Thursday, November 06, 2008

'Kebumi rangka abang ikut Islam'

MUAR: Seorang pesara kerajaan berharap rangka abangnya yang juga seorang daripada anggota polis yang terbunuh dalam kejadian pesawat Dakota III terhempas dekat Gua Musang, Kelantan, pada 1950 lalu, dapat dikebumikan mengikut cara Islam, berikutan usaha kerajaan untuk mengeluarkan tulang semua mangsa itu.

Hamdan Abdul Jalil, 69, yakin abangnya, Muhammad Abdul Jalil, adalah seorang daripada penumpang pesawat itu yang terhempas selepas membaca berita mengenai usaha mengeluarkan tulang 12 askar British itu yang disiarkan Berita Harian 23 Oktober lalu.

Sehubungan itu, beliau berharap ujian DNA dapat dijalankan bagi menentukan identiti abangnya sebelum tulang berkenaan dapat dikebumikan mengikut agama Islam.

"Saya yakin pesawat itu adalah yang dinaiki abang saya yang ketika itu berusia kira-kira 25 tahun dan bertugas sebagai anggota polis di Kota Bharu. Kejadian itu berlaku ketika saya berusia 11 tahun dan masih mengingatinya," katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam.

Berita Harian sebelum ini melaporkan sepasukan 15 anggota tentera Markas 8 Briged di Pengkalan Chepa, Kelantan melancarkan gerakan mengesan kedudukan pesawat itu pada Jun lalu apabila diminta oleh Penasihat Kedutaan Malaysia di London, Kolonel Mohd Tajri Alwi.

Berikutan itu, semua tulang 12 tentera British serta kakitangan awam terbabit dijangka dapat dikeluarkan dari lokasi kejadian dekat Kampung Penchong, Gua Musang, awal tahun depan. Pihak British juga merancang untuk menempatkan tulang itu di tanah perkuburan peperangan Komanwel di Cheras.

Hamdan yakin abangnya antara mangsa pesawat terhempas itu berdasarkan ingatannya sendiri, ketika berusia 11 tahun, beberapa anggota polis datang ke rumahnya di Bukit Treh, dekat sini, untuk memaklumkan kejadian yang menimpa abangnya.

"Kami sekeluarga dimaklumkan abang terbunuh dalam kejadian itu dan mayat semua mangsa tidak dapat dikeluarkan daripada hutan berikutan keadaan darurat dan kesukaran pada zaman itu menyebabkan sehingga kini abang saya tidak mempunyai kubur,” katanya yang masih menyimpan gambar abangnya berpakaian lengkap anggota polis.

Beliau berkata, polis pada masa itu juga memaklumkan bahawa selain abangnya, pesawat itu juga dinaiki oleh 12 tentera British dan seorang Orang Asli yang bertindak sebagai penunjuk arah.

Hamdan berkata, beliau sekeluarga bersyukur kerana akhirnya selepas 58 tahun kejadian itu berlaku, kerajaan dan kerajaan British mengambil langkah mengeluarkan tulang semua mangsa yang terbabit dalam kejadian pesawat terhempas itu.

1 comment:

  1. Alhamdulillah jika pihak British memberi kerjasama dalam hal ini... Ini penting untuk menjaga maruah kita sebagai orang Islam...

    ReplyDelete

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?