Wednesday, October 08, 2008

Tak Perlu Waran Geledah Rumah Raja Petra, Kata Pegawai Polis

PETALING JAYA, 8 Okt (Bernama) -- Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa tindakannya menggeledah kediaman pengendali dan penulis blog laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin, adalah mengikut undang-undang dan tidak memerlukan waran.

Ketua Keselamatan Siber di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Supt Victor San Jos, 39, berkata beliau mempunyai kuasa untuk menjalankan tugas itu selepas menerima arahan daripada ketuanya ACP Mohd Kamaruddin Md Din dan ia perlu dilakukan dengan kadar segera.

Katanya pemeriksaan itu yang dilakukan pada 2 Mei lalu di Sungai Buloh adalah mengikut Akta Hasutan yang tidak memerlukan sebarang waran geledah.

Beliau berkata demikian selepas peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Raja Petra, mempertikaikan tindakan Victor melakukan pemeriksaan tanpa menunjukkan waran geledah sedangkan, menurutnya, Seksyen 8 Akta Hasutan memerlukan pegawai berkenaan menunjukkan waran geledah ketika menjalankan pemeriksaan.

Jos menafikan bahawa pemeriksaan itu dilakukan tanpa mempedulikan peruntukan undang-undang yang sah dan cuai sebaliknya ia dilakukan mengikut cara yang betul.

Beliau adalah saksi ketiga pihak pendakwaan yang memberi keterangan pada hari ketiga perbicaraan Raja Petra yang menghadapi pertuduhan menerbitkan artikel berbaur hasutan.

Raja Petra, 58, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di No. 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh. Artikel bertajuk "Let's Send the Altantuya Murderers to Hell" itu diterbitkan dalam www.malaysia-today.net pada 25 April.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 itu membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Raja Petra, yang kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam negeri (ISA) kelihatan tenang ketika dibawa ke mahkamah dari Kem Tahanan Kemunting Perak pada pukul 8.55 pagi dengan diiringi beberapa anggota polis.

Jos berkata pemeriksaan dilakukan di ruang membaca di tingkat atas rumah Raja Petra selama 40 minit.

Katanya beliau turut membuat senarai barang yang dirampas terdiri sebuah unit pemprosesan komputer (CPU) dan komputer riba milik Raja Petra, untuk ditanda dan telah meminta Raja Petra menandatangani senarai berkenaan sebelum menyerahkan salinan kepadanya.

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk mengikuti perbicaraan itu, yang dijalankan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Perbicaraan disambung esok.

No comments:

Post a Comment

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?