Sunday, December 28, 2008

Pemuda UMNO Maran buat laporan

Pergerakan Pemuda UMNO Maran hari ini membuat laporan polis berhubung penyiaran laman blog yang menghina Nabi Muhammad.

Pergerakan itu yang terdiri daripada 20 ahli jawatankuasa bahagian yang diketuai Mohd. Najuib Mohd. Shahaimi membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran di sini kira-kira pukul 3 petang ini.

Mohd. Najuib yang juga ketua pergerakan tersebut ketika ditemui berkata, pihaknya mahu kerajaan bertindak segera terhadap pengendali laman blog tersebut demi menjaga keamanan negara.

Tegas beliau, penyiaran laman blog itu jelas berniat jahat yang sengaja mahu menimbulkan kemarahan umat Islam.

“Kewujudan laman blog menghina Nabi Muhammad perlu ditangani segera kerana jika dibiarkan, ia boleh menggugat kemakmuran dan kestabilan negara,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Najuib berkata, ada pihak yang menggunakan isu agama sebagai strategi untuk menimbulkan rasa syak wasangka di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO Maran, Mohd. Khairul Amin Othman kesal dengan tindakan pengendali blog berkenaan yang kononnya dipaparkan sebagai seorang wanita Melayu Islam yang berfikiran terbuka.

Katanya, telah ada kecenderungan rakyat yang tidak bertanggungjawab menggunakan laman blog untuk mencetuskan huru-hara dengan mengeksploitasi isu-isu sensitif seperti penghinaan kepada Nabi Muhammad.

“Dalam situasi ini mungkin ada pihak lain yang menyamar nama wanita Islam dengan menggunakan blog untuk menghina Nabi Muhammad secara melampau,” katanya.

Ketua Penerangan UMNO Maran, Saiful Azman Afendi Mokhtar pula menganggap individu atau kumpulan yang terlibat dalam penyiaran laman blog itu sebagai amat berbahaya kepada negara.

Individu atau kumpulan terbabit, tegasnya, perlu dikenakan tindakan paling tegas termasuk di bawah Akta Hasutan atau Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau menegaskan, Pemuda UMNO Maran mahu pihak berkuasa mengesan segera pengendali laman blog itu agar dikenakan tindakan sebagai pengajaran kepada pihak lain.

No comments:

Post a Comment

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?