Thursday, November 13, 2008

Kerajaan Akan Tawar Tender Terbuka Untuk Bangun Tanah Milik Kerajaan

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Kerajaan akan membuat tawaran tender terbuka kepada sektor swasta untuk membangunkan tanah milik kerajaan di seluruh negara, kata Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop hari ini.

Katanya ini adalah susulan dari pengumuman Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa penggulungan bajet baru-baru ini, yang mengumumkan Pakej Rangsangan Fiskal bernilai RM7 billion.

Dalam pakej tersebut, Najib yang juga Menteri Kewangan, telah mengumumkan bahawa kerajaan akan mengenal pasti aset, dalam bentuk tanah yang strategik, yang boleh ditawarkan menerusi inisiatif terbabit, termasuk tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh, tanah Kerajaan di Jalan Cochrane dan Jalan Ampang Hilir, Kuala Lumpur.

"Kerajaan akan mencadangkan kepada sektor swasta, misalannya untuk membangunkan sesuatu tanah untuk membuat hospital dan ini akan dilakukan secara berperingkat-peringkat," kata Nor Mohamed kepada pemberita selepas merasmikan "Asia Pasific Tax Conference An Effective Tax" (Persidangan Percukaian Asia Pasifik Satu Cukai Berkesan) di sini.

Langkah itu melibatkan aset milik kerajaan pusat sahaja, katanya.

Beliau menerangkan bahawa langkah pengewangan aset kerajaan itu merupakan langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk memperolehi hasil dari jualan tender.

Langkah itu juga adalah untuk mempercepatkan lagi pembangunan di sesuatu kawasan aset milik kerajaan yang melibatkan syarikat swasta, katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai pelonggaran pemilikan ekuiti Bumiputera bagi syarikat yang berhasrat untuk disenaraikan, Nor Mohamed langkah kerajaan itu bertujuan menghapuskan ketidakpastian di kalangan syarikat yang ingin disenaraikan tetapi masih belum memenuhi kuota itu.

"Langkah itu memberikan fleksibiliti dan yang pentingnya saya rasa ia memberikan satu kepastian. Anda tidak perlu risau mengenai ekuiti Bumiputera 30 peratus itu. Kita mempunyai cara untuk menangani isu ini," katanya.

"Kita mahu mewujudkan satu persekitaran yang ada kepastian," katanya.

Ketika berucap sebelum itu, Nor Mohamed berkata sistem cukai pendapatan Malaysia berkesan menyumbang terhadap pertumbuhan sosio-ekonomi negara.

Bagaimanapun, dengan mengambil kira perubahan pantas di dalam struktur ekonomi negara serta persekitaran ekonomi global, katanya langkah untuk menyemak semula sistem itu kini menjadi relevan.

Dengan itu, katanya kerajaan telah mewujudkan satu Panel Semakan Semula Percukaian yang bertujuan mewujudkan satu regim percukaian yang lebih berkesan dan menyediakan satu rangka perundangan yang mudah, telus dan berkesan yang menggalakkan cara menggembleng perolehan yang saksama dan berkesan.

Panel itu bakal dianggotai sektor awam dan swasta, yang termasuk ahli akademik dan pengamal percukaian.

Kerajaan telah juga menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kabinet Khas mengenai Pelaburan untuk mempercepatkan proses kelulusan projek yang mempunyai impak yang besar terhadap ekonomi.

Nor Mohamed berkata jawatankuasa itu diberi kuasa untuk meluluskan insentif percukaian khas iaitu pengecualian cukai pendapatan bagi lanjutan tempoh sehingga 15 tahun dan pengecualian cukai pendapatan pusingan kedua serta insentif bukan cukai seperti geran dan pinjaman mudah.

Sehingga ini, 21 projek telah diluluskan dengan sejumlah pelaburan RM112 bilion.

"Struktur cukai juga telah memudahkan langkah kepelbagaian yang lebih meluas ekonomi yang memberi fokus ke atas sektor di mana kita mempunyai kelebihan dan menjana potensi nilai tambah yang tinggi," katanya.

Sektor berkenaan termasuk teknologi tinggi, aktiviti berasaskan pengetahuan dan berinsentifkan kemahiran, sektor perkhidmatan terpilih seperti penyumberan luar.

No comments:

Post a Comment

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?