NIBONG TEBAL 30 Sept. - Sepuluh keluarga di Kampung Permatang Tok Suboh di sini terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan suram apabila rumah mereka dinaiki air ekoran hujan lebat hampir 12 jam sejak semalam.
Hujan berterusan sejak petang semalam sehingga pagi ini menyebabkan sebahagian besar kawasan kampung tersebut dinaiki air sehingga satu meter.
Keluarga berkenaan terpaksa membuat persediaan Aidilfitri termasuk menghias rumah dan membuat ketupat dalam keadaan tidak selesa.
Seorang penduduk, Sahidan Sherif 38, berkata, dia mula berasa tidak sedap hati apabila menyedari hujan lebat sejak petang semalam berterusan sehingga awal pagi.
''Ketika saya sekeluarga bersahur pun hujan belum reda lagi dan saya mula fikir mungkin kami terpaksa berhari raya dalam banjir tahun ini," katanya ketika ditemui di kampung itu hari ini.
Sahidan berkata, banjir kali ini adalah yang kedua dalam bulan ini selepas kampung tersebut turut dilanda musibah sama pada 6 September lalu sehingga memaksa mereka berpindah.
Surirumah, Sarimah Hashim, 42, pula berkata, dia tetap membuat persediaan menyambut Syawal seperti membuat ketupat dan kuih raya walaupun dalam keadaan yang tidak selesa.
''Persediaan raya kena teruskan juga sebab anak-anak pun sangat bersemangat untuk berhari raya. Buat masa ini, saya hanya buat persediaan sekadar yang termampu.
''Tapi saya berharap keadaan (banjir) akan pulih cepat dan kami tidak perlu berpindah ke pusat penempatan banjir," katanya.
Sarimah turut merayu kepada pihak berkuasa supaya menaik taraf sistem perparitan di kawasan tersebut yang dipercayai menjadi punca kampung itu sering dilanda banjir sejak beberapa tahun lalu.
Seorang remaja, Farid Salleh, 18, berkata, bencana itu tidak akan menghalang kemeriahan Aidilfitri terutamanya kanak-kanak.
''Ini bukan kali pertama kami meraikan hari raya dalam banjir. Hari raya disambut setahun sekali, dalam apa keadaan sekalipun biarlah ia disambut dengan gembira," tambahnya.
No comments:
Post a Comment
Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.
Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?