Tuesday, November 11, 2008

Kementerian Pelajaran Siasat Penggunaan Video Klip 'Sajak Kematian' Di Sekolah

Kementerian Pelajaran akan mengadakan siasatan berhubung penggunaan klip video 'Sajak Kematian' di sekolah-sekolah, seperti yang dilaporkan oleh media sebelum ini.

Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau sama sekali tidak bersetuju dengan kaedah penggunaan klip video 'Sajak Kematian' di sekolah memandangkan ia tidak sesuai dengan tahap umur pelajar yang masih terlalu muda.

"Saya sungguh tidak bersetuju kerana kita hendak mendidik mesti secara berhemah dan pendekatan yang menakut-nakutkan lebih-lebih lagi terhadap anak-anak yang usianya cukup muda, saya rasa ia tidak akan membawa manfaat," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu itu selepas merasmikan Program Pertukaran Pelajar ASEAN (ASEP) 2008 di Sekolah Sultan Alam Shah di sini hari ini.

Laporan media sebelum ini memaparkan penggunaan klip video 'Sajak Kematian' di sekolah, yang antara lain memaparkan babak seksaan kubur selepas jenazah dikebumikan.

Penggunaan klip video ini menimbulkan bantahan daripada sebilangan ibu bapa kerana dikhuatiri akan menjejaskan akidah apabila klip video itu turut memaparkan gambaran yang berlaku di alam ghaib.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata kadar yuran pada penggal persekolahan tahun depan dijamin tidak akan menimbulkan sebarang masalah, sebagaimana yang berlaku pada penggal persekolahan lalu.

Sebuah jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh beliau sendiri akan meneliti semua perkara berkaitan penggal persekolahan baru tahun depan termasuk isu yuran, jadual waktu dan perkara berkaitan yang diumumkan kelak.

"Saya yakin tidak akan timbul masalah dan yuran tambahan, ia bukan suatu yang wajib sebaliknya ada kaitan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Sebelum ini yang timbul adalah berpunca daripada salah tanggapan dan kita sudah berbincang dan menyelesaikan masalah tersebut," katanya.

3 comments:

  1. seswai untuk budak2 umur 12thn keatas yg nakal2 tu. utk umur 7-8 thn aku rasa boleh menjejaskan emosi dorang. Byk cara lain yg boleh dibuat utk mendidik mereka bersesuaian dgn peringkat umur.

    ReplyDelete
  2. Berkenaan isu video sajak kematian, bagi saya ia tak perlu ditarik balik. Video tersebut merupakan salah satu cara untuk menginsafkan kita semua. Kalau nak ditayangkan pada peringkat umur remaja dan dewasa, berapa orang je yang insaf sebab remaja kita sekarang ni ramai yang tak takut dengan Tuhan... Mereka berani buat perkara-perkara maksiat dan sebagainya. Hanya golongan yang masih bersekolah rendah yang dilihat sebagai peringkat umur yang masih boleh dibentuk...

    ReplyDelete
  3. rasanya dorang ni saje nak bangkitkan isu ni.. yela kan sebab tujuan dorang nak bagi hint pmungkin pada pemimpin2 kita tu, tapi sapa la nak tengok...jadi bila bagi tengok budak2 sekolah bwah 8 tahun dan jadik plak isu besar hah time ni la ramai bukak mulut dan mata. Yang clip video ni tak sesuai untuk budak2 bawah umur. Masalahnya pemikiran kita ni, ingat2lah sikit kematian tu tak mengira umur muda ke tua ke? Pendedahan awal prlu diberikan dan penjelasan juga perlu diberikan. Kalau pendidikan sex boleh dibuat disekolah pendidikan agama terutama pengisian rohani perlu dibuat juga. Kalo dah masuk umor remaja dah tentu2 lah dorang tak heran punya sama la macam kita yang tua ni dah tau buat tu dosa masih gak nak buat, tapi pendetan pada kanak2 ni berbeza. Takut kepada Allah. Kan tu wajib. Kalau tak takut pada Allah tapi takut pada benda lain tu tak pulak dorang nak bangkang. Bukankah pepatah ada mengatakan melentur buluh biarlah dari rebungnya kalau dah jadi buluh apa nak dilentur lagi gergaji aje la jawabnya

    ReplyDelete

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?