Saturday, December 06, 2008

Tuala Basah Dalam Beg Rupa-rupanya Menyerap Kokain Cair Bernilai RM2.5 Juta

Polis menahan seorang wanita warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang semalam selepas menemui 10 helai tuala basah yang dipercayai dicelup dengan kokain cair bernilai RM2.5 juta dalam dua beg pakaian yang dibawanya.

Ketua Jabatan Narkotik Selangor ACP Nordin Kadir memberitahu sidang akhbar di sini, kokain cair bernilai RM250,000 sekilogram itu dipercayai akan dihantar ke Bangkok, Thailand melalui jalan darat.

Beliau berkata siasatan mendapati wanita berusia 36 tahun itu datang menggunakan pesawat dari Sao Paolo, Brazil dan mengambil penerbangan transit ke Dubai sebelum tiba ke negara ini pada pukul 3.30 petang.

Polis menahannya di tempat mengambil bagasi dalam keadaan mencurigakan menolak dua beg pakaian di atas troli sebelum melakukan pemeriksaan ke atas kandungan beg-beg itu.

"Pemeriksaan yang dibuat pada beg pertama menemui tujuh helai tuala yang lembap dan tiga lagi tuala lembap ditemui pada beg kedua," katanya.

Nordin berkata polis yang tertanya-tanya mengapa wanita itu membawa terlalu banyak tuala lembap mengambil keputusan untuk membuat ujian terhadap kesemua tuala tersebut dan hasilnya tuala lembap itu mengandungi dadah kokain yang telah dicairkan.

Katanya ujian yang dibuat mendapati berat setiap tuala tersebut ialah 1.5 kilogram dan setiap tuala dipercayai menyerap kira-kira 1 kilogram kokain cair.

Ketika disoal-siasat wanita itu mendakwa dia tidak mengetahui mengenai dadah pada tuala itu dan hanya disuruh membawanya oleh seorang rakan.

Beliau berkata wanita itu kini ditahan reman selama seminggu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

2 comments:

  1. Pelbagai cara dan taktik dilakukan oleh penjenayah untuk menyeludup dadah termasuklah cara ini yang dilihat sebagai satu taktik yang agak hebat. Tapi oleh kerana kecekapan pihak berkuasa, ia dapat dikesan. Kesahihan sama ada wanita tersebut tidak mengetahui tentang dadah tersebut, mungkin ada betulnya kerana memang banyak kes yang melibatkan mereka yang diperdaya oleh penjenayah. Apapun, kita ada akal fikiran yang waras yang mampu menilai sesuatu perkara. Gunakanlah sebaik mungkin. Insya ALLAH kita takkan mudah diperdaya melainkan diugut...

    ReplyDelete
  2. Dahsyat juga polis negara kita. Mereka boleh syak dan kesan kecurigaan wanita tersebut...Dan akhirnya tertangkap satu kes penyeludupan dadah cecair menggunakan taktik licik yang tak berjaya... Syabas polis Malaysia...

    ReplyDelete

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?