Saturday, December 20, 2008

Kementerian Pengangkutan Kaji Kewajaran Operasi bas Ekspres Lewat Malam

Kementerian Pengangkutan akan mengkaji semula kewajaran membenarkan bas ekspres dan bas lain di negara ini menjalankan operasi selepas tengah malam ekoran peningkatan kemalangan maut pada waktu malam.

Menterinya Datuk Seri Ong Tee Keat berkata kementeriannya sedang mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk dari negara-negara lain bagi tujuan tersebut.

"Walaupun pemandu-pemandu bas terbabit menyatakan mereka sudah cukup tidur pada waktu siang, tetapi ada masanya mereka akan mengalami keletihan kerana tindak balas biologi dalam tubuh manusia, jadi kewajaran ini akan dikaji semula," katanya.

Beliau diminta mengulas kemalangan sebuah bas ekspres dari Sitiawan, Perak ke Singapura sehingga mengorbankan 10 daripada 26 penumpangnya di Kilometer 146, Lebuh Raya Utara Selatan antara Tangkak-Pagoh di sini baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan ditemui pemberita selepas merasmikan bangunan baru Pusat Hemodialisis Kelab Lion International di Taman Indah, Sungai Abong di sini, Jumaat.

Bagaimanapun, Ong berkata sebelum keputusan untuk menarik balik kebenaran operasi tersebut dibuat, maklum balas daripada agensi tertentu termasuk Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) tetap akan diambil kira.

Beliau yang juga Presiden MCA dijangka menerima laporan dan cadangan daripada LPKP yang telah diarahkan menyiapkan laporan mengenai kemalangan tersebut dalam sedikit masa lagi.

Mengenai bantahan terhadap cadangan agar lesen kenderaan perdagangan diperbaharui setiap setahun berbanding lima tahun sekali yang dikuatkuasakan selama ini, beliau berkata ia masih lagi di peringkat cadangan.

1 comment:

  1. Elok dikaji hal ini, cadangan ini ada baiknya juga kerana bilangan kemalangan waktu malam adalah tinggi.

    ReplyDelete

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?