Friday, December 12, 2008

Indonesia Mahu Hubungan Baik Terus Kekal Selepas Pak Lah

Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono menegaskan Indonesia berharap hubungan baik dan kerjasama yang sedia terjalin dengan Malaysia akan berterusan walaupun selepas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersara.

Abdullah berkata Susilo menyatakan demikian pada perbincangan antara mereka ketika beliau mengadakan kunjungan hormat kepada Susilo di Istana Presiden selepas selesai mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) bersama Malaysia-Indonesia di sini, Khamis.

"Adalah menjadi harapan beliau supaya kerjasama yang baik ini akan berterusan walaupun selepas saya sudah bersara daripada jawatan Perdana Menteri," kata Abdullah pada sidang media dengan wartawan Malaysia di akhir lawatan kerja dua hari beliau ke Indonesia.

Abdullah sebelum ini mengumumkan beliau akan melepaskan jawatan pada bulan Mac 2009.

Mengetuai delegasi Malaysia seramai 28 orang, Abdullah yang juga Menteri Pertahanan, mempengerusikan bersama mesyuarat tahunan itu dengan Menteri Pertahanan Indonesia Juwono Sudarsono.

Beliau juga mengambil kesempatan pada pertemuan dengan Susilo itu untuk memaklumkan kepada Susilo mengenai perkembangan mesyuarat ke-37 GBC itu yang berjalan lancar.

Abdullah berkata mereka juga berbincang mengenai krisis ekonomi dunia sekarang serta kesan yang diakibatkan ke atas Malaysia dan Indonesia, dan langkah-langkah yang telah diambil oleh kedua-dua negara bagi menanganinya.

"Selain itu kami berdua juga berbincang mengenai Konsultasi Tahunan antara Kedua-dua Ketua Kerajaan Malaysia dan Indonesia.

Ini adalah konsultasi tahunan yang biasanya diadakan pada awal tahun dan sudah tiba 'summit' ketua kerajaan Malaysia-Indonesia diadakan," katanya.

Beliau berkata Indonesia yang akan menjadi tuan rumah kali ini telah meminta beliau menentukan tarikh yang sesuai sama ada pada bulan Februari atau Mac 2009.

Menjawab soalan, Perdana Menteri berkata beliau dan Susilo juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara termasuk dalam usaha membolehkan naiknya harga sawit memandangkan harga komoditi itu kini merosot.

"Kedua-dua menteri berkenaan dan pegawai-pegawai tinggi akan mengadakan perbincangan dan laporannya serta cadangan bagi usaha menaikkan harga sawit akan diserahkan kepada kami berdua.

Kalau dapat diusahakan harga sawit naik adalah baik," katanya, yang menyebut Malaysia dan Indonesia menguasai 80 peratus pasaran sawit dunia.

Abdullah berlepas pulang ke Kuala Lumpur Khamis malam selepas menziarahi keluarga Allahyarham Ali Alatas, bekas Menteri Luar Indonesia yang merupakan sahabat baik beliau dan juga anggota Kumpulan Orang Kenamaan Indonesia (EPG).

Ali meninggal dunia di Singapura dan jenazahnya dibawa pulang ke kediaman keluarganya di Kemang di sini.

1 comment:

  1. Hubungan baik antara Malaysia-Indonesia adalah sejak dari dahulu lagi. Setiap masalah berkaitan antara dua negara diselesaikan secara baik. Adalah wajar jika hubungan ini dikekalkan sampai bila-bila. Pelbagai usahasama boleh dilakukan dari hubungan baik ini...

    ReplyDelete

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?