Friday, September 05, 2008

Pak Samad Akan Dikebumikan Di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara Jumaat

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Tokoh kewartawanan dan pejuang kemerdekaan Tan Sri Abdul Samad Ismail yang meninggal dunia hari Khamis akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini selepas solat Jumaat.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham akan disembahyangkan selepas waktu solat Jumaat di Masjid Universiti Islam Antarabangsa, Seksyen 16, Petaling Jaya.

Abdul Samad, 84, atau lebih dikenali sebagai Pak Samad meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai di sini pada 5.58 petang kerana jangkitan paru-paru dan kegagalan buah pinggang.

Pak Samad, dirawat di pusat itu sejak 24 Ogos lepas setelah mengalami kesukaran bernafas.

"Saya tidak terkejut dengan pemergian bapa, memang sudah dijangkakan bapa akan meninggalkan kami sekeluarga hanya doa sentiasa kami pohonkan, doktor sudah cuba sedaya upaya selamatkan bapa" kata anak keenamnya, Nuraina ketika ditemui Bernama di kediamannya di sini, malam Khamis.

Nuraina berkata ibunya, Puan Sri Habibah Hamid dan adik bongsunya, Nur Azrina, 38, berada di samping saat-saat akhir pemergian bapanya.

"Kami sekeluarga akan merindui bapa kerana bapa suka bersembang mengenai politik dan isu semasa yang lain," katanya.

Menurutnya tanda-tanda awal sebelum pemergian ayahnya, Allahyarham pernah memberitahu anak bongsu Nur Azrina tiga minggu lepas sesiapa yang hendak berjumpanya terutama adik-beradiknya supaya datang ke rumahnya.

Nuraina berkata bapanya pernah berpesan supaya koleksi bukunya dijaga dengan rapi terutama buku yang telah diamanatkan tidak boleh dibawa keluar dari rumah.

Beliau turut berterima kasih pada doktor yang telah berusaha sedaya upaya merawat Pak Samad.

Sementara itu, anak didiknya pengacara terkenal tanah air, Mahadzir Lokman berkata tokoh itu merupakan seorang yang tegas mengajar terutama dalam bidang kewartawanan semasa Allahyarham menjadi Penasihat Editorial di TV3 satu ketika dulu.

"Sifat Pak Samad yang menarik, dia ini tegas tetapi dalam ketegasannya ada kelembutan.

"Walaupun pernah kena marah dan dilempar kertas ke muka tapi saya tidak pernah kecil hati, sebab itu mengajar saya bagaimana untuk menjadi seorang wartawan yang bagus,," katanya.

Mahadzir berkata segala ajaran Pak Samad diterima dengan baik dan tidak pernah berkecil hati di atas teguran setiap kesalahan yang dilakukannya kerana Allahyarham mengajar dengan penuh keihlasan dan bersifat terbuka," katanya.

Anak kelahiran Singapura itu meninggalkan seorang balu Puan Sri Habibah dan 10 orang anak termasuk blogger dan bekas wartawan Nuraina dan Maria. Isteri pertamanya Hamidah Hassan meninggal dunia pada 2 Jun 1990.

No comments:

Post a Comment

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?