KUALA LUMPUR, 2 Dis (Hrkh) - Parti-parti komponen Barisan Nasional hanya berani untuk bersuara tetapi tidak akan berani untuk melaksanakan apa yang disuarakan.
Demikian kesimpulan yang dirungkaikan oleh Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily apabila mengulas mengenai desakan Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP),Dato' M Kayveas untuk keluar daripada BN jika Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak dipinda sebelum pilihan raya umum akan datang.
Menurut Tian,kata tegas Kayveas itu tidak akan membawa sebarang makna jika berlaku lagi penahanan ISA sebelum pilihan raya umum.
"Namun pengumuman ini langsung tidak membawa apa-apa makna, sekiranya berlaku lagi penahanan ISA sebelum pilihan raya umum. PPP akan kelihatan menghalalkan penahanan ISA dalam tempoh masa tersebut jika tidak keluar dari BN sekarang.
"Ini adalah sikap parti komponen dalam BN yang sentiasa menyuarakan bahawa mereka tidak setuju tetapi tidak berani untuk menentang,"jelasnya dalam satu kenyataan Harakahdaily.
Semalam, Kayveas mendedahkan pendirian tersebut diambil setelah bahagian-bahagian Wanita dan Pemuda mengemukakan permintaan bagi mansuhkan ISA kepada PPP.
Kata Tian yang merupakan Ahli Parlimen Batu,kini menurut Gerakan Mansuhkan ISA, seramai 64 orang masih di bawah tahanan ISA, malah kerajaan BN tetap menggunakan ISA untuk menahan rakyat baru-baru ini, suatu realiti yang tidak harus diketepikan oleh PPP ketika membuat pendirian keluar BN.
"Bagaimanapun bantahan PPP terhadap akta kejam tersebut tidak cukup tegas apabila Kayveas hanya ingin akta tersebut dipinda, bukannya dimansuhkan, supaya 'ia tidak menjadi undang-undang kejam ke atas warganegara yang tidak bersalah',"katanya.
Tambahnya,pengumuman Presiden PPP tersebut jelas bukan berdasarkan prinsip keadilan sosial, tetapi kepentingan politik parti yang tidak membawa apa-apa perubahan ke atas ruang demokrasi negara.
"Saya menyeru PPP seandainya serius dalam mempertahankan nilai demokrasi, maka seluruh kepimpinan PPP harus mengikut jejak bekas Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Dato' Mohd Zaid Ibrahim yang berani mengambil langkah keluar dari BN untuk menentang kezaliman ISA tanpa ragu-ragu,"tegasnya.
ini lah jawapan Hamid kepada parti yang sudah tiada pengaruh atau sambutan daripada rakyat di semenanjung ! seandainya yang bercakap atau ugutan ini datang dari pemimpin sabah atau sarawak maka hamid badut sarkis akan terkencing dalam seluar.
ReplyDelete