Kata beliau, pihak polis akan memaklumkannya perkembangan semasa sebelum mengambil tindakan susulan.



Desas-desus menyebut polis kemungkinan akan menahan lebih ramai termasuk pemimpin-pemimpin politik susulan penahanan tiga orang semalam.

Malah, beliau juga yakin pemberita Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng kemungkinan akan dibebaskan dalam waktu terdekat.

"Dalam kes wartawan Sin Chew, dia mungkin dibebaskan petang ini, hari ini... dalam waktu terdekat," kata beliau ketika dihubungi sebentar tadi.



Pukul 8.30 pagi tadi, polis telah membawa wartawan berkenaan ke Bukit Aman, Kuala Lumpur. Bagaimanapun sebelum itu dia telah dibenarkan menemui anggota keluarganya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di Georgetown.

Syed Hamid menjelaskan, polis menahan wartawan berkenaan atas beberapa sebab, termasuk berdasarkan maklumat mengenai ancaman keselamatan diri Tan.

"Jadi polis menahan dia (semalam) untuk mendapatkan beberapa maklumat yang mungkin dia tahu. Selepas itu dia boleh dibebaskan," katanya.

Di bawah ISA, polis akan mengesyorkan kepada Menteri Dalam Negeri sama ada seseorang tahanan itu perlu ditahan selama dua tahun atau untuk tempoh yang lebih lama selepas hasil siasatan mereka selesai.

Ketika mengulas lanjut sama ada penahanan tiga orang semalam berhubung kait dengan usaha menghalang Pakatan Rakyat membentuk kerajaan baru persekutuan Selasa ini, Syed Hamid: "Tidak, ia mengarut."

"Tiada kaitan dengan perkara itu, tiada korelasi dengan itu (pelan Pakatan Rakyat)," kata beliau.

Syed Hamid menjelaskan, penahanan terbaru ini merupakan tindkaan preventif bagi mengawal keadaan semasa khususnya bagi mengelak ketegangan sentimen perkauman di negara ini.

Kata beliau, kerajaan perlu mengambil tindakan pencegahan sebelum masalah yang rumit seperti insiden perkauman terjadi.

Semalam polis menahan tiga orang termasuk Tan.

Dua yang lain ialah pengendali lamab web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin, 58, dan Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.



-mSTAR Online

No comments:

Post a Comment

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?