KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama)
-- Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan bekerjasama dalam siasatan tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan apabila menolak permohonan polis untuk mendapatkan sampel DNA secara sukarela.
Peguam Anwar, Sivarasa Rasiah berkata polis juga gagal mendapatkan kebenaran Penasihat Parti Keadilan rakyat itu untuk mengadakan pemeriksaan perubatan penuh terhadapnya semasa berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) Rabu malam.
"Datuk Seri Anwar menolak kedua-dua permohonan itu. Tiada sampel DNA diambil malam ini," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur selepas mengiringi Anwar dari HKL.
Berikutan itu, Anwar, 61, diiringi semula ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) pada pukul 10.34 malam selepas berada selama dua jam di hospital itu.
Sivarasa berkata Anwar hanya menjalani ujian perubatan asas semasa di HKL.
Sivarasa berkata polis juga menolak permohonan keluarga Anwar untuk membebaskannya dan ekoran itu Anwar dijangka terus ditahan dan bermalam di IPKKL.
Beliau berkata Anwar sehingga ini telah memberikan keterangan kepada polis selama lima jam.
Katanya polis akan menyambung mengambil keterangan daripada Anwar bermula pukul 7.30 pagi hari Khamis sehingga pukul 1 petang.
Bernama difahamkan, sekiranya perlu Anwar akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari Khamis untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membolehkan polis meneruskan siasatan dan mendapatkan keterangan beliau berhubung kes liwat itu.
Sementara itu, kira-kira 500 penyokong Anwar masih berkumpul berhampiran IPKKL dengan harapan untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung penahanannya.
Polis yang mengawal ketat kawasan itu masih menutup laluan Jalan Hang Tuah kepada semua kenderaan sebagai langkah keselamatan.
Di PETALING JAYA, Timbalan Presiden PKR Dr Syed Hussein Ali menyeru semua anggota parti supaya bertenang berikutan dengan penahanan Anwar.
"Saya mahu penyokong dan anggota PKR bertenang dan tidak melakukan perbuatan yang membawa kepada ketidak stabilan politik ," katanya pada persidangan di Ibu pejabat PKR di sini.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Mintak maaf banyak-banyak geng, pihak Perisik Rakyat telah mengesan adanya cubaan menggodam laman web ini melalui ruangan komen, jadi kami terpaksa mengaktifkan "word verification" untuk keselamatan.
Mekasih Untuk Komen Korang... Korang Nak Maki Ke, Nak Puji Ke, Itu Korang Punya Pasal... Dosa, Pahala Sendiri Tanggung..! Paham..?