Setiausaha Kerja Badan Perhubungan Umno Negeri Pahang, Datuk Abdullah Rahmat, 51, maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki bersama dua rakannya terbabas setelah terlanggar seekor lembu dalam kemalangan di KM92 Lebuh Raya Pantai Timur, dekat Lanchang pada 9.15 malam tadi.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshah) di sini manakala seorang rakannya yang berasal dari Kuantan, Ahmad Kamal Abdul Malek, 50, pula disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hoshah.
Seorang lagi rakan mangsa Mohd Fazzri Mohd Amri, 22, hanya cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, mangsa yang memandu kenderaan berkenaan dan dua lagi rakannya itu dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuantan dan apabila tiba di tempat kejadian telah terlanggar seekor lembu yang melintas dari arah kiri ke kanan lebuh raya itu.
"Selepas melanggar lembu berkenaan, pacuan empat roda itu hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik dan memasuki laluan bertentangan dengan keempat-empat roda ke atas," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Ahmad Fadzillah berkata, sejurus kemalangan itu, sebuah kereta lain jenis Perodua Kelisa dari Kuala Lumpur menuju Kuantan turut terlanggar lembu yang mati di tengah lebuh raya itu sebelum terbabas, bagaimanapun pemandunya, Sahlan Mat Nor, 22, hanya cedera ringan.
Di PEKAN, jenazah Allahyarham Abdullah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Marhum pada 12.30 tengah hari tadi.
DIKEBUMI
Jenazah Allahyarham dikebumikan bersebelahan pusara arwah isterinya, Hasimah Ngah yang telah kembali ke rahmatullah pada 20 November 2007.
Allahyarham meninggalkan tujuh orang anak Nurul Huda, 24, Nurul Ain, 23, Khairul Anwar, 20, Nurul Mazni, 18, Khairul Aiman, 14, Khairul Hasanul Adlin, 10, dan Khairul Hanirul Ikhram, 7.
Antara kenamaan yang menziarahi jenazah Allahyarham ialah Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.
Sementara itu abang kepada Allahyarham, Abd Rahim Rahmat, 70, berkata, arwah baru sahaja mengadakan majlis tahlil untuk arwah isterinya dua minggu lepas.
KOMEN ANAK
Anak sulung Allahyarham, Nurul Huda berkata, dia sempat berbual dengan ayahnya melalui telefon semalam sebelum kejadian itu.
"Selepas itu malam tadi saya dapat panggilan yang ayah terlibat dengan kemalangan," katanya hiba.
Allahyarham mula menabur bakti sebagai Setiausaha Kerja Umno Pahang pada 1996 ketika bekas Menteri Besar Pahang Tun Khalil Yaakob (kini Yang Dipertua Negeri Melaka) menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.
No comments:
Post a Comment
Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.
Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?