Thursday, November 13, 2008

Politik wang: Kikis orientasi 'Umno itu duit, duit itu Umno'

PETALING JAYA: Gejala politik wang sudah sebati dengan Umno! Ini rumusan penganalisis dan pemerhati politik yang mengikuti dengan dekat perkembangan tersebut sejak kebelakangan ini.

Pensyarah sains politik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr Ghazali Mahyudin berkata, gejala politik wang sudah lama berakar umbi dalam Umno dan ia merebak daripada peringkat atasan hingga ke bawah.

"Ia dah berlaku lama. Bila ada bunga-bunganya, ia patut dicantas cepat tapi Umno dulu, masa hal ini (politik wang) berlaku, mereka menutupnya dan akibatnya semakin dapat dilihat pada hari ini. Ia semakin merebak dan sukar dibendung lagi," katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.

Ghazali berkata, walaupun ada tindakan yang diambil oleh Lembaga Disiplin tetapi ia tidak memberi kesan besar kerana hanya melibatkan beberapa orang ahli dan bukan menyeluruh.

"Selain itu, ini juga melibatkan masalah kepimpinan. Walaupun ada pemimpin Umno yang berdegar-degar bercakap politik wang berdosalah, merosakkan maruah bangsa dan sebagainya tetapi tidak semua ahli yang memandang berat cakap-cakap mereka.

"Ada sesetengah ahli yang bila pemimpin bercakap demikian, mereka pun kata 'alah, dia cakap, dia pun buat juga'... itulah yang membimbangkan," katanya.

Ghazali menambah, gejala yang berleluasa di kalangan ahli Umno ini tidak boleh dipandang mudah kerana golongan ini yang akan menerajui parti dan kemungkinan besar menerajui negara.

Justeru katanya, cara yang baik untuk mengekang gejala politik wang daripada terus berlaku adalah dengan menghapuskan sistem kuota yang menjadi salah satu punca kepada gejala ini terus berlaku.

"Jika tidak dilakukan, saya tidak nampak hal ini akan berkesudahan dan saya fikir tidak ada jawatankuasa yang mampu menanganinya kerana ia sudah seperti satu budaya.

"Pemimpin cakaplah apa pun, media tulislah apa pun, setakat ini memang tidak memberi kesan. Pada saya, politik wang dalam Umno boleh dikatakan 'kalau bagi salah, tak bagi kalah'," katanya.

Sementara itu, pensyarah Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Zaini Othman turut bersetuju jika sistem kuota dalam pemilihan Umno dihapuskan.

"Ia melibatkan aspek penstrukturan dalam pemilihan Umno kerana struktur sedia ada iaitu sistem kuota yang mendokong politik wang ini terus berlaku dalam parti tersebut.

"Bukanlah saya maksudkan ia akan terus terhapus tetapi mungkin sedikit sebanyak, gejala politik wang itu dapat dikurangkan," katanya.

Zaini berkata, salah satu cara bagi menggantikan sistem sedia ada adalah dengan mengadakan pemilihan secara serentak berbanding secara berperingkat-peringkat yang diamalkan pada masa ini.

"Sekarang ini, pemilihan yang diadakan melalui mesyuarat-mesyuarat agung (persidangan perwakilan) bahagian membolehkan calon meletakkan sasaran, bahagian mana yang mereka mahukan untuk mendapatkan lebih lagi pencalonan.

"Jika dilakukan serentak, hal ini dapat dielakkan kerana mereka tidak ada masa untuk melakukan semua itu," katanya.

Selain itu, Zaini berkata, ahli-ahli Umno juga perlu mengubah persepsi mereka bahawa Umno adalah sebuah parti yang menjanjikan wang kepada ahli-ahlinya.

"Ahli-ahli Umno ini perlu diorientasikan semula daripada menganggap Umno itu duit, duit itu Umno. Saya tidak pasti macam mana caranya tapi itulah yang perlu dilakukan," katanya.

Sementara itu, pensyarah jurusan pembangunan sosial Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, Lembaga Disiplin dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) perlu bekerja keras dalam membasmi gejala politik wang ini daripada terus berleluasa.

"Kalau betul-betul nak banteras (politik wang), Umno memang kena kerja keras termasuk Lembaga Disiplin perlu memantau daripada awal lagi perjalanan mesyuarat peringkat bahagian.

"Masalahnya sekarang, dalam gejala politik wang yang begitu teruk pada masa ini, ia boleh diibaratkan seperti rumah sudah terbakar tapi mesyuarat nak panggil bomba baru nak diadakan," katanya.

Jelas beliau, Lembaga Disiplin boleh mengadakan jawatankuasa di peringkat negeri supaya masalah disiplin ahli termasuk politik wang boleh dikawal.

"Masalahnya, politik wang ini sukar dikesan kerana tiada siapa yang mahu tampil menjadi saksi dan kita pun tidak tahu tangan-tangan tersembunyi yang menerima duit-duit itu.

"Bagaimanapun pada saya, setiap ahli sebenarnya perlu kembali semula kepada ajaran Islam iaitu keimanan dan ketakwaan serta sayang kepada negara," katanya.

1 comment:

  1. Apa yang jadi sekarang ialah UMNO secara totalnya telah dilabelkan sebagai parti politik wang... Yang bahayanya, mereka yang tak terlibat dengan politik wang pun turut dilabel sedemikian. Sesuatu tindakan yang drastik harus dilakukan bagi membersihkan nama UMNO daripada politik wang...Jangan dibiarkan pembangkang berterusan melabel UMNO sebagai parti politik wang.. Kita harus berubah...

    ReplyDelete

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?