SHAH ALAM, 10 Sept (Bernama) -- Peguam J. Kuldeep Kumar yang mewakili Cif Inspektor Azilah Hadri, tertuduh pertama kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa tiada bukti untuk menuduh anak guamnya berada di tempat pembunuhan.
Kuldeep berkata pada malam itu Azilah sebenarnya berada di Bukit Aman untuk mengambil pistolnya, malah katanya, tiada sebarang kenyataan daripada mana-mana saksi yang boleh mengesahkan Azilah berada di kawasan pembunuhan pada malam 19 Okt 2006.
Katanya, pihak pendakwaan juga tidak dapat mengemukakan sebarang bukti kewujudan DNA Azilah dijumpai di tempat itu ataupun saksi yang melihat sendiri untuk mengesahkan Azilah berada di situ.
Kuldeep yang mengemukakan hujahan balas di akhir kes pendakwaan itu turut menyatakan bahawa teman wanita Azilah, Lans Koperal Rohaniza Roslan telah menjelaskan bahawa Azilah berada di Bukit Aman pada masa yang sama (malam kejadian) bagaimanapun keterangan itu kemudiannya dicabar oleh pihak pendakwaan dan memohon untuk "mencabar keterangan" Rohaniza.
Pada perbicaraan terdahulu pihak pendakwaan telah mengemukakan hujah bahawa Azilah berada di tempat kejadian berdasarkan rekod panggilan yang dikesan oleh Celcom.
"Dakam keadaan itu, kesimpulan yang boleh dibuat terhadap tertuduh ialah dia tidak pergi ke tempat kejadian pembunuhan. Dengan itu dia tidak mungkin membunuh Altantuya seperti dituduh" katanya.
Kes pembunuhan berprofil tinggi ini melibatkan Azilah, 32, dan Kpl Sirul Azhar Umar, 36, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas, yang dituduh membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Selangor, antara pukul 10 malam 19 Okt dan 1 pagi hari berikutnya.
Abdul Razak Abdullah Baginda, 47, seorang penganalisis politik pula dituduh bersubahat dengan mereka.
Kuldeep turut berhujah bahawa Azilah tidak pernah memberi keterangan secara sukarela dan tiada rekod pada nota ataupun kertas dicatatkan mengenai pendedahan Azilah untuk menunjukkan tempat kejadian.
"Tiada maklumat direkodkan pada kertas dan ditandatangani oleh tertuduh (Azilah) yang menunjukkan dia memberikan kenyataan berkenaan," katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin disambung esok.
letih aku ikuti kisah nih...
ReplyDeletealih2...
pembunuh xde...?
xkan pembunuh xde, ade pembunuhan??
jeng jeng jeng....