Friday, November 20, 2009

Burmaa Oyunchimeg: Chisss... Durhaka Kau..!

Artikel lama yang dicedok kembali dari Tukar Tiub buat tatapan pembaca... ada juga kaitannya dengan yang ini, ini, ini, ini dan ini...

ish ish ish ish ish...

Saya cukup marah apabila mendengar desas-desus melalui sistem pesanan ringkas bahawa bakal perdana menteri saya telah dikaitkan dengan....sapa namanya....daging se ketul? Nak sebut pun susah. Apa punya tuuur! Saya juga naik angin bila melihat akhbar petang Guang Ming Daily membuat laporan penuh di muka hadapan akhbar tersebut tentang cerita bakal perdana menteri yang baru disebut di mahkamah. Tidak cukup dengan laporan berita ada pula gambar si Minah itu bergaya di Paris. Dari mana gambar ini dikaut oleh Guang Ming wallahu a’lam bisawab.

Saya dengar petang itu Guang Ming jual laris - entah-entah ada ulang cetak. Saya hanya dapat beli naskhah terakhir di Jalan Petaling. Ramai member yang gigit jari terutama teringin melihat gambar Minah ini berlagak di kota Paris. Belek punya belek gambar Minah ini ok juga, boleh ‘stim’. Boleh buat teman ‘pa chu ching’. Tetapi, itu cerita lain. Yang saya nak tulis ini ialah perangai akhbar Cina yang tidak tahu hendak menyurukkan berita. Nasib baik orang Melayu tidak pandai Mandrin, kalau tidak malu besar bakal PM saya ini.

Perangai akhbar Inggeris pun sama. Macam ada agenda tersuruk lagi terpendam dengan niat busuk lagi masam untuk memburuk-burukkan bakal PM saya ini. Kerana itu kita rakyat Malaysia patut tabik hormat dengan Utusan Malaysia. Inilah satu-satunya akhbar yang TIDAK membuat berita laporan mahkamah tentang bakal PM saya yang telah dilihat makan bersama....sapa namanya....di Paris. Inilah contoh akhbar yang menyahut seruan glokal - goreng dan dangkal. Kita juga patut tabik hormat kepada semua stesen TV tempatan. Stesen-stesen ini cukup bertanggungjawab kerana tidak menunjukkan ‘kemaluan’ negara kita ke muka dunia. Stesen TV luar negara sedikit habuk pun tidak boleh dipakai. CNN, BBC ini semua stesen orientalis - yang anti Islam, anti bumiputera, anti Melayu dan tidak menggunakan Bahasa Malaysia. Contohnya, Stesen Star TV entah betul entah tidak, stesen ini telah membuat laporan mengkaitkan nama bakal PM saya dengan sapa namanya? Gambar bakal PM saya juga ada ditayangkan. Apa punya tuuur stesen ini.

Laman-laman web? Ini semua laman fitnah dan tohmah. Tulisan-tulisan dari laman web tidak boleh dipercayai langsung. Laporan nombor ekor dan keputusan gol bola sepak pun tidak boleh dipercayai kalau diambil dari laman web. Semuanya bohong. Laman-laman web ini banyak yang dikendalikan oleh Mak-mak Janda yang tidak ada kerja. Itu sebab kita jangan membaca laman web. Laman-laman web ini bukan sahaja melaporkan tentang bakal PM saya yang makan malam dengan....sapa namanya....tetapi mereka goreng dan kaitkan pula dengan kapal selam. Saya tidak faham bagaimana satu ‘private dinner’ boleh ada sangkut-paut dengan kapal selam. Selalunya lepas dinner orang tidak pergi naik kapal selam. Lepas dinner biasanya orang akan berehat menghenjut tilam.

Laman-laman web ini semakin naik tocang apabila mereka mendengar sidang akhbar Pak Syeikh yang bukan sahaja menyebut… sapa namanya … tetapi Pak Syeikh juga ada menyebut Scorpene. Ini bukan nama rock band tetapi satu jenis kapal selam yang telah dibeli oleh kerajaan Malaysia dari Perancis. Jual beli ini telah dijalankan oleh syarikat Perimekar Sdn. Berhad yang telah mendapat komisen sebanyak RM 530 juta. Laman-laman web menuduh bahawa duit komisen inilah yang menjadi rebutan sehingga....sapa namanya....menjadi daging seketul. Macam mana putar alam, duit komisen ini tersangkut dengan nama bakal PM saya ini, cukup menghairankan. Saya hanya dapat berkata: wallahu a’lam bisawab hanya laman web sahaja yang mengetahui.

Saya sebenarnya amat tidak puashati dengan saksi yang bernama Burmaa Oyunchimeg. Hendak sebut nama pun bukan main susah. Apa punya ayah yang memberi nama yang susah hendak disebut. Sudahlah susah, nama ini panjang pula. Bayangkan kalau kerajaan Melaka memberi dia darjah kebesaran Datuk Seri Utama, berapa panjang nama ini nanti. Betapa susah hendak mengisi butiran nama dalam pasport. Kenapa tidak beri nama seperti Ziana sahaja. Nama Ziana lebih senang disebut, hanya dengan dua suku kata. Apa punya tuuur orang Mongol ini.

Saya naik bengang juga apabila melihat gambar si Burmaa ini di akhbar. Saya naik marah kerana dia cuba berlagak macam Yoko Ono. Apa dia ingat dia pop star ke? Pakai cermin mata macam Yoko Ono. Yoko Ono insan spesial, dia avant garde artist. Suaminya John Lennon. Kamu siapa, kamu hanya sepupu kepada....sapa namanya? Janganlah cuba hendak menayangkan cermin mata hitam itu. Itu perangai Abang Zak.

Si Burmaa ini menuduh bakal PM saya pernah berjumpa dengan....sapa namanya....di Paris. Ini satu tuduhan yang bukan kecil anak. Ini membawa implikasi besar. Apakah si Burmaa ini tidak melanggan Utusan Malaysia? Apa si Burmaa ini tidak membaca bagaimana bakal PM saya telah bersumpah dengan nama Allah ketika pilihan raya kecil di Ijok dahulu. Bakal PM saya TIDAK kenal dengan....sapa namanya?

Ini bukan sumpah sumpit lada api - mak kau buncit dibahan Benggali. Ini sumpah di atas nama Allah. Bukan di atas nama al-Latt atau al-Uzza. Kenapa si Burmaa ini membuat fitnah? Tidakkah si Minah yang pakai cermin mata hitam ini sedar bahawa bakal PM saya ini TIDAK pernah berbohong. Bohong itu bukan nama keluarganya.

Satu perkara yang ingin saya timbulkan di sini ialah tentang hal makan malam dengan....sapa namanya? Di restoran mana mereka makan. Apakah mereka makan di Chez Quick atau di Chez Maxim. Ini penting untuk diketahui oleh rakyat Malaysia. Dalam kota Paris ada beribu tempat makan. Kalau makan malam itu hanya di Chez Quick maka malulah kita rakyat Malaysia kerana bakal PM kita ini cekai.

Kalau di Chez Maxim pasti ada kelas. Tetapi persoalan akan timbul terutama dari Mufti Perak, beliau akan bertanya apakah restoran ini telah mendapat kelulusan logo halal dari JAKIM. Atau apakah gelas, cawan dan pinggan mangkuk itu telah disamak dengan air lumpur. Ini soal akidah. Kerana ini saya cukup marah terhadap si Burmaa ini. Dia tidak memiliki sensitiviti kemelayuan dan kebumiputeraan. Si Burmaa ini hanya main tuduh dan fitnah sembrono. Kenyataan di mahkamah ini membawa implikasi yang boleh menggugat akidah umat.

Saya cukup lega apabila setiausaha akhbar bakal PM saya mengeluarkan kenyataan. Kenyataan ini ringkas dan tepat. Bakal PM saya TIDAK kenal dengan.....sapa namanya? Saya memang merasa lega tetapi saya rasa ini tidak mencukupi. Ini kerana pada satu ketika dahulu Firaun juga pernah berkata bahawa dia tidak kenal dengan Lorraine Osman - ketua geng songlap duit BBMF - tetiba Rocket akhbar DAP mengeluarkan gambar Firaun makan semeja dengan Lorraine Osman. Terberak-berak Firaun, hampir tercampak tupee isterinya.

Saya telah difahamkan dari desas-desus perawi yang tidak sahih gambar makan semeja ini wujud. Gambar ini hanya menunggu masa hendak di keluarkan. Jadi untuk menangkis tohmah dan fitnah ini - mengikut ajaran Sun Tzu The Art of War - lebih baik setiausaha akhbar bakal PM menyerang terlebih dahulu. Nyatakan bahawa jika gambar ini wujud itu adalah hasil dari teknologi photoshop. Khalas.

Seharusnya bakal PM saya mengambil tindakan undang-undang dan menyaman si Burmaa ini. Bukan sahaja si Burmaa yang perlu dibawa ke mahkamah, akhbar Guang Ming, Pak Syeikh Anwar Ibrahim, laman-laman web Mak Janda dan sesiapa sahaja yang berani menyebut....sapa namanya....perlu disaman. Heret mereka semua ke mahkamah. Jika tidak disaman maka benar dan sahihlah cerita-cerita dongeng yang mengatakan bahawa duit komisen pembelian kapal selam inilah yang menjadi punca sapa namanya... menjadi daging seketul.

Berselindung di belakang ‘sub judice’ adalah tindakan lekeh. Pertama apa ke jadahnya makna ‘sub judice’ ini. Kedua, emak saudara Mawi dari Felda Taib Andak tidak faham akan makna perkataan ini. Ini perkataan Latin bukan bahasa orang Pekan atau Minah Kerinchi. Malah pembaca laman web pun kelam kabut mencari kamus untuk memahami perkataan ini. Apa punya tuur sub judice ini.

Saya ada satu lagi cadangan untuk menyelamatkan keadaan agar nama bakal PM saya akan terus mengglokal. Kita semua tahu bahawa si Burmaa inilah yang telah menjadi saksi penting di Mahkamah. Dia telah melihat gambar bakal PM saya sedang duduk semeja dengan....sapa namanya? Saksi ini berbahaya. Lebih baik kita lupuskan sahaja dia, seperti kita lupuskan nama....sapa namanya dari sistem imigresen kita dahulu. Semua ini bisa diatur.

Jika semua ini tidak dilakukan saya hanya sempat menyumpah tanpa menghunus keris - Ciss! Derhaka kau si Burmaa, berani membuat fitnah terhadap bakal PM beta....maaf....bakal PM saya....maaf bakal PM Malaysia. (TT)

1 comment:

Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.

Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?