Sebelum ini banyak pihak mengambil sikap menyepi terhadap langkah kerajaan menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran subjek Matematik dan Sains.
Hanya segelintir pihak sahaja terutamanya pembangkang begitu lantang mengkritik keputusan kerajaan yang dianggap cuba undur ke belakang, setelah 51 tahun negara mencapai kemerdekaan.
Bagaimanapun kali ini Gabungan Penulis Nasional (Gapena) tiba-tiba lantang mengkritik kerajaan terhadap isu tersebut, biar pun banyak pihak menganggap ia agak terlambat.
Ketua 1 Gapena, Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein berkata, pihaknya merancang mengambil tindakan mahkamah terhadap Kementerian Pelajaran sekiranya meneruskan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains.
Katanya, Gapena tetap menentang dasar kerajaan sekiranya terus mengekalkan penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek terbabit kerana ia boleh mengakibatkan pelajar Melayu terutamanya di kawasan luar bandar ketinggalan.
"Kita tidak menentang bahasa Inggeris tetapi dengan penggunaannya dalam pengajaran subjek berkenaan boleh menggugatkan penggunaan bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan.
"Malaysia kini seperti berada dalam zaman pancaroba akibat kekalahan teruk Umno pada pilihan raya umum ke-12 lalu sehingga ada segelintir pihak ingin menjadi hero tanpa merujuk kepada perlembagaan negara untuk bertindak," ujar beliau selepas perasmian seminar Perpaduan Melayu di sini, kelmarin.
Seminar itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kelantan, Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dan Persatuan Seniman dan Penulis Pasir Puteh (PUSPA).
Dr Ismail berkata, tindakan yang dilakukan kerajaan bertentangan dengan Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan berhubung status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Menurutnya, bangsa Melayu kini menghadapi pelbagai dugaan dan ancaman sehingga diperkotak katikkan orang lain.
Namun katanya, dalam zaman pancaroba sekarang orang Melayu seharusnya mengambil sikap berhikmah demi melihat perpaduan kaum menjadi lebih jitu.
"Justeru itu ramai cendikiawan, pemimpin Melayu, pencipta bahasa dan aktivis NGO sudah celik mata dan telah mengatur pelbagai program untuk membangkitkan semula semangat orang Melayu," ujarnya.
Tiga kertas kerja dibentangkan pada seminar itu iaitu 'Kebudayaan Melayu Sebagai Teras Budaya Kebangsaan' oleh Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof Madya Dato' Zainal Abidin Borhan.
Kertas kerja kedua bertajuk 'Kefahaman Ketuanan Melayu' oleh Prof Dato' Dr Zainal Kling dan 'Penolakkan PPSMI' oleh anggota jawatankuasa Gapena, Haji Borhan Md Zain.
Turut hadir Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kelantan, Ismail Yusof.
Kenapa takut sangat dengan penggunaan bahasa inggeris untuk pendidikan? Kalau takut nak berubah, sampai bila2 pun akan ditakuk lama.
ReplyDelete