Umno bahagian Pekan yang diterajui oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mencalonkan beliau untuk jawatan presiden walaupun Majlis Tertinggi (MT) telah mengarahkan supaya bahagian tersebut tidak membuat sebarang pencalonan untuk jawatan tertinggi Umno.
Selain Pekan, MT juga sebelum ini tidak membenarkan bahagian Kepala Batas yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat pencalonan bagi jawatan tertinggi.
Arahan tersebut dibuat bertujuan untuk mengelakkan ianya mempengaruhi perwakilan yang akan membuat pemilihan pada perhimpunan agung Umno Mac depan.
Kecuali jawatan presiden, bahagian Pekan tidak membuat sebarang pencalonan bagi jawatan tinggi yang lain.
Mengulas perkara tersebut, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata pencalonannya sebagai presiden parti oleh bahagian Pekan semalam tidak menjejaskan proses peralihan kuasa Mac depan.
Bernama melaporkan Najib berkata, jawatan presiden parti bukan lagi rebutan memandangkan beliau telah memenangi jawatan nombor satu parti tanpa bertanding.
"Jawatan ini bukan lagi perebutan. Saya juga telah jelaskan kepada presiden (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan Setiausaha Agung (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) mengenai pencalonan berkenaan," katanya ketika menggulung perbahasan persidangan perwakilan Umno Bahagian Pekan semalam.
Pak Lah kekal di Kepala Batas
Najib berkata, pencalonan yang diterimanya dari bahagian yang diterajuinya itu, bukanlah mengingkari arahan MT.
"Saya tidak boleh menolak hasrat dan kehendak perwakilan yang tidak mahu terlepas (peluang) untuk membuat sejarah. Sekian lama Pekan menunggu, inilah kali pertama untuk mereka calonkan anak watan sendiri untuk jawatan tertinggi... jadi tidak timbul soal mengingkari MT," katanya.
Najib, yang juga ahli Parlimen Pekan, menjelaskan tujuan MT tidak membenarkan bahagian Kepala Batas dan Pekan membuat pencalonan jawatan tertinggi adalah bagi mengelakkan ia mempengaruhi perwakilan yang akan membuat pemilihan dalam perhimpunan agung Umno Mac depan.
"Tetapi bagi jawatan Presiden, Alhamdulillah dari Perlis hingga ke Sabah sudah menyatakan pendirian yang sama iaitu hampir 100 peratus menyatakan sokongan padu kepada saya menggantikan perdana menteri," katanya.
Sementara itu, perdana menteri menang tanpa bertanding jawatan ketua Umno bahagian Kepala Batas dalam mesyuarat perwakilannya pagi ini.
Pengumuman itu dibuat oleh setiausaha Umno bahagian, Datuk Ahmad Darus ketika memberi taklimat kepada perwakilan di permulaan mesyuarat di pusat Budi Penyayang.
sumber - malaysiakini
No comments:
Post a Comment
Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.
Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?