Monday, November 24, 2008

Pengusaha kelab nafi mantera dalam senaman yoga

Beberapa pengusaha kelab yoga menafikan amalan senaman itu mempunyai unsur-unsur agama Hindu, sebaliknya dilakukan untuk kesihatan yang kesannya dibuktikan menerusi kajian saintifik.

Pengusaha Moya Yoga Studio, Datin Suleiha Merican berkata, senaman yoga yang dilakukan di studio miliknya tidak mempunyai bacaan mantera dan berzikir tetapi semata-mata amalan senaman.

Menurutnya, ramai pelajar di studionya itu yang menghidap sakit kepala, migrain, asma, sakit belakang, tekanan darah tinggi dan rendah mengamalkan senaman ini dan merasai keberkesanannya.

''Banyak artikel mengenai kebaikan amalan yoga untuk memulihkan beberapa penyakit dan turut disokong oleh pakar perubatan telah dihasilkan,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian berhubung kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan umat Islam mengamalkan yoga secara sistematik kerana dibimbangi akan menghakis akidah jika pengamalnya meneruskan amalan itu ke peringkat lebih tinggi.

Suleiha, 57, seterusnya memberitahu, beliau yang telah 40 tahun menjadi guru yoga tidak pernah merasa akidah dan keimanannya terhadap Islam dan Allah terjejas.

Malahan, katanya, kesihatan dan ketenangan yang diperoleh melalui senaman yoga sejak berusia lima tahun membuatkan dirinya lebih mendekati Allah dengan membaca al-Quran beserta tafsirannya.

Sementara itu, Vanaja Dhanan, pemilik Yoga2Health pula berkata, senaman yoga ada kaitan dengan sains kesihatan tetapi tidak ada kena-mengena dengan agama.

Menurutnya, pelajar dilatih untuk melakukan pergerakan anggota dan cara pernafasan yang betul bagi mendapatkan bekalan oksigen yang mencukupi.

''Ramai orang mendapat sakit kerana tidak mengamalkan cara pernafasan yang betul. Senaman yoga mengajar kita teknik untuk bernafas cara betul.

''Menerusi senaman yoga, kita boleh mendapat ketenangan jiwa, sihat dan mampu mengawal perasaan,'' katanya.

Shilpa dari Yoga Shakti pula berkata, yoga yang diamalkan di tempatnya tidak menyertakan mantera.

Menurut Shilpa, beliau mengajar pelanggannya untuk membentuk anggota supaya lembut dan fleksibel mengikut gerakan senaman dan teknik bernafas dengan betul.

Katanya, dalam senaman itu tiada meditasi tetapi mengajar pelanggan bernafas cara betul kerana ia akan menyihatkan tubuh badan di samping menenangkan fikiran.

No comments:

Post a Comment

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?